Jaringan tunggal Casemiro memastikan juara Piala Dunia lima kali, Brazil mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas menundukkan Switzerland 1-0 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan G Qatar 2022.
Kedua-dua pasukan turun ingin mencari kemenangan kedua bagi menjamin tempat ke pusingan 16 terakhir.
20 minit awal permainan, Brazil lebih mendominasi dengan hantaran pendek serta gerakan berbahaya ke dalam kawasan Switzerland.
Peluang terbaik Brazil hadir pada minit ke-26 melalui percubaan Vinicius Junior namun penjaga gol, Yann Sommer berjaya menepis keluar percubaan itu.
Yann Sommer said no ❌ pic.twitter.com/tuZnLCVwfC
— B/R Football (@brfootball) November 28, 2022
Switzerland cuba mengatur serangan sekali sekala namun serangan mereka tidak begitu bahaya untuk menggugat barisan pertahanan lawan.
Skuad bimbingan Tite mengawal perlawanan sepanjang separuh masa pertama namun pasukan lawan bermain terlalu bertahan menyebabkan pemainnya mengalami kesukaran untuk melepasi barisan terakhir bagi mendapatkan jaringan.
Beberapa peluang yang hadir masih gagal disempurnakan dengan baik oleh barisan hadapan Brazil dan pujian harus diberikan kepada Sommer yang bertindak cemerlang dalam separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Switzerland dilihat bermain sedikit terbuka dan berani untuk mula menyerang dan menekan dengan beberapa gerakan.
Vinicius berjaya memecah kebuntuan untuk gol pertama permainan pada minit ke-64 namun kegembiraan itu hanya sebentar selepas Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan jaringan itu dibatalkan akibat ofsaid.
Kedua-dua jurulatih terpaksa melakukan beberapa pertukaran untuk mendapatkan jaringan pertama untuk pasuan masing-masing.
Pertukaran yang dilakukan memberi perubahan positif terutama buat Brazil apabila bahagian serangan mereka kelihatan lebih mengancam berbanding sebelum itu.
Brazil terpaksa menunggu sehingga minit ke-83 untuk mendapatkan jaringan pertama melalui pemain tengah mereka, Casemiro berpunca dari satu gerakan cantik dari bawah.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Brazil mengekalkan rekod tanpa selepas dua perlawanan.
Perlawanan terakhir nanti Brazil akan turun menentang Cameroon sementara Switzerland pula akan membuat perhitungan dengan Serbia.
Kesemua pasukan masih mempunyai peluang untuk layak tetapi perlu menang aksi terakhir kerana hanya satu lagi pasukan diperlukan untuk menemani Brazil.