Penjaring Terbanyak Skuad B-22 Indonesia Berstatus Bebas, Ada Peluang Sertai Liga M?

Penyerang muda berbakat besar Indonesia iaitu Ramadhan Sananta dilaporkan ketika ini masih lagi berstatus bebas, selepas kontrak beliau bersama PSM Makassar sudah pun tamat sejak bulan Mac lalu.

Ramadhan yang menjadi tonggak utama skuad bawah 22 (B-22) Indonesia dalam acara bola sepak untuk saingan Sukan SEA 2023 baru-baru ini tampil dengan sangat menonjol di bahagian serangan.

Pada usia 20 tahun, Ramadhan boleh dianggap berada pada tahap terbaik selepas cemerlang merekodkan lima gol sepanjang kejohanan tersebut untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam aksi Sukan SEA 2023.

Sebelum itu, pemain berketinggian 1.82 meter ini juga menjadi tonggak penting dalam saingan Liga 1 Indonesia selepas sumbangan beliau berjaya membawa PSM Makassar untuk muncul selaku juara bawah kendalian Bernardo Tavares.

Sepanjang saingan liga berlangsung, Ramadhan telah pun merekodkan 11 gol secara keseluruhan untuk menjadi satu-satunya pemain muda tempatan dalam senarai penjaring terbanyak saingan tersebut.

Disebabkan itu, beberapa kelab tempatan di sana mula memantau pemain ini untuk ditandatangani musim hadapan dengan Persib Bandung serta Persis Solo berminat untuk mendapatkan khidmat Ramadhan.

Walaupun begitu, pengendali PSM Makassar dilaporkan masih cuba untuk menahan Ramadhan daripada berhijrah ke pasukan baharu dengan terbaharu masih lagi belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

Ianya juga mungkin menjadi satu berita menarik untuk kelab-kelab yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bagi cuba mengintai peluang mendapatkan khidmat penyerang tersebut pada pertengahan musim ini.

Jendela perpindahan kedua Liga M akan dibuka tidak lama lagi dengan beberapa kelab dijangka bakal membuat sedikit rombakan untuk mendapatkan pemain import baharu.

Nama-nama pemain Indonesia yang cemerlang beraksi di Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing, selepas Bambang Pamungkas, Andik Vermansah, Saddil Ramdani serta beberapa lagi bintang lain telah membuktikannya.

Pada usia 20 tahun, Ramadhan mempunyai masa depan cukup cerah untuk beraksi dalam kesebelasan utama selaku status pemain import dalam Malaysia selain berpeluang untuk merasai pengalaman baharu di luar negara.

Tambahan pula, kebanyakan kelab musim ini menghadapi masalah konsistensi di posisi serangan selepas pemain import masing-masing tidak begitu menyerlah seperti diharapkan.

Pastinya nama Ramadhan antara yang meniti di bibir pengendali-pengendali kelab tempatan untuk cuba mengintai peluang mendapatkan beliau selepas cemerlang musim ini bersama Indonesia serta dalam aksi liga.

Apapun, ianya terserah kepada Ramadhan sendiri jika pemain tersebut ingin terus kekal bersama PSM Makassar, menyertai kelab tempatan lain, atau cuba beraksi di luar negara seperti Malaysia.

Dengan usia masih muda, ianya menjadi peluang terbaik sebenarnya buat Ramadhan untuk terus mengembangkan lagi potensi dan memilih kelab yang tepat untuk memacu pemain itu menjadi lebih positif.

Persoalannya, adakah kelab-kelab dalam Malaysia sudah mula mengintai khidmat Ramadhan pada jendela perpindahan kedua akan datang?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN