Dalam pengumuman perubahan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2023, dimaklumkan beberapa ‘ubi muda’ yang bakal dinaikkan pangkat.
Pendedahan ekslusif itu dilakukan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi satu rakaman video yang disiarkan di laman YouTube JDTTV, kira-kira tiga hari lalu.
TMJ tampil dengan beberapa pengumuman penting mengenai perubahan untuk saingan musim depan. Barisan pemain yang lebih segar, mungkin?
Ini kerana, TMJ ada menjelaskan yang mereka akan diperkukuhkan dengan beberapa pemain muda dari JDT II selain akan diketuai pengendali baharu.
Pengendali berusia 42 tahun dari Argentina bakal diterbangkan khas untuk mengendalikan JDT bagi saingan musim depan. Tiada lagi kelibat Hector Bidoglio di tepi padang kerana beliau akan lebih banyak dengan aktiviti di pejabat sebagai Pengarah Teknikal menggantikan Alistair Edwards.
Alistair akan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT yang baharu. Jadi, ini turut menonjolkan perubahan besar di belakang tabir.
Menurut TMJ, selain perubahan pemain dan jurulatih, turut akan berlaku perubahan struktur dan model latihan pasukan, rejim diet dan teknologi.
Esteban Solari mungkin asing bagi kita, namun pengendali baharu JDT itu adalah pembantu kepada Javier Mascherano di skuad B-20 Argentina.
“Dia Bukan Penolong Jurulatih Kepada Mascherano” – Siapa Esteban Solari?
Sebagai pengendali muda dan berpengalaman di peringkat yang tertinggi, tentunya terdapat idea-idea baharu dan segar bakal diketengahkan selepas ini selari dengan perubahan yang dimahukan oleh TMJ musim depan.
‘Mesra’ dengan pemain muda, tentunya idea untuk menyerap beberapa pemain muda ke skuad utama adalah topik pertama di buku kerjanya nanti.
Perlu diingatkan, mungkin apa yang dimaksudkan TMJ adalah dari segi pendaftaran pemain. Ini kerana, terdapat beberapa pemain muda dalam skuad utama JDT telah didaftarkan bersama JDT II, bukan skuad utama.
Antaranya adalah Hong Wan yang dilihat bakal meraih ‘tiket’ untuk bersama skuad utama. Selain Hong Wan, nama Akhyar Rashid yang berusia 23 tahun turut berada di JDT II bersama bek tengah, Feroz Baharuddin (22 tahun).
Mereka ini dijangka akan didaftarkan bersama skuad utama JDT nanti.
Selain itu, TMJ ada menyebut nama Daryl Sham yang didaftarkan bersama skuad Piala Presiden. Untuk Hong Wan dan Akhyar, mungkin nama mereka sudah tidak asing kerana sudah lama bergelumang bersama pemain senior.
‘Ubi’ JDT Daryl Sham Bakal Jadi Pemain Terpenting Malaysia Di Masa Depan
Feroz juga semakin mendapat tempat sejak mereka kehilangan khidmat Shane Lowry akibat kecederaan panjang. Jadi, hanya Daryl Sham yang mungkin sedikit asing dengan hanya beberapa penampilan bersama skuad senior akan didaftarkan terus ke skuad utama untuk musim depan.
Berusia 20 tahun, Daryl muncul penjaring tempatan terbanyak untuk Liga Premier dengan sembilan gol dan berjaya menjaringkan gol debut dengan skuad senior dalam perlawanan Piala FA menentang BRM FC. Beliau juga meraih kejuaraan Liga Premier (JDT II) dan Piala Presiden (JDT III).
Sangat tipis untuk kita menjangkakan kejutan. Jadi, inilah antara ‘ubi muda’ yang mungkin akan didaftarkan bersama JDT senior. Maksud dinaikkan pangkat adalah secara pendaftaran mereka, bukanlah pemain baharu.
Barangkali ia hanyalah retorik sahaja dan tidaklah menggambarkan realiti sebenar yang akan berlaku – ramai pemain muda dinaikkan pangkat.
Ruang yang ditinggalkan mereka akan boleh diisi oleh pemain-pemain dari Piala Presiden untuk berdepan saingan Liga Simpanan musim depan.
Begitupun, kita tidak boleh menutup terus pintu kepada pemain-pemain muda JDT II yang cemerlang pada musim lalu untuk didaftarkan bersama skuad utama. Antara yang mungkin boleh diketengahkan oleh Solari nanti adalah Chia Ruo Han, Umar Hakeem Suhar Redzuan dan Aysar Hadi Shapri.