Ketepikan Tawaran Mega, Habib Haroon Pilih Untuk Setia Bersama Terengganu

Habib Haroon

Pemain tengah Terengganu, Habib Haroon memilih untuk terus berlaku setia kepada kelab itu apabila bersetuju untuk kekal di Gong Badak semusim lagi.

Dengan Terengganu mengalami revolusi sejak pemergian Nafuzi Zain, Haroon memilih untuk kekal bagi memastikan cabaran pasukan Pantai Timur itu terus kuat musim hadapan.

Dalam pengumuman dilakukan oleh Terengganu di media sosial mereka, naib juara Liga Super itu mengatakan Haroon memilih untuk kekal sebagai tanda membalas kepercayaan kelab kepadanya.

“Habib Haroon memutuskan untuk terus kekal setia bersama pasukan Terengganu FC bagi saingan musim 2023.

“Habib Haroon menyatakan ini adalah cara beliau membalas kepercayaan kelab terhadap dirinya selama beliau berkhidmat bersama pasukan ini, dan semestinya ini adalah untuk membalas pengorbanan yang telah penyokong lakukan bersama beliau dan pasukan terutama pada musim ini,” ujar Terengganu dalam kenyataan mereka.

Terengganu juga mendedahkan yang Haroon sebenarnya ditawarkan oleh sebuah pasukan Liga Super dengan tawaran mega namun pemain tengah itu memilih untuk kekal di Gong Badak.

Barang kali kerana potensi bermain bola sepak Asia menjadi faktor utama mengapa Haroon memilih untuk kekal selain beliau adalah pemain utama dalam perancangan Tomislav Steinbruckner.

“Habib juga adalah pemain utama yang ingin dikekalkan oleh pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagi membentuk skuad dibawah kendaliannya pada musim hadapan,” kata Terengganu.

Leave a Reply