‘Rela Dilucut Hak Penganjuran Kejohanan Antarabangsa’ – Ketegasan Malaysia Halang Kemasukan Atlet Israel Wajar Dicontohi Indonesia

Malaysia Israel Indonesia

Indonesia yang bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) bermula 30 Mei hinga 11 Jun akan datang masih hangat dengan polemik kemasukan pasukan Israel.

Pada 20 Mac lalu, ribuan rakyat Indonesia berarak secara aman di Jakarta untuk memprotes penyertaan Israel di kejohanan tersebut.

Gabenor Wilayah Bali, Wayan Koster dilaporkan telah mengutus sepucuk surat untuk meminta Menteris Sukan dan Pemuda Indonesia, Zainudin Amali untuk menolak penyertaan pasukan Israel di kejohanan yang turut akan berlangsung di pulau itu.

Walaupun mendapat bantahan, pemerintah Indonesia sepertinya berada dalam keadaan terhimpit di antara polisi sukan antarabangsa dan sentimen rakyat.

Ketua Setiasausaha Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora), Gatot S Dewa Broto  menjelaskan selepas Indonesia bersetuju untuk menjadi tuan rumah, pihak pemerintah tidak boleh secara sebarangan menolak penyertaan mana-mana pasukan yang telah layak secara merit, termasuklah skuad kebangsaan Israel.

Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohor pula berharap urusan bola sepak tidak dicampur dengan isu politik dan menjamin keselamatan skuad kebangsaan Israel sepanjang kejohanan.

Dalam memberi respon mengenai nasib Palestin, Kementerian Luar Negeri (Kemenlu) menerusi jurucakapnya, Teuku Faizasyah dalam kenyataannya menegaskan dukungan Indonesia terhadap kemerdekaan Palestin kekal konsisten dan tidak pernah luntur.

Kesimpulannya kerajaan Indonesia ketika ini sudah tidak mempunyai pilihan. Mengambil pendirian menghalang kemasukan skuad B-20 Israel pastinya sukar dilakukan ketika pertandingan tersebut bakal bermula dalam jangka masa yang tidak lama lagi.

Malaysia dan Israel

Melihat dilema Indonesia, timbul pertanyaan dalam kalangan netizen apa yang berlaku sekiranya kerajaan Malaysia berdepan situasi yang sama.

Untuk rekod, ketegasan Malaysia untuk tidak membenarkan kemasukan dan penyertaan atlet Israel telah menyebabkan negara ini telah kehilangan hak penganjuran bagi beberapa kejohanan sukan antarabangsa.

Antaranya adalah hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan pada 2019 di Kuching, Sarawak yang dilucutkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarbangsa (IPC).

Ia susulan pendirian kerajaan Malaysia pada ketika itu dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad yang bertegas tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusan yang ditetapkan atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

“Dia nak batal, batallah”, jawab Tun Mahathir ketika ditanya Berita Harian mengenai keputusan IPC yang membatalkan hak Malaysia sebagai tuan rumah.

“Kita berpegang kepada prinsip kita. Prinsip kita adalah Israel adalah negara penjenayah. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak ada sesiapa berkata apa-apa. Kita ada hak untuk menyuarakan suara dan perasaan kita, serta kita mempunyai dasar kita sendiri,”

Ditanya sama ada keputusan Malaysia itu kelak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang lain, jawab Tun Mahathir berkata: “Kita tak boleh anjur Sukan Olimpik, kita boleh anjur sukan lain.”

Turut mewakili suara kerajaan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan Malaysia akan kehilangan kompas moralnya jika hak pengajuran acara sukan antarabangsa menjadi perkara yang lebih penting daripada membela nasih rakyat Palestin yang dibunuh, diseksa dan dicacatkan oleh rejim Israel.

“Kami ingin mengingatkan kepada IPC yang ‘Amnesty International dan Human Rights Watch’ sendiri telah melaporkan bahawa kerajaan [Benjamin] Netanyahu sebagai pelaku jenayah perang,” ujar Syed Saddiq dalam berita yang disiarkan Astro Awani.

“Sebagai pemimpin Israel, beliau melambangkan tekad bersama kerajaan Israel. Negara itu bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan tindakan moral mereka.”

Israel ‘koyak’

IPC dalam kenyataan balas yang dikeluarkan menyebut setiap kejohanan dunia perlu terbuka kepada setiap atlet yang layak dan setiap negara bebas bertanding tanpa sebarang diskriminasi.

Kementerian Luar Negeri Israel pula mendakwa pendirian Malaysia untuk tidak menerima kemasukan atlet dari negara tersebut sebagai memalukan dan bertentangan dengan semangat kesukanan.

“Israel mengecam keputusan itu yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Mahathir yang tidak diragui lagi seorang anti-semitik. Kami menggesa IPC untuk mengubah keputusan salah ini dan menukar venue pertandingan.”

Ia turut menarik perhatian pemimpin utama Parti Buruh United Kingdom (UK), Tom Watson yang mengutus surat kepada Setiausaha Luar Negara, Jeremu Hunt yang menyatakan pendirian Malaysia dalam menyekat penyertaan atlet Israel tidak boleh diterima.

Ketegasan Malaysia terhadap dasar ini dikekalkan oleh kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertindak membatalkan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia lelaki pada 2021 di Kuala Lumpur.

Malaysia ketika itu menegaskan ketiadaan hubungan diplomatik dengan Israel adalah merangkumi semua perkara termasuk bidang sukan. Perjalanan ke Malaysia dengan menggunakan pasport Israel tidak dibenarkan tanpa kebenaran bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri.

Pendirian Malaysia ini telah disusuli oleh respon daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyatakan negara yang menghalang kemasukan atlet daripada mana-mana negara tidak akan dibenarkan untuk menganjurkan kejohanan sukan antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN