Selangor berjaya melakar kemenangan dramatik di Stadium Bandaraya, apabila menewaskan Penang 2-1, dalam aksi sebelah petang tadi.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan Selangor berhasil mendahului perlawanan dengan satu gol hasil ledakan Ayron del Valle di minit ke-27.
Penang bermain baik mengekang Selangor dan cubaan membuat serangan, tetapi dikecewakan dengan jentera serangan yang dilihat kurang menjadi.
Cubaan memecah masuk ke kubu pelawat sering dikecewakan dengan hantaran kurang menjadi ataupun tiada rakan di depan untuk menanti.
Antara peluang terbaik Penang adalah di minit ke-11 apabila Zaw Min Tun terlepas peluang apabila lambat menyambar sepakan percuma Adriano, sebelum pemain itu pula terlepas peluang apabila rembatannya ditanduk keluar Khuzaimi Piee, enam minit kemudian. Penang bermula baik.
Minit ke-23, Penang sekali lagi cuba menggugat The Red Giants menerusi tandukan Rafael Vitor yang hanya menggegar palang, berpunca daripada sepakan penjuru Hadin Azman. Mujur buat Khairulazhan Khalid.
Perlawanan jadi mendatar selepas jaringan Ayron di minit ke-27 dengan kedua-dua pasukan tampil lebih berhati-hati dalam merencana gerakan.
Sebelum babak pertama berakhir, pemain tengah tuan rumah, Faris Shah Rosli melepaskan peluang terbaik dengan rembatan melewati palang.
Babak kedua kembali hangat dengan Penang menambah asakan dengan kemasukkan Asnan Ahmad dan Adib Raop bagi menjana serangan.
Jika di babak pertama Selangor bermain baik, di babak kedua, mereka lebih banyak menerima deretan tekanan daripada pemain-pemain tuan rumah.
Dua kali Rahmat Makasuf gagal memanfaatkan peluang apabila di minit ke-57 dan ke-58, percubaannya langsung tidak menggugat Khairulazhan di gawangnya. Minit ke-78, Rahmat sekali lagi melepaskan rembatan sia-sia.
Minit ke-69, penyerang gantian, Giovane Gomes melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang mudah buat penjaga gol Selangor menangkapnya.
Pelawat bernasib baik apabila jaringan tandukan bek tengah, Zaw Min Tun dibatalkan oleh pengadil. Ia bermula daripada sepakan percuma Adib.
Akhirnya jaringan penyamaan yang diburu tuan rumah tiba di minit ke-87 selepas tandukan kapten, Rafael Vitor gagal digapai Khairulazhan. Ia berpunca daripada sepakan percuma Faris Shah dari sudut kiri gawang gol.
Tetapi ia tidak bertahan lama apabila Noor Al-Rawabdeh telah melepaskan rembatan menewaskan Shafiq Afifi untuk jaringan kedua pelawat, dua minit kemudian untuk Selangor kembali di depan untuk mengatasi Penang.
Dan aksi berakhir dengan kedudukan 2-1, kemenangan berharga ketiga buat Selangor dalam saingan Liga Super 2023 selepas empat perlawanan.