Tular di alam maya apabila bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe kembali semula ke sesi latihan kelab tersebut dua hari selepas kekalahan Perancis di Piala Dunia.
Tidak mengambil rehat yang lama, ramai yang terkejut dengan komitmen penjaring terbanyak Qatar 2022 itu apabila mahu meneruskan momentum yang diperoleh bersama skuad kebangsaan kepada kelab pula.
Disaat mereka yang berada di luar Malaysia kagum dengan komitmen Mbappe itu. Lain pula ceritanya di Malaysia apabila penyokong bola sepak mengajukan perkara ini kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Sebelum ini, TMJ pernah mengatakan yang “pemain bukan mesin” apabila ramai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak bersama-sama Harimau Malaysia di Piala AFF 2022.
Kini apabila ditujukan soalan yang sama oleh penyokong mengenai situasi Mbappe, TMJ mengatakan yang bermain di Piala Dunia dan Piala AFF adalah dalam situasi yang berbeza.
Hal ini kerana, Piala Dunia diadakan dalam kalendar FIFA sementara Piala AFF tidak.
“Pemain bukan mesin. Apa PSG ni Tunku?,” tanya seorang penyokong.
“Oh itu Mbappe. Dia main separuh musim yang pertama, selepas itu berhenti untuk tugasan antarabangsa [dengan] sertai kejohanan FIFA iaitu Piala Dunia.
“Selepas habis Piala Dunia, dia sambung main separuh kedua musim. Selepas habis musim, dia pergi bercuti,” kata TMJ.
Ow itu Mbappe. Dia play first half of the season, selepas itu break for national duty “FIFA Tournament” iaitu World Cup. Now selepas habis “World Cup” dia continue main the second half of the season. Selepas season habis, dia pergi holiday. Simple facts ladies n gentleman. 🕶 https://t.co/orZ61f6hvM
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 21, 2022
Sebelum ini, TMJ pernah membidas kenyataan jurulatih Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon apabila JDT tidak melepaskan bintang-bintang mereka untuk Piala AFF kali ini.
Namun begitu, Kim tetap tenang dan memilih untuk menggunakan pemain-pemain lain yang dibawa ke saingan Piala AFF kali ini dengan Harimau Malaya dilihat berwajah baharu.