Langkah Malaysia dalam kempen Piala AFF 2022 terhenti di Stadium Thammasat, Bangkok selepas tewas 3-0 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua menjadikan keputusan penuh 3-1 secara agregat.
Sejujurnya ia bukanlah satu keputusan yang mengejutkan berdasarkan reputasi skuad gajah perang selaku juara bertahan.
Skuad negara pula sejak awal lagi tidak dapat menyenaraikan pemain-pemain utama yang memohon untuk dikecualikan daripada kejohanan dwi tahunan ini.
Realitinya barisan 23 pemain untuk edisi 2022 ini sudah pun melaksanakan misi mereka dengan sebaiknya. Malah telah jauh melepasi jangkaan banyak pihak yang awalnya tidak meletakkan sebarang pengharapan tinggi kepada mereka.
Mara ke peringkat separuh akhir sudah pun dianggap sebagai kejayaan yang amat membanggakan. Buktinya adalah kehadiran penuh dari aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tempoh hari.
Ia adalah refleksi kepada kebanggaan rakyat Malaysia kepada skuad kendalian Kim Pan-gon. Barisan kapten Safawi Rasid, Faisal Halim dan Brendan Gan juga sudah membuktikan bahawa mereka semua adalah pemimpin yang hebat di dalam dan di luar padang.
Jadi pulanglah ke tanah air sebagai wira negara. Anda sudah memberikan segalanya di atas padang dan beraksi sepenuh jiwa demi lencana di dada. Ayuh kita fokus kepada misi seterusnya iaitu kejohanan Piala Asia 2023.
Tahniah Harimau Malaya!