Mesut Ozil Umum Persaraan Daripada Bola Sepak Di Usia 34 Tahun

Mesut Ozil secara rasminya sudah bersara daripada dunia bola sepak dengan legenda Jerman itu mengumumkan hal tersebut menerusi satu muat naik di laman media sosial miliknya.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Jerman itu memilih untuk bersara di usia 34 tahun dengan hal tersebut diumumkan pada petang tadi.

Bekas bintang Real Madrid, Arsenal dan Fenerbahce itu pada tahun 2018 yang lalu sudah mengumumkan persaraan beliau di pentas bola sepak antarabangsa selepas beliau membuat 92 penampilan untuk skuad kebangsaan Jerman.

Beliau pada hari ini mengumumkan untuk bersara sepenuhnya dari dunia bola sepak dengan Ozil mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa:

“Hai semua orang, selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya, saya mengumumkan persaraan serta merta daripada dunia bola sepak.”

“Saya diberi kesempatan untuk menjadi pemain bola sepak profesional selama hampir 17 tahun sekarang dan saya betul-betul bersyukur atas kesempatan tersebut.”

Tulis Mesut Ozil di laman media sosial miliknya.

“Namun sejak beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini, dengan saya turut mengalami beberapa masalah kecederaan, ia menjadi semakin jelas yang sudah tiba masanya untuk meninggalkan pentas bola sepak ini.”

“Ia merupakan perjalanan yang sungguh luar biasa menakjubkan dan diisi dengan kenangan penuh emosi yang sukar untuk dilupakan. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kelab saya, Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal FC, Fenerbahce, Ba§akwhir dan kepada jurulatih yang menyokong saya, juga kepada rakan sepasukan yang kemudiannya menjadi sahabat saya.”

“Ucapan terima kasih yang istimewa kepada ahli keluarga saya dan sahabat-sahabat saya. Mereka sebahagian dari perjalanan karier saya sejak hari pertama dan mereka turut menyokong serta sangat menyayangi saya tidak kira ketika waktu yang baik mahupun yang buruk.”

“Terima kasih kepada semua penyokong yang telah menunjukkan sokongan kepada saya tidak kira apa jua yang berlaku dan tidak kira bersama kelab mana saya wakili.”

“Sekarang, saya melihat kedepan untuk lakukan segalanya bersama isteri saya yang cantik, Amine, dan dua anak perempuan saya yang cantik, Eda dan Ela.”

“Tapi kamu boleh pastikan yang kamu akan dengar tentang saya dari masa ke semasa menerusi laman media sosial milik saya, jumpa lagi, Mesut!”

Ozil mengakhiri kariernya bersama gergasi Turki, Istanbul Basaksehir selepas beliau hanya membuat enam penampilan sahaja bersama kelab dari semua pertandingan.

Ketika kemuncak kariernya, pemain kebangsaan Jerman itu tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain attacking midfielder terhebat dalam dunia bola sepak.

Beliau berjaya menjuarai saingan La Liga dan Copa del Rey bersama Real Madrid sebelum berhijrah ke England untuk beraksi bersama Arsenal pada tahun 2013 yang lalu.

Mesut Ozil ditandatangani oleh Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai £42.5 juta dengan beliau kemudiannya menjadi antara pemain midfield terbaik dalam saingan Premier League.

Beliau berjaya menjaringkan 54 gol dan turut mencatatkan 33 assists dari 184 penampilan dalam saingan Premier League dengan beliau turut cemerlang membantu Arsenal menjuarai empat gelaran Piala FA.

Ejen kepada bintang Jerman itu, Dr Erkut Sogut sebelum ini pernah mendedahkan yang Ozil selepas ini mungkin akan memberi lebih tumpuan kepada streaming dan bermain permainan video.

Bercakap kepada The Telegraph, Erkut mendedahkan bahawa:

“Saya rasa dia tidak akan bermain bola sepak bersama mana-mana kelab lagi. Saya tak boleh nampak hal itu, ia akan kekal Fenerbahce dan itu sahaja.”

“Dia akan lebih kepada esport, bermain sendiri dan mungkin akan menjadi atlet esport. Sejujurnya, dia sangat bagus di Fortnite dan saya rasa satu hari nanti tak akan mengejutkan andai dia bertanding.”

“Dia ada pasukan sendiri, M10 Esports, dan dia ada pemain sendiri. Dia ada ruang permainan sendiri di Jerman. Dia juga main permainan video bola sepak seperti Fifa dan dia juga bermain Fortnite.”

Semoga saja Mesut Ozil akan berjaya dalam apa jua bidang yang akan beliau ceburi di masa hadapan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN