Kedudukan Cristiano Ronaldo dalam skuad kebangsaan Portugal semakin terancam selepas tindakannya sendiri mula tidak disenangi oleh jurulatih Fernando Santos.
Selepas melakukan perangai apabila menunjukkan reaksi tidak senang ketika digantikan semasa menentang Korea Selatan, Santos semalam membuat keputusan drastik apabila membiarkan Ronaldo ‘mereput’ di bangku simpanan dalam aksi bertemu Switzerland.
Digantikan dengan Goncalo Ramos, ‘tulah’ Santos sebagai seorang jurulatih ternyata memihak pengendali itu apabila pemain muda Benfica tersebut mencatatkan hatrik menentang Switzerland untuk layak ke suku akhir Qatar 2022.
Adakah Goncalo Ramos Bakal Menggantikan Terus Khidmat Ronaldo Selaku Penyerang Utama Portugal?
Apa yang berlaku ini pastinya akan menambah ‘api’ dendam Ronaldo dengan ketua pasukan Portugal itu melihat tumpuan orang ramai beralih kepada Ramos.
Kini, ‘api’ tersebut dijangka akan semakin membara selepas Santos memberi isyarat yang Ronaldo mungkin tidak lagi akan menjadi watak utama Portugal selepas ini.
Menjelang aksi bertemu Maghribi di peringkat suku akhir, Santos tidak memberikan gambaran jelas mengenai kedudukan Ronaldo.
“Saya sentiasa menganggap beliau sebagai pemain yang cukup penting untuk pasukan. Kami tidak pernah ada masalah untuk membezakan hubungan antara pemain dengan pengurus selain hubungan sesama manusia.
“Ada perkara yang masih perlu diselesaikan [fungsi Ronaldo dalam pasukan]. Adalah penting untuk melihat sejarah seseorang pemain itu, beliau adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dan kita perlu mengambil keputusan secara kolektif,” kata Santos.
Tambah Santos, Ramos menawarkan lebih kelancaran kepada serangan Portugal berbanding Ronaldo yang lebih terhad.
Oleh itu, gerakan serangan Portugal lebih lancar dan sukar digugat Switzerland yang tumbang 6-1 kepada juara EURO 2016 ini.
Selain merakamkan hatrik, Ramos juga mencatatkan bantuan gol untuk jaringan Raphael Guerreiro.