Bekas pemain PJ City, R. Kogileswaran dijangka akan turun buat pertama kalinya dalam kancah bola sepak Korea Selatan petang ini.
Kogi yang kini menyertai Chungbuk Cheongju dalam saingan divisyen dua Korea Selatan sehingga kini belum lagi melakukan penampilan sulungnya bersama-sama kelab itu.
Dan kini, pemain kebangsaan itu berpeluang untuk menonjolkan bakatnya itu apabila kelabnya bakal menyertai cabaran Piala FA Korea.
Menurut jadual yang dikeluarkan, Chungbuk Cheongju akan turun menentang Jungnang Chorus Mustang dalam pusingan kedua Piala FA Korea dengan aksi akan dilangsungkan jam 6 petang ini waktu Malaysia.
Kebarangkalian untuk melihat Kogi diturunkan adalah tinggi selepas pihak kelabnya sendiri ‘mengusik’ penyokong mereka dengan poster hari perlawanan yang menampilkan pemain tersebut.
Dengan aksi yang akan diadakan di laman sendiri, pastinya Chungbuk Cheongju akan mahu meraih kemenangan bagi membolehkan mereka layak ke peringkat seterusnya.
Siaran langsung untuk perlawanan ini juga boleh ditonton di saluran YouTube KFA_TV Live. Akan tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada perlawanan ini boleh ditonton atau tidak bagi mereka yang di luar Korea Selatan.
Chungbuk Cheongju kini menduduki tangga ketujuh K League 2 dengan mengutip lima mata daripada empat perlawanan hasil satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Semoga berjaya buat Kogi. Harapnya jika diturunkan beliau akan pamerkan persembahan cemerlang buat pasukannya!