‘Hoist The Colours High’ – Harimau Yang ‘Terluka’ Mungkin Lebih Garang

Hoist the colours high Malaysia Piala AFF 2022

Dalam sesi latihan skuad kebangsaan semalam, tersergam satu sepanduk ‘Hoist the colours high’ berwarna kuning, di sisi padang di Wisma FAM.

Seakan ada mesej yang cuba disampaikan menerusi sepanduk yang kecil dan ringkas itu. Disebalik isu yang menyelubungi, mungkin ini mesejnya.

Pastinya ada hikmah disebalik ketiadaan 11 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam panggilan ke kem skuad kebangsaan untuk Piala AFF 2022.

Malah, KL City FC juga mengambil tindakan yang sama, menarik keluar dua pemain mereka daripada kem persediaan skuad Harimau Malaya kali ini.

Awal sebelum itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 29 pemain untuk kem skuad kebangsaan kali ini dan yang menarik perhatian adalah ketiadaan beberapa tonggak utama Harimau Malaya.

Antaranya adalah seperti Shahrul Saad, Syafiq Ahmad, Corbin Ong dan Arif Aiman Hanapi. Telah dikhabarkan mereka memiliki alasan tersendiri untuk dikecualikan menyertai kem latihan iaitu kecederaan dan urusan keluarga.

Selain itu, disebabkan kejohanan dwi tahunan tersebut berlangsung di luar kalender FIFA, kelab berhak untuk tidak melepaskan pemain-pemain itu.

14 pemain tidak dapat pelepasan kelab

Jadi, adakah perkara ini bakal mengganggu perancangan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon. Sudah tentu ia memberi sedikit impak negatif.

Begitupun, kita masih boleh melihat isu ini dari segi positif seiring dengan kecilnya ‘kolam’ pemain skuad negara yang harus segera diperbesarkan.

Malaysia bakal terlibat dengan kejohanan Piala Asia pada tahun depan dan tentunya Kim boleh menilai beberapa pemain baharu yang telah dipanggil.

Siapa pemain yang telah dipanggil menyarung jersi skuad negara kali ini?

Sebenarnya, Kim telah menyenaraikan 41 pemain untuk ke kem latihan Harimau Malaya kali ini. Ia satu angka yang besar dan menarik awalnya.

“Bagaimanapun, selepas perbincangan dan persetujuan bersama yang telah dicapai di antara FAM, Pan Gon dan kelab-kelab terlibat, 12 pemain berikut tidak dapat menyertai kem latihan tersebut atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.”

Laman web FAM

Malaysia kem latihan Piala AFF 2022
FOTO: FAM

11 pemain adalah dari JDT dan seorang dari Sri Pahang – Nor Azam Azih.

Selepas itu, Kim kehilangan Akram Mahinan dan Declan Lambert apabila KL City memilih untuk tidak melepaskan mereka. Ia mungkin tamparan buat pengendali kelahiran Korea Selatan itu, namun ia bukan masa untuk mengeluh kerana kejohanan Piala AFF sudah kian hampir mendekati.

Hikmah ketiadaan pemain-pemain tersebut, Kim boleh memanggil pemain-pemain lain yang mungkin beliau boleh nilaikan kualiti mereka di Piala AFF.

Jadikan Piala Asia sebagai tarikan untuk mereka berikan sehabis baik di Piala AFF. Sasaran FAM juga haruslah realistik dengan masalah ketika ini.

Skuad yang lebih muda dan segar taruhan Kim

Terdapat beberapa kejutan dalam senarai pemain yang berada di kem kebangsaan saat ini. Selain pemain-pemain naturalisasi yang kali pertama di panggil, Kim turut memberi peluang kepada beberapa pemain berusia bawah 20 tahun yang diserap masuk daripada kem skuad B-23 negara.

Antara yang dikhabarkan sudah diserap masuk adalah Alif Izwan Yuslan.

Purata usia skuad Harimau Malaya kali ini adalah sekitar 25 tahun sahaja.

Dalam aksi persahabatan berdepan Kemboja dan Maldives, skuad negara dijangka akan memanfaatkan untuk memperkukuhkan kombinasi pemain.

Ini kerana, teras kekuatan Harimau Malaya sebelum ini bergantung kepada kombinasi pemain-pemain JDT dan tanpa mereka, Kim perlukan fikirkan cara untuk ‘gel’ pasukan ini. Ini adalah wajah lain skuad kebangsaan di era pengendali kelahiran Korea Selatan itu sejak mengambil alih, Januari lalu.

Antara pemain yang dijangka menjadi teras skuad kali ini adalah seperti Brendan Gan, Khuzaimi Piee, Mukhairi Ajmal, Faisal Halim dan Darren Lok.

Kim turut memiliki sebilangan pemain yang mampu memberikan cabaran untuk slot yang ditinggalkan pemain-pemain yang tiada seperti Sharul Nazeem, David Rowley, Lee Tuck dan Sergio Aguero. Selain itu, Safawi Rasid – pemain dengan kaps teringgi di kem kali ini juga adalah tonggak penting.

Ungkap Kim di sidang media semalam, “Esok [hari ini] mungkin [kita] akan melihat ramai muka baharu beraksi dan tunjukkan sesuatu yang saya sendiri amat teruja untuk nantikan dan persembahkan kepada peminat bola sepak negara. Pemain kena yakin dan buktikan kepada peminat di luar nanti yang mereka memiliki sesuatu untuk dibuktikan di atas padang nanti.

‘Hoist the colours high’ – maksud yang mungkin ‘deep’

Malah, kehadiran sepanduk di lokasi latihan skuad kebangsaan, Wisma FAM yang dipercayai dinaikkan oleh Ultras Malaya – telah dinafikan oleh mereka, dijangka mampu menyuntik semangat kepada para pemain terutamanya yang baru pertama kali menyertai kem Harimau Malaya. “Hoist the colours high” adalah kata-kata yang dititipkan di sepanduk ‘istimewa’ tersebut.

Barangkali dengan jumlah pemain naturalisasi dalam skuad negara kini, sebarang mesej sesuai untuk disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Ia boleh membawa maksud mengangkat bendera negara setingginya atau berbanggalah menyarung jersi negara – jika itu yang cuba disampaikan. Ia juga frasa yang sangat sinonim dengan filem Pirates of the Caribbean.

Jika cuba diteliti mengapa pemilihan kata-kata itu yang jadi pilihan, ia seperti menggambarkan kesusahan untuk bermula dari bawah untuk mengangkat nama negara. Ia bukan sekadar menyarung jersi negara, tetapi lebih kepada rasa bangga untuk mewakili skuad negara apabila menerima panggilan daripada ketua jurulatih. Tidak perlu berdolak dalih itu dan ini.

Ia seakan-akan tema yang tepat untuk menggambarkan situasi yang dilalui skuad kebangsaan saat ini. Kita boleh lihat bagaimana bersemangatnya David Rowley yang terbang kembali dari Jerman sebaik sahaja mendapat panggilan Harimau Malaya. Jersi skuad kebangsaan adalah jersi keramat, jadi angkatlah ia dengan penuh kebanggaan dan setingginya – jika mampu.

Isu luar padang yang tidak penting, tidak perlu lagi berada di minda barisan kejurulatihan dan pemain-pemain. Tinggalkan impak luar biasa, kerana mungkin harimau yang ‘terluka’ ini lebih garang daripada sebelumnya?

Kepada barisan pemain Harimau Malaya ketika ini – “Hoist the colours high“!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN