Kelantan terus ditimpa malang yang berterusan musim ini dalam saingan Liga Super 2023, dengan terbaharu mereka mencatat kekalahan besar 0-5 di tangan Kedah Darul Aman (Kedah).
Tampil dengan pelbagai kontroversi di luar padang sebelum itu, Kelantan hadir dengan serba tidak menjadi sejak awal perlawanan dimulakan oleh pengadil di Stadium Darul Aman (SDA).
Ianya merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan jika dilihat pada prestasi serta keputusan semasa pasukan tersebut, selepas mereka menjadi antara kelab yang sangat gah musim lalu dalam aksi Liga Premier 2022.
Pada aksi tersebut, Kedah tampil dengan corak permainan jauh lebih menyakinkan untuk menafikan segala yang cuba dilakukan oleh pelawat untuk mendapatkan gol.
Lima gol Kedah masing-masing terhasil menerusi Manuel Ott, Lee Andrew Tuck, Manuel Hidalgo, Willian Lira, serta pemain gantian Sang Kenari, Jonathan Balotelli.
Sepanjang saingan berlangsung, skuad kendalian Frank Bernhardt menghadapi banyak isu yang gagal ditangani mereka sendiri dan memberi ruang buat tuan rumah untuk mencipta peluang.
Kerapuhan pertahanan
Barisan pertahanan Kelantan antara yang perlu dipertikaikan pada perlawanan ini, selepas mereka tampil dengan sangat longlai untuk menyerap asakan tuan rumah.
Daripada kedudukan para pemain yang tidak teratur, sehingga kepada disiplin bertahan mereka gagal untuk diperbaiki dengan lebih baik sehingga ke wisel penamat.
Lebih mendukacitakan, gol-gol yang diperoleh Kedah juga berpunca daripada kesilapan mereka sendiri untuk tidak mengawal dengan lebih rapi serta membuka ruang terlalu besar untuk membiarkan tuan rumah mencipta percubaan jarak jauh.
Kelompongan di posisi tengah
Apa yang boleh dikatakan, Kelantan terlalu memfokuskan kepada pertahanan mereka untuk memadatkan para pemain di sana bagi mengurangkan ancaman daripada Kedah.
Walaupun begitu, percaturan tersebut masih tidak menjadi dan menyebabkan kelompongan begitu luas di bahagian tengah untuk menyukarkan penyerang menerima sebarang umpanan.
Malah, kualiti dimiliki oleh barisan pemain tengah Kedah seperti Amirbek Juraboev serta Amiru Hisyam juga menjadi faktor mengapa Kelantan sukar untuk menembusi posisi tersebut.
Tiada kreativiti membina serangan
Sebenarnya, Kelantan mempunyai beberapa momen menarik untuk mengejutkan tuan rumah bagi mendapatkan gol serta mencipta peluang berbahaya.
Namun, kreativiti mereka dalam membuat gerakan atau hantaran jelas sangat terbatas serta sering mudah diatasi oleh Kedah untuk menutup setiap ruang cuba direncanakan Kelantan.
Sesekali Kelantan mampu bergerak dengan lebih tinggi untuk mengatasi Kedah, namun setiap pemain seolah tidak tahu apa perlu dibuat mereka ketika sampai di zon 14 tuan rumah.