Sedang mendengar radio Suria FM, penulis terdengar bait-bait lirik sebuah lagu, “pantang dicabar” yang diulang berkali-kali. Nada yang dilontarkan sarat dengan emosi membawa penulis kepada senarai 23 pemain Harimau Malaya yang diumumkan untuk ke Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Seperti yang kita tahu, cabaran yang terpaksa dilalui oleh pengendali, Kim Pan-gon saat panggilan pertiwi mahu dibuat olehnya sebelum ini.
Ada pasukan yang tidak melepaskan pemain-pemain utama mereka iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC – kedua-duanya terlibat dengan jadual padat tahun ini selain Piala AFF berlangsung di luar kalender FIFA.
Antara pemain yang terpaksa dilupakan oleh Kim untuk kempen Piala AFF adalah seperti Shahrul Saad, Syafiq Ahmad, Corbin Ong dan Arif Aiman Hanapi dari JDT selain Akram Mahinan serta Declan Lambert dari KL City.
Namun, Kim pantang dicabar – jika itulah cabaran yang terpaksa dilaluinya. Beliau meneruskan sesi latihan dengan pemain-pemain yang berbaki ditambah dengan beberapa pemain baru yang dipanggil selepas itu.
Senarai Akhir 23 Pemain Skuad Harimau Malaya Ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022
▶️ Baca penuh di https://t.co/rbEh4bOg1u#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/gV78Onohs7
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 16, 2022
Mujur buatnya, semua pasukan tidak mengambil langkah yang sama. Jika tidak, adakah skuad kebangsaan terpaksa menghantar mesin bertanding?
Skuad yang digelar Malaysia B dikalangan para penyokong itu tetap menghadirkan keputusan yang positif dalam dua aksi persahabatan.
Malaysia menang 4-0 ke atas Kemboja dan kemudian tundukkan Maldives 3-0. Disebalik kemenangan, aksi tampak sedikit longgar. Ini disebabkan majoriti pemain-pemain adalah daripada pelbagai pasukan, tidak seperti sebelum ini yang mana asasnya daripada pasukan yang sama – JDT.
Kim terpaksa memikirkan kaedah lain untuk gel skuad kendaliannya.
Disebalik hujan, ada pelangi dihadirkan. Aksi memberangsangkan Lee Tuck berjaya memberikan nafas baharu selain permainan memukau oleh Faisal Halim yang dilantik sebagai kapten untuk kedua-dua aksi pemanas badan.
Korang rasa macam mana dengan performance Lee Tuck?https://t.co/WqjY3DM42a#ShootJanganTakShoot!#HarimauMalaya
— Shoot! (@ShootAppMy) December 15, 2022
Kita memerlukan aura positif daripada beberapa pemain untuk membawa pasukan ini mara ke depan. Mungkin itu sedang cuba diselesaikan oleh Kim dengan pelantikan Faisal sebagai ketua pasukan dalam dua aksi tersebut. Dan beliau melaksanakan tugasnya dengan jayanya sebagai kapten.
Mungkin mereka ini juga pantang dicabar – jika itulah cabaran yang terpaksa dilalui mereka. Majoriti mereka kali pertama digandingkan.
Masih ingat kejohanan AFF edisi 2014? Dollah Salleh dan skuad kebangsaan dikritik hebat sebelum kejohanan berlangsung ketika itu.
Dollah Salleh telah dikritik kerana memanggil ‘kuda-kuda’ tua. Beliau pula baru sahaja dilantik sebagai nakhoda Harimau Malaya pada Jun, beberapa bulan sebelum saingan bermula. Apa saja yang mampu disediakannya?
Beliau turut membuat keputusan memanggil semula Shukor Adan yang sudah bersara daripada skuad kebangsaan. Ini menambah kritikan.
Tetapi segalanya berbaloi apabila Malaysia hampir mara ke final – tumbang tipis 3-4 secara agregat kepada Thailand di peringkat separuh akhir.
Barangkali skuad yang ada ketika itu pantang dicabar – jika itulah cabaran yang terpaksa dilalui mereka menjelang sepak mula kejohanan tersebut.
Ribut akan sentiasa melanda. Pantai juga senantiasa dibadai ombak. Namun, segalanya tetap perlu diharungi dan ia adalah satu cabaran.
Skuad ini mungkin digelar penyokong sebagai Malaysia B, tetapi tiada istilah A atau B untuk mereka sebenarnya. Harimau Malaya tetap Harimau Malaya!
Jika dahulu, benar, kita memiliki skuad A dan B untuk Harimau Malaya, tetapi kita tidak seharusnya meletakkan mereka sebagai skuad B.
Mereka ada cabaran yang perlu dilalui bagi membuktikan mereka adalah yang terbaik. Dan pentas Piala AFF ini amat cocok untuk dibuktikan.
Seperti bait lirik lagu Pantang nyanyian Bil Musa feat Noki yang didengari penulis di corong radio tadi, “Aku bukan mudah, Tak terus mengalah, Mampu berdiri tanpa sesiapa” mampu menjelaskan semangat yang ada pada pemain-pemain bagi membuktikan mereka semua bukan pengalah.
‘Hoist The Colours High’ – Harimau Yang ‘Terluka’ Mungkin Lebih Garang
Malah para penyokong berada di belakang mereka. Biarpun Ultras Malaya tidak mengaku pada awalnya yang sepanduk “Hoist the colours high” adalah karya mereka, tetapi dalam aksi berdepan Maldives, sepanduk itu berada di Curva mereka. Ya, mereka cuba membangkit semangat para pemain.
Ia boleh membawa maksud mengangkat bendera negara setingginya atau berbanggalah menyarung jersi negara – jika itu yang cuba disampaikan. Ia juga frasa yang sangat sinonim dengan filem Pirates of the Caribbean.
Jika cuba diteliti mengapa pemilihan kata-kata itu yang jadi pilihan, ia seperti menggambarkan kesusahan untuk bermula dari bawah untuk mengangkat nama negara. Ia bukan sekadar menyarung jersi negara, tetapi lebih kepada rasa bangga untuk mewakili skuad negara apabila menerima panggilan daripada ketua jurulatih. Tidak perlu berdolak dalih itu dan ini.
Ia seakan-akan tema yang tepat untuk menggambarkan situasi yang dilalui skuad kebangsaan saat ini. Kita boleh lihat bagaimana bersemangatnya David Rowley yang terbang kembali dari Jerman sebaik sahaja mendapat panggilan Harimau Malaya. Jersi skuad kebangsaan adalah jersi keramat, jadi angkatlah ia dengan penuh kebanggaan dan setingginya – jika mampu.
“Memang nampak lemah, Tapi dalaman kau tidak tahu, Kalau mahu cuba, Boleh ‘try test’ tengok siapa yang terpaku” juga antara bait lirik lagu tersebut yang barangkali tepat untuk menggambarkan segalanya tentang mereka.
Selamat berjuang 23 pemain Harimau Malaya di Piala AFF 2022 nanti!