Kemenangan 1-0 ke atas PDRM dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras mengesahkan kemaraan Kuala Lumpur (KL) City ke peringkat suku akhir.
The City Boys menang 4-0 secara agregat dan bakal membuat perhitungan dengan Terengganu untuk pusingan seterusnya dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan.
Namun topik yang difokuskan dalam penulisan kali ini adalah mengenai Zhafri Yahya, penjaring gol kemenangan KL City pada lewat permainan.
Populariti pemain berusia 28 tahun ini ‘meroket’ sejak dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu.
Entah di mana silapnya, nama beliau langsung tidak tersenarai untuk skuad Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Singapura hanya beberapa hari selepas saingan Piala Malaysia berakhir.
Namun ia bukanlah batu penghalang untuk Zhafri berputus asa dengan impiannya menyarung jersi kebangsaan. Dengan prestasi yang konsisten pada tahun ini, beliau telah dua kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Tetapi takdir telah tertulis rezeki masih belum berpihak kepadanya. Setakat ini bekas pemain skuad Piala Presiden Selangor berkenaan masih belum diberikan peluang untuk membuat debut di peringkat antarabangsa.
Ini termasuklah semasa kejohanan King’s Cup di Chiang Mai tempoh hari. Beliau dibiarkan ‘mereput’ di bangku simpanan sehingga membangkitkan kemarahan pengendali KL City, Bojan Hodak.
Jurulatih @KLCityFootball, Bojan Hodak tidak puas hati kerana menganggap Kim Pan Gon membawa Declan Lambert dan Zhafri Yahya ke King's Cup hanya untuk bercuti.
Namun beliau tidak menyalahkan FAM atau MFL kerana kedua pihak itu telah membantu mereka dari segi penyusunan jadual. pic.twitter.com/Baz4zrjbmq
— Pecinta Bola Sepak Malaysia (@PcntaBolaSpakMy) September 29, 2022
Jurulatih warga Crotia tersebut mempersoalkan keperluan untuk membawa ayam tambatannya itu dan pada masa yang sama skuad ibu kota terpaksa menghadapi perlawanan kompetitif di peringkat domestik semasa kalendar bola sepak antarabangsa.
Menurutnya ia adalah satu pembaziran dan seolah-olah Zhafri sekadar dibawa ‘bercuti’ kerana langsung tidak diberikan sebarang minit untuk skuad kebangsaan.
Kim Pan-gon nampak lebih cenderung untuk menurunkan pemain-pemain yang kurang minit permainan bersama kelab masing-masing.
“Sumareh Tak Ada Fungsi Langsung” – Azraai Khor Anggap Malaysia Umpama Main 10 Orang Sahaja
Hasilnya ada antara ‘anak emas’ skuad kebangsaan ini mempamerkan aksi yang memalukan, jauh daripada standard yang sepatutnya dicapai oleh seorang pemain yang mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Bermula daripada ‘pemain buangan’ di negeri kelahirannya sendiri, beliau merupakan pemain paling lama berkhidmat untuk pasukan Kuala Lumpur dalam skuad yang ada pada ketika ini.
Zhafri adalah lambang kegigihan seorang pemain bola sepak. Rembatan padu dari luar kotak penalti pemain kelahiran Meru ini yang menerjah gawang PDRM seolah-olah memberikan isyarat kepada Kim Pan-gon.
89' GOL | Zhafri Yahya memecahkan kebuntuan pada lewat perlawanan!@KLCityFootball 1-0 @officialpdrmfc #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/tkYSyNWzoS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 1, 2022
Minit permainan, konsistensi, serba boleh, kecergasan, kegigihan dan sentuhan jaringan melengkapkan pakejnya sebagai salah seorang ‘pemain elit’ di negara ini.
Kejayaan KL City mengharumkan nama Malaysia selepas memahat nama sebagai naib juara Piala AFC tempoh hari juga merupakan salah satu sumbangan besarnya.
Apa lagi yang perlu Zhafri buktikan?