Qatar 2022: Ketajaman Ghana Di Hadapan Gol Hampakan Korea Selatan

Ghana Korea Selatan Piala Dunia Qatar 2022

Mohammed Kudus muncul wira selepas dua jaringannya memastikan Ghana mencatat kemenangan 3-2 ke atas Korea Selatan dalam aksi kumpulan H saingan Piala Dunia 2022 di Stadium Education City.

Taeguk Warriors ternyata pasukan yang lebih baik sepanjang 20 minit pertama perlawanan, tetapi pemain pertahanan Mohammed Salisu memberikan Ghana gol pendahuluan pada minit ke-24.

10 minit kemudian, Kudus menggandakan kelebihan buat The Black Stars apabila penyerang Ajax tersebut menyudahkan hantaran lintang Jordan Ayew dari sebelah kiri dengan tandukan tipis menewaskan penjaga gol Kim Seung-gyu.

Korea Selatan yang mendominasi permainan berjaya bangkit selepas rehat separuh masa dengan dua gol yang hanya berselang tiga minit bermula minit ke-58 dengan kedua-duanya disumbangkan oleh tandukan Cho Gue-sung.

Namun Kudus menoktahkan kemenangan pertama Ghana di kejohanan ini pada minit ke-68 dengan menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kiri untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Berdasarkan statistik, semua tiga percubaan  tepat Ghana ke arah gawang telah menghasilkan jaringan berbanding tujuh yang dilakukan oleh Korea Selatan.

Ia juga adalah kali pertama Ghana berjaya menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan sepanjang sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Menjelang minit-minit akhir, Korea Selatan melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol penyamaan, namun Ghana cekal bertahan sehingga wisel penamat, lantas menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Wakil dari benua Afrika itu kini mengumpul 3 mata dan bakal membuat perhitungan dengan Uruguay dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Leave a Reply