Penyokong Kedah Perlu Berhenti ‘Bermimpikan’ Kiatisuk Senamuang?

Kiatisuk-Senamuang-kait-Kedah-2023

Terdapat ura-ura di kalangan penyokong Kedah Darul Aman yang Kiatisuk Senamuang adalah antara calon untuk mengemudi pasukan selepas ini.

Ini disebabkan pengunduran pengendali, Aidil Sharin Sahak selepas empat musim membawa Kedah dalam saingan Liga Malaysia sejak musim 2019.

Aidil meninggalkan pasukan selepas prestasi pasukan agak merosot pada musim ini apabila menutup saingan Liga Super di tangga ke-8 – terburuk sejak kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia pada musim 2016.

Di Piala FA pula, mereka tersingkir di pusingan kedua. Mungkin yang boleh dibanggakan hanyalah layak ke separuh akhir Piala AFC Zon Asean 2022.

Beliau memiliki rekod yang agak baik sebelum ini apabila menghadiahkan Sang Kenari Piala FA 2019 serta layak beraksi di Piala AFC selama dua musim berturut-turut. Mereka turut beraksi di pusingan kelayakan AFC Champions League 2020 – tewas 1-4 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul.

Kedah juga merupakan finalis Piala Malaysia 2019 sebelum tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final dan tersingkir di pusingan suku akhir edisi 2021 – juga tewas kepada JDT dengan agregat tipis 0-1.

Dengan situasi pasukan yang diketahui sangat tidak membantu, beliau berjaya mengharungi segalanya tanpa sedikit pun menjatuhkan air muka anak buahnya. Ini suatu perkara yang menarik tentang personalitinya.

https://twitter.com/harimaumalaya7/status/1582207772338188289

Bagaimana nama Kiatisuk Senamuang boleh dikaitkan dengan Kedah? Dikatakan ia hasil ‘cadangan’ penyokong di laman sosial dan diterbitkan oleh portal HarimauMalaya.com. Menurut laporan, dikhabarkan kontrak pengendali kelahiran Thailand itu bakal berakhir pada November 2022.

Selain Kiatisuk, antara nama lain yang disebut-sebut adalah pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain yang turut berada di hujung kontraknya.

Benarkah kontrak Kiatisuk akan berakhir pada November 2022 seperti yang digembar-gemburkan? Di mana maklumat tersebut diperolehi mereka?

Rujukan utama tentunya laman Transfermarkt yang jelas menunjukkan kontraknya bersama HAGL FC di saingan V-League 1, Vietnam berada di penghujungnya. Begitupun ia tertulis ‘dijangka’, maka ia tidak semestinya akan berakhir. Beliau menandatangani kontrak dua tahun pada 2020.

Mengapa penyokong Kedah perlu berhenti ‘bermimpikan’ tentang Kiatisuk?

Pertamanya, beliau juga antara calon menggantikan pengendali Vietnam, Park Hang-seo yang akan meninggalkan skuad tersebut pada Januari 2023. Beliau tidak menolak kemungkinan itu apabila diajukan persoalan sama ada beliau berminat untuk membimbing skuad ‘Naga Emas’ pada tahun depan.

Beliau cemerlang membimbing Thailand dengan dua kejuaraan Piala AFF pada edisi 2014 dan 2016 selain pingat Emas pada Sukan SEA 2013.

Beliau telah berjaya menghidupkan semula ‘roh’ skuad kebangsaan Thailand yang dilihat terpadam selama beberapa tahun di pentas Asia Tenggara.

Adakah beliau sesuai untuk mengemudi Vietnam? Melihatkan kepada gaya permainan mereka, tiada masalah buatnya untuk menyesuaikan diri.

Kedua, kontraknya masih ada bersama HAGL. Menurut kenyataannya kepada media Vietnam, VNExpress, kontraknya masih berbaki dua tahun lagi. Jadi, ia bakal berakhir pada November 2024, bukanlah pada November 2022 seperti yang hangat digembar-gemburkan oleh penyokong Kedah.

“Kontrak saya bersama HAGL masih berbaki dua tahun lagi.”

“Tetapi, tiada siapa dapat meramal masa depan. Buat masa ini saya masih ada kontrak dengan HAGL.”

Dengan penegasan tentang kontraknya bersama HAGL, jelas beliau masih menghormatinya kontraknya selain tidak menutup ruang untuk menyertai Vietnam, jika terpilih. Namun, calon-calon lain juga tidak kurang hebatnya.

Oleh itu, penyokong Kedah jangan ‘bermimpikan’ Kiatisuk ketika ini. Jelas, komitmennya adalah untuk bersama HAGL dan membantu kelab tersebut keluar daripada prestasi buruk ketika ini – gagal meraih mata dalam lapan perlawanan di V-League 1 berturut-turut, malah tewas lima daripadanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN