Qatar 2022: Apa Mesej Disebalik Watak Ibu-Ibu Yang Diangkat Maghribi Ketika Ini?

Watak ibu-ibu skuad Maghribi jadi fokus

Watak ibu-ibu telah diangkat oleh Maghribi seperti satu tema buat mereka di Piala Dunia 2022 dan terbaru, ibu pengendali, Walid Regrarui pula telah diberikan fokus saat ‘The Atlas Lions’ mengesahkan ‘tiket’ ke separuh akhir.

Regragui mungkin baru dilantik tiga bulan sebelum aksi Piala Dunia 2022, namun beliau telah memberi sesuatu untuk dikenang lama oleh Maghribi.

Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia – kali pertama dalam sejarah mereka dan juga Afrika, malah menumbangkan negara-negara besar.

Antara yang terkena ‘jerat’ mereka di edisi kali ini adalah Belgium, Sepanyol dan terbaru, Portugal. Mereka telah sahkan ‘tiket’ untuk bertemu Perancis.

Ironinya, Perancis adalah negara kelahiran Regragui di mana beliau telah dibesarkan di sebuah penempatan, Corbeil-Essonnes berdekatan Sungai Seine, yang makin ditelan oleh kepesatan bandar Paris, berhampirannya.

Ibu Regragui menetap lebih 50 tahun di Paris dan dikatakan tidak pernah keluar untuk melihat anaknya ketika beliau bermain mahupun saat menjadi jurulatih walaupun kerap pulang ke Maghribi ketika beliau masih bersekolah.

Walaupun Maghribi lebih kepada negara percutiannya, namun nampaknya beliau adalah individu yang tepat untuk membawa mereka ‘terbang’ jauh.

Piala Dunia adalah suatu yang mustahil untuk dijangkau oleh negara seperti Maghribi, namun cita-citanya berjaya memberi inspirasi yang tidak pernah difikirkan mereka selama ini. Ini adalah Piala Dunia kelima dalam sejarah mereka dan ketika ini mereka hanya selangkah menuju ke pentas final.

Kita, warga Afrika adalah istimewa. Kita perlu ubah mentaliti kita. Kenapa kita tidak berfikir untuk memenangi Piala Dunia?” ungkapnya sebelum ini.

Sejujurnya, gelaran ‘Dark Horse’ di Piala Dunia kali ini adalah untuk mereka.

Pelantikannya sebelum ini menimbulkan kontroversi. Tiga bulan menuju ke Piala Dunia, Royal Moroccan Football Federation (RMFF) telah melantiknya menggantikan Vahid Halilhodzic yang dikatakan dipecat selepas berselisih faham dengan Presiden RMFF tentang hala tuju dan masa depan Maghribi.

Kehadirannya ke Maghribi sebagai pengendali seperti tidak dialu-alukan walaupun tampil 45 kali bersama mereka ketika masih bergelar pemain.

Ketika sidang media selepas mengejutkan Sepanyol di pusingan 16 terbaik, beliau meluahkan isi hatinya. “Inilah punca saya berjuang,ungkapnya.

Sebelum melangkah ke Piala Dunia, kami menghadapi masalah tentang pemain yang lahir di Eropah. Wartawan juga sering persoalkan kenapa kita tidak hanya guna pemain yang lahir di Maghribi. Hari ini kita telah tunjukkan yang mereka juga warganegara Maghribi sepertimana yang lain,” ujarnya.

Apabila mereka datang ke skuad kebangsaan, datang bersama pasport, jelas mereka mahu mati dan berjuang untuk negara. Sebagai jurulatih, saya sendiri lahir di Perancis, tetapi tiada siapa mampu mengubah hati saya untuk negara saya [Maghribi],” jelasnya lanjut mengenai cabaran yang telah dilaluinya.

VIDEO: Ini Gol Tunggal Yang Membolosi ‘The Moroccan Superman’, Yassine Bounou Selepas 4 Perlawanan

Terbukti, beberapa tonggak ‘luar’ inilah yang telah menjulang Maghribi.

Watak wira yang dijulang-julang ketika bertemu Sepanyol, Yassine Bounou adalah pemain yang dilahirkan di Kanada sebelum berpindah kembali ke Maghribi ketika beliau masih berusia 3 tahun. Kapten, Romain Saiss pula adalah pemain kacukan Maghribi-Perancis dan dilahirkan di Perancis.

Pemain yang paling mencuri tumpuan di kem mereka tentunya pemain Chelsea, Hakim Ziyech yang berasal dari keluarga Maghribi, tetapi dilahirkan di Belanda. Beliau beraksi buat skuad muda Belanda sebelum memilih untuk bersama Maghribi di peringkat senior bermula pada tahun 2015.

Selainnya, mereka memiliki bek kanan kelahiran Sepanyol, Achraf Hakimi. Ibunya adalah bekas kakak ‘cleaner’ di Sepanyol dan ayahnya hanyalah penjaja jalanan. Watak ibunya yang telah menjadi titik fokus pertama mereka selepas kejayaan menundukkan Sepanyol di pusingan 16 terbaik.

Sebelum itu, selepas tundukkan Belgium, Hakimi dikesan memeluk ibunya.

Selain Hakimi yang mencairkan seluruh hati penyokong dan pengikut bola sepak dunia dengan babak-babak bersama ibunya, hadir pula babak tarian di tengah padang antara Sofiane Boufal dan ibunya selepas Maghribi sah melangkah ke separuh akhir, menghantar pulang juara Euro 2016, Portugal.

Dan pada masa yang sama, pengendali, Walid Regragui juga dikesan telah bertemu dan memeluk ibunya di tempat duduk penyokong. Ibunya telah ‘dipaksa’ olehnya untuk datang ke Qatar untuk melihat kejayaannya.

Watak dan babak bersama ibu mereka ini jelas menunjukkan semangat kekeluargaan di kalangan mereka. Pemain-pemain ini bukanlah orang ‘luar’ sepertimana yang didakwa sebelum ini. Ibu yang melahirkan, menghayun buaian dan membesarkan mereka adalah warganegara Maghribi.

Watak ibu-ibu mereka ini dihadirkan dan menjadi titik fokus bagi menjawab segala kecaman terhadap pemain-pemain ‘luar’ Maghribi ini.

Mungkin inilah mesej kuat yang mahu disampaikan oleh para pemain ini yang semangat kekeluargaan mengatasi segalanya. Tiada istilah pemain ‘luar’ kerana semua yang menyarung jersi Maghribi – bak kata Regragui, sanggup mati berjuang demi Maghribi. Tiada yang mampu mengubahnya.

26 pemain dan barisan jurulatih Maghribi saat ini sedang menggoncang dunia dan Perancis pula akan menjadi pencabar mereka seterusnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN