Ia adalah hari perhitungan untuk 4 pasukan sama ada mereka akan terus kekal di Liga Super atau tersingkir ke Liga Premier.
Dalam analisis kami menjelang perlawanan ke-21, kami meletakkan Pahang sebagai pasukan dengan peratusan tertinggi untuk disingkirkan. Ini diikuti Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak dan PDRM.
Dengan Pahang diberikan 3 mata teknikal kelmarin, bermakna mereka sudah selamat daripada zon penyingkiran. Kini skop penyingkiran tertumpu kepada 4 pasukan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak dan PDRM.
Paling menarik adalah, hanya 2 venue sahaja menganjurkan perlawanan 4 pasukan ini dengan mereka akan bertarung sesama sendiri.
Berikut adalah beberapa panduan tentang perlawanan malam ini.
1. Jika Seri Di Stadium Bandaraya
Jika Pulau Pinang dan Terengganu seri di Stadium Bandaraya, kedua-dua pasukan akan tersingkir dan Sarawak serta PDRM akan kekal walau apa jua keputusan mereka.
2. Jika Pulau Pinang Atau Terengganu Menang?
Pemenang perlawanan ini boleh layak dengan syarat tidak ada keputusan seri di Kuching. Jika ada keputusan seri di Kuching, hanya Pulau Pinang yang boleh mara jika mereka menang.
Terengganu agak mustahil untuk mara kerana perbezaan gol yang teruk.
3. Jika Sarawak atau PDRM Menang Di Kuching?
Pemenang dalam perlawanan ini akan sah kekal di Liga Super walau apa jua keputusan lain. Yang kalah masih boleh mara jika Pulau Pinang dan Terengganu seri.
4. Jika Sarawak dan PDRM seri Di Kuching
Dalam situasi ini, hanya Sarawak yang ada kelebihan untuk mara. Kedua-dua pasukan masih boleh mara dengan syarat Terengganu adalah pemenang di Bandaraya.
Jika Pulau Pinang menang, ini menyaksikan PDRM boleh tersingkir dan Sarawak akan kekal. Pulau Pinang ada perbezaan gol yang terbaik di antara keempat-empat pasukan ini.
Analisis Kebarangkalian Untuk Kekal
Jadi Kami Rumuskan pasukan Sarawak dan PDRM memiliki peluang yang tinggi untuk kekal. Terengganu dan Pulau Pinang pasti lebih mengharapkan ada keputusan menang atau kalah di Kuching.
Berikut adalah peratusan keempat-empat pasukan untuk kekal.
Sarawak (55%)
Mereka ada kelebihan di tempat sendiri. Pada masa yang sama, keputusan seri mungkin sudah cukup untuk mereka kekal dalam Liga Super.
PDRM (50%)
Pada hakikatnya, mereka wajib menang dalam perlawanan ini. Jika seri mereka perlu mengharapkan Pulau Pinang kalah atau seri di Bandaraya.
Pulau Pinang (50%)
Pulau Pinang tidak boleh kalah atau seri dalam perlawnaan ini. Mereka mesti menang. Pada masa yang sama mereka ada peluang kerana di Kuching sudah pasti ada pasukan yang kalah atau seri.
Terengganu (45%)
Terengganu perlu menang dan tidak ada cara lain. Paling kejam jika mereka menang dan ada keputusan seri di Kuching, maka mereka akan tetap tersingkir kerana perbezaan jaringan mereka adalah -22 berbanding Sarawak -9, dan PDRM-10.
Sebelum Wisel
Ia adalah hari terakhir yang penuh debaran dalam Liga Super kali ini. Mana tidaknya, secara kebetulan jadual 4 pasukan yang bertarung untuk kekal adalah bertemu sesama sendiri.
Kepada 4 pasukan tersebut, selamat berjuang sehingga ke wisel penamat. Elakkan daripada membuat kesilapan mudah. Inilah masa untuk sesiapa sahaja mahu menjadi hero.
Baca juga : Pasukan Impian Liga Super Malaysia 2016 Pilihan Semuanya BOLA