‘Nafuziball’ Bakal Diteruskan Di Kedah, Siapa Gandingan Bersama Ott-Amirbek?

'Nafuziball' Kedah siapa lepas Ott Amirbek

Melihat kepada dua pemain tengah yang ditandatangani Kedah Darul Aman FC, ia seakan-akan memberi gambaran, inilah kunci kepada ‘Nafuziball’.

Mereka telah mengumumkan pemain kebangsaan Tajikistan, Amirbek Juraboev dan kemudian, mereka akhirnya memperkenalkan Manuel Ott.

Ott mungkin tidak asing bagi kita kerana beliau akan beraksi untuk musim ketiganya di Liga Malaysia selepas Melaka United dan Terengganu FC.

Ott pegang kunci ‘Nafuziball’

Sebagai pemain yang pernah beraksi di bawah kendalian Nafuzi Zain, Ott dijangka akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan falsafah Nafuzi di Kedah nanti. Mungkin disebabkan itu, beliau dibawa bersama.

Pemain kacukan Filipina-Jerman itu telah tampil sebanyak 21 kali di Liga Super, enam kali di Piala Malaysia dan lima kali di Piala FA musim lalu.

Ia merangkumi 97 peratus penampilan untuk Sang Penyu pada musim lalu.

Beliau pastinya lebih memahami kehendak pengendali berusia 44 tahun itu tentang bagaimana jentera tengah ‘Nafuziball’ akan berfungsi nanti.

Jentera tengah penting untuk sesebuah pasukan kerana ia adalah jantung kepada pasukan sama ada ketika dalam fasa bertahan dan menyerang.

Nafuzi pernah berkata pentingnya jentera tengah. “Bagi saya, jentera tengah merupakan enjin kepada pasukan kerana kalau mereka dapat bermain dengan baik, yang lain juga akan dapat beri persembahan yang baik,” katanya sekitar Ogos lalu dalam satu sidang media selepas aksi Liga Super.

4-4-2 Terengganu FC

Pada musim lalu, Ott sentiasa menjadi pilihan sama ada dalam formasi 4-3-3 atau 4-4-2. Jika Nafuzi menggunakan tiga pemain tengah, Ott kerap kali bergandingan bersama Habib Haroon dan jika formasi 4-4-2 jadi pilihan, Ott selalunya akan membentuk gandingan bersama Habib dan Petrus Shitembi.

Kemungkinan besar, Nafuzi dan Kedah ada menawarkan kontrak kepada Habib Haroon kerana Terengganu memaklumkan beliau menolak tawaran mega beberapa pasukan Liga Super untuk kekal di Kuala Terengganu.

Amirbek sudah tiba, siapa lepas ini?

Amirbek adalah pemain tengah bertahan – jika melihat deskripsi posisinya di Transfermarkt.com. Menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, beliau juga boleh bertindak dan berperanan sebagai pemain tengah ‘box-to-box’.

Jadi, sudah jelas posisinya di mana dalam sistem Nafuzi nanti, mungkin sebagai pemain tengah bertahan. Jika formasi 4-4-2, gandingan Ott dan Amirbek mungkin boleh digandingkan. Namun, bagaimana jika 4-3-3?

Ini menarik perhatian kita sebagai pemerhati. Adakah bekas pengendali yang mula menjadi ketua jurulatih pada musim 2020 itu akan membawa masuk seorang lagi pemain tengah yang mempunyai pengalaman?

Melihat senarai pemain yang dikekalkan, Amirul Hisyam dan Fadzrul Danel adalah pemain tengah yang masih bersama pasukan pada musim depan.

Jadi, adakah kita mungkin bakal melihat pertambahan pemain yang lebih berpengalaman? Ini bagi memudahkan Nafuzi untuk memanaskan enjinnya.

Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Nafuzi. Melihat kepada tren pemain yang dibawa setakat ini, dipercayai Kedah dalam misi membawa masuk pemain-pemain yang berpengalaman untuk melakar sesuatu musim depan. Mungkin sekurang-kurangnya menjulang satu kejuaraan terlebih dahulu?

Jika itu adalah misinya, kita mungkin akan melihat seorang lagi pemain tengah yang berpengalaman dan mungkin berpengaruh untuk Sang Kenari.

Mengikut khabar angin, figura naturalisasi terbaru skuad kebangsaan pada ketika ini, Lee Tuck, hangat dikait sedang cuba dipancing dari Sri Pahang.

Seperti Ott, Lee Tuck ‘masak’ dengan kemahuan Nafuzi. Beliau pernah bersama pengendali itu di Terengganu pada musim pertama Nafuzi bertindak sebagai pengendali sementara, sebelum mengambil alih pada musim 2020. Beliau juga kembali secara pinjaman pada musim 2021.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN