“Dia Bukan Penolong Jurulatih Kepada Mascherano” – Siapa Esteban Solari?

Esteban Solari JDT jurulatih Argentina B-23 B-20 Mascherano

Dalam satu perkongsian berita tentang jurulatih baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), terdapat satu komen yang menarik perhatian tentang Esteban Solari.

“[Esteban] Solari bukan penolong jurulatih kepada Javier Mascherano, dia adalah pembantu jurulatih dan tidak benar dia mendapat tawaran dari Eropah atau River Plate!”

“Penolong jurulatih adalah Oscar Hernandez dan jurulatih kecergasan adalah Pablo Blanco. Berapa banyak lagi penipuan dalam bola sepak!”

Twitter Oliver Campos

Jadi, siapa Oliver Campos ini? Dan adakah perkongsian oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) adalah satu penipuan seperti yang didakwanya? Kita perlu meneliti beberapa perkara.

Melihatkan akaun Twitter tersebut, ia adalah akaun yang sudah lama wujud – sejak 2013. Beliau banyak berkongsi berita-berita bola sepak di Argentina – negara kelahirannya, termasuklah dari La Liga terutamanya Barcelona.

Jadi, mungkin benar, beliau lebih arif selok-belok arena bola sepak di sana.

Mengapa beliau memberikan respon sebegitu terhadap kenyataan TMJ? Adakah TMJ salah dalam perkongsiannya tentang maklumat Solari itu?

Kita lihat semula kenyataan penuh TMJ dalam video pendedahan ekslusif di JDTTV, malam tadi. Apa yang telah disampaikan oleh TMJ sebenarnya.

“Kami akan ada ketua jurulatih baharu dimana saya peribadi mengagumi jurulatih ini kerana sudah kenal beliau sejak beberapa tahun. Kami sudah berkomunikasi beberapa tahun.”

“Beliau sekarang berada dalam skuad B-23 Argentina bersama Javier Mascherano.”

“Beliau juga menerima tawaran dari beberapa kelab seperti River Plate dan juga skuad remaja Barcelona. Tetapi saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek bola sepak Johor Darul Ta’zim.”

“Jurulatih itu ialah Esteban Solari, adik kepada Santiago Solari yang berada di Real Madrid. Beliau akan mengambil alih sebagai ketua jurulatih pasukan utama.”

TMJ, wawancara di JDTTV

https://twitter.com/OCV1965/status/1598209944213671936

Secara jelasnya, TMJ dilihat tidak menyebut Solari adalah penolong jurulatih kepada Mascherano. Beliau mengatakan ‘berada bersama’, bukan penolong.

Solari memang berada dalam skuad B-23, membantu Fernando Batista dan turut membantu Mascherano dalam skuad B-20 Argentina. Mascherano memang sudah ada ‘orang kanan’ iaitu seperti yang diciap pemilik Twitter tersebut, Oscar Hernandez selain Solari yang turut dilantik untuk bersama.

Ini berdasarkan artikel Infobae, “Mascherano tidak teragak-agak untuk melantik Hernandez sebagai penolongnya. Mereka turut disertai oleh Esteban Solari yang sudah menjadi penolong kepada Fernando Batista selain Damian Albil (jurulatih penjaga gol) dan Lucio Stortoni (penganalisa video).

Pembantu ataupun penolong, yang berbeza mungkin tahap kekananannya dalam hierarki kejurulatihan pasukan, tetapi beliau memang ada bersama Mascherano mahupun Batista dan skuad B-23 serta B-20 Argentina.

Melihat kepada lesen kejurulatihan Solari, beliau memiliki UEFA Pro Licence, seperti yang direkodkan oleh laman sesawang, Transfermarkt.com.

Ia boleh dikatakan setaraf dengan lesen kejurulatihan yang disyaratkan untuk dilantik menjadi ketua jurulatih di Malaysia iaitu AFC Pro-Diploma.

Begitupun, keistimewaannya berbanding AFC Pro-Diploma, UEFA Pro Licence ‘darjatnya’ lebih tinggi kerana ia ‘laku’ di seluruh dunia, tidak terhad hanya di Eropah sahaja dan sebaliknya, bagi lesen yang dikeluarkan AFC, ia hanya boleh digunakan untuk melatih pasukan di rantau Asia sahaja.

Untuk itu, Solari memiliki lesen yang melayakkannya menjadi ketua jurulatih JDT bagi musim depan. Tiada sebarang keraguan tentang lesennya.

Mungkin TMJ tersilap dalam memberi fakta tentang skuad Argentina mana yang beliau ‘membantu’ Mascherano. Argentina memiliki skuad B-23 dan B-20 yang dilatih oleh dua pengendali yang berbeza. Seperti yang dijelaskan oleh Infobae, Batista untuk skuad B-23 dan Mascherano skuad B-20.

Solari terlibat dalam kedua-dua pasukan di mana beliau bertindak sebagai penolong kepada Batista dan pembantu jurulatih kepada Mascherano.

Mengenai tawaran utuk ke River Plate dan Barcelona, kita tiada maklumat jelas tentangnya. Mungkin orang yang tinggal di sana seperti pemilik Twitter, Oliver Campos lebih arif berita dari sana. Atau mungkin juga, TMJ lebih rapat dengan Solari yang mendedahkan perkara itu secara peribadi.

Untuk lebih jelas, mungkin kita perlu tunggu Solari tiba ke Iskandar Puteri ataupun TMJ sekali lagi pelu tampil menjelaskan siapa Solari ini nanti.

Apa jua latar belakangnya, beliau telah pun diumumkan sebagai pengendali Harimau Selatan dan kita akan mengenalinya lebih dekat selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN