“Sumareh Tak Ada Fungsi Langsung” – Azraai Khor Anggap Malaysia Umpama Main 10 Orang Sahaja

Saingan King’s Cup sudah pun berakhir dengan Malaysia sekadar muncul naib juara setelah ditewaskan oleh Tajikistan menerusi aksi penentuan sepakan penalti 3-0 semalam di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Aksi yang dipamerkan skuad kebangsaan rata-rata mendapat pelbagai reaksi daripada pemerhati bola sepak tempatan termasuk mengenai pemain negara pada malam itu, Mohamadou Sumareh.

Corak permainan yang ditampilkan Sumareh pada malam itu jelas mendapat kritikan di segenap arah apabila pemain naturalisasi itu gagal memberi impak positif di bahagian serangan serta keseluruhan untuk membantu pasukan.

Jurulatih berpengalaman negara, Azraai Khor Abdullah menyifatkan Sumareh sebagai pemain yang langsung tidak memberi apa-apa fungsi buat pasukan.

Malahan, pemain tersebut juga hampir memberi masalah buat skuad kebangsaan menerusi sikapnya yang agak beremosi pada perlawanan tersebut.

Menurut jurulatih yang berasal dari Kedah itu, menerusi aksi yang dipamerkan oleh Sumareh pada saingan King’s Cup baru-baru ini, menunjukkan bukti skuad negara tidak memerlukan lagi khidmat naturalisasi masa akan datang.

Ulas Azraai, aksi yang dipamerkan pemain tersebut pada aksi menentang Tajikistan baru ini membuktikan Sumareh jelas tidak banyak membantu serangan pasukan selain kerap kehilangan bola serta telah membuat terjahan berbahaya kepada pihak lawan.

“Ramai tidak menyedari sebenarnya Harimau Malaya hanya beraksi seperti 10 pemain saja ketika menentang Tajikistan di final Piala Raja Thai 2022 di Stadium Chiang Mai, Ahad lalu.

“Sumareh tak ada fungsi langsung sehingga kita lihat Harimau Malaya semalam seperti bermain 10 pemain saja seterusnya sukar untuk menjaringkan gol.

“Kita boleh lihat bagaimana dia melakukan terjahan. Selain boleh menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua, kemungkinan pemain lawan itu boleh cedera teruk.

“Tindak-tanduknya kurang cerdik dan tak layak duduk dalam pasukan kebangsaan kerana beraksi untuk skuad Harimau Malaya memerlukan mentaliti bagus dan bijak membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan tersebut, Tajikistan jelas lebih mendominasi perlawanan menerusi beberapa peluang serangan dicipta mereka ke kubu Malaysia.

Sumareh yang bergandingan bersama Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid gagal memberikan impak terbaik mereka untuk memberi ancaman besar ke kubu lawan seoanjang aksi berlangsung.

Lebih mengharukan keadaan, terjahan keras Sumareh hampir menyebabkan Malaysia ketika itu terpaksa bermain dengan 10 orang pemain, apabila pemain tersebut dilihat sengaja mencederakan Ehsoni Panshanbe pada penghujung separuh masa pertama.

Pemain tersebut jelas gagal membalas kepercayaan Kim Pan-gon yang menyenaraikan Sumareh selaku pemain kesebelasan utama pada aksi final tersebut.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply