Pada malam ini akan berlangsung 2 lagi separuh akhir ke-2 Piala Malaysia.
Rata-rata peminat Kedah dan Selangor serta pemerhati bola sepak Malaysia merasakan final impian kali ini adalah antara 2 pasukan besar Selangor dan Kedah.
Kami berikan 5 sebab kenapa 2 pasukan ini berpotensi merealisasikan final impian ini sekaligus mengulangi final Piala Malaysia musim lalu.
1. Prestasi Semasa
Dalam kempen Piala Malaysia kali ini, Kedah dan Selangor hanya tewas sekali selepas 9 perlawanan dilalui oleh mereka.
PDRM pula telah tewas 5 kali buat masa ini. Manakala T-team pula telah tewas 3 kali dalam tempoh yang sama.
Ini adalah Statistik keempat-empat pasukan dalam kempen Piala Malaysia 2016.
[table]
Pasukan,Perlawanan,Menang,Peratusan Kemenangan,Jaringan,Bolos,
Kedah,9,6,67&%,19,7,
Selangor,9,6,67%,19,10,
T-Team,9,4,44%,11,8,
PDRM,9,4,44%,12,13,
[/table]
Berdasarkan jadual di atas, Kedah dan Selangor mengungguli kadar peratusan kemenangan dan juga jumlah gol tertinggi.
PDRM dan T-team berada di tangga ke-3 dan ke-4 dalam semua aspek penting di atas.
2. Jangan Takut Dengan Peraturan Gol Di Tempat Lawan (AG)
Sejak peraturan ini mula diperkenalkan pada 2013, setakat ini hanya PDRM yang pernah menang dengan peraturan ini dalam kempen Piala Malaysia.
Di bawah ini adalah statistik semasa dari 2013 sehingga separuh akhir pertama 2016,
[table]
Tahun,Jumlah Perlawanan,Jumlah Pasukan Menang AG,Peratusan,
2013,11,0,0%,
2014,11,0,0%,
2015,11,0,0%,
2016 (setakat ini),9,1,11%,
Jumlah,42,1,2%,
[/table]
Jadi, ia adalah sesuatu yang sukar setakat ini untuk mana-mana pasukan menang dengan peraturan gol tempat lawan.
3. Pengalaman
Ia antara aspek terpenting dalam perlawanan peringkat ini. Faktor pengalaman kedua-dua pasukan yang sudah menghimpunkan 51 final Piala Malaysia dengan 48 oleh Selangor dan 13 oleh Kedah.
Ego dan prestij ini boleh menjadi pemangkin semangat kepada para pemain. Pada masa yang sama, ia boleh mewujudkan simpton terlalu dihormati oleh lawan.
Jika ini berlaku, mereka berpotensi melakukan apa sahaja ke atas lawan mereka. Pastinya T-Team dan PDRM ada tugas besar untuk menyemai mentaliti yang kuat dalam perlawanan ini.
Ingat tak cara T-Team bermain menentang Felda United tempoh hari? Itulah cara bermain dengan pasukan ‘besar’.
4. Rekod Pertemuan
Sejak 2014, T-Team dan Selangor telah bertemu sebanyak 7 kali. 6 daripadanya adalah milik Selangor.
Sejak 2014 pula, PDRM dan Kedah telah bertemu sebanyak 5 kali. 3 daripadanya adalah dimenangi oleh Kedah dan hanya satu dimenangi oleh PDRM.
Ia satu rekod yang agak merisaukan oleh T-Team dan PDRM menjelang perlawanan penting dalam sejarah kedua-dua pasukan under-dog ini.
5. Ada Apa Dengan Away Game?
Walaupun kedua-dua pasukan hanya menang tipis dalam perlawanan pertama namun rekod mereka di tempat lawan dalam kempen Piala Malaysia musim ini agak cemerlang.
Daripada 8 perlawanan di tempat lawan Kedah dan Selangor, hanya satu sahaja kekalahan dicatatkan iaitu oleh Selangor.
Kedah pula menang 3 dan seri sekali daripada 4 perlawanan di tempat lawan dalam Piala Malaysia 2016.
Jadi, ini bukan masa yang sesuai untuk penyokong T-Team dan PDRM berangggapan bahawa mereka ada kelebihan besar di tempat sendiri.
Mungkin T-Team akan menenggelamkan jumlah penyokong Selangor kerana mereka kini menjadi harapan oleh peminat bola sepak Terengganu. Namun, kami jangkakan keadaan ini tidak akan berlaku di Stadium Hang Jebat.
Faktor penyokong ini juga penting untuk menjadi propaganda menaikkan semangat pemain di dalam padang untuk memastikan mereka seperti di laman sendiri dalam setiap perlawanan di tempat lawan.
Sebelum Wisel
Ia adalah perlawanan yang paling penting untuk pasukan seperti T-Team dan PDRM untuk diabadikan dalam sejarah kelab mereka. Keempat-empat pasukan ada perlawanan yang sangat terbuka pada malam ini.
Tekanan antara musuh utama dalam setiap pasukan.
T-Team ada tekanan mereka tersendiri dengan aspirasi peminat bola sepak di Terengganu mula dialihkan kepada kelab ‘kerdil’ dengan jiwa besar ini.
Untuk Selangor, tekanan adalah kerana mereka adalah Selangor dan mereka sudah sinonim dengan Piala bersejarah ini.
PDRM mungkin pasukan yang paling rendah tekanan dalam separuh akhir kali ini. Ia mungkin faktor yang akan membantu mereka untuk melakukan kejutan.
Di antara 4 pasukan ini, kami rasakan Kedah adalah pasukan yang paling tinggi tekanan kerana harapan penyokong. Mereka juga sudah terlepas 2 piala utama musim.
Tidak lupa juga, prestasi hambar dalam separuh musim Liga Super. Tan Cheng Hoe pastinya mahu menebus kegagalan musim lalu. Pada masa yang sama, Kedah adalah pasukan yang paling stabil di antara keempat-empat semifinalis.
Jadi amat penting untuk Kedah mengendalikan tekanan itu sejak dari minit pertama. Gol pendahuluan mungkin vaksin paling berkesan.
Jangan lupa saksikan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2016 malam ini. Siapakah yang akan melangkah ke final?
Baca juga: 5 Sebab Kemungkinan Final Impian Piala Malaysia 2016, Selangor vs Kedah Tidak Akan Berlaku