Pengendali Indonesia bawah 17 (B-17), Bima Sakti memohon maaf atas kekalahan yang dialami oleh skuad kendaliannya kepada para penyokong setelah mereka tumpas di tangan Malaysia dengan keputusan penuh 1-5.
Dalam aksi peringkat Kumpulan B bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Pakansari itu, pasukan tuan rumah jelas gagal mengekang kemaraan pelawat sehingga mereka mencatat kekalahan besar yang agak memalukan.
Tim U17 Indonesia harus mengakui keunggulan Malaysia dengan skor akhir 1-5.
Terus berkembang, adik-adik! 🦅#KitaGaruda pic.twitter.com/uHi5g5s0aH
— PSSI (@PSSI) October 9, 2022
Lebih menyedihkan, pasukan kendalian beliau juga sah tidak layak untuk beraksi dalam saingan Piala Asia pada tahun hadapan, setelah gagal untuk muncul sebagai enam pasukan terbaik di tangga kedua.
Lima gol yang dibolosi oleh Indonesia telah diledak oleh barisan serangan negara menerusi dua jaringan Arami Wafiy, Zainurhakimi Zain, Anjasmirza Saharudin, dan Afiq Danish.
Indonesia yang berusaha untuk mendapatkan gol sepanjang perlawanan berlangsung berjaya memperoleh jaringan pertama mereka pada penghujung perlawanan menerusi Arkhan Kaka sebagai sagu hati.
“Sebagai jurulatih skuad ini, saya ingin memohon maaf kepada semua peminat bola sepak Indonesia kerana apa ditampilkan kami pada perlawanan itu kurang memuaskan. Pastinya kami juga sangat sedih,” jelas Bima Sakti menerusi Bola.com.
Pada masa sama, beliau juga menasihatkan para pemain untuk mempelajari sesuatu daripada perlawanan semalam sebagai pengalaman mematangkan mereka.
Bima Sakti juga menganggap perjalanan pemain muda seperti Kak Arkhan dan rakan-rakan sepasukan lain masih lagi panjang dan boleh dibentuk dengan baik.
Malaysia yang muncul salah satu daripada 10 juara kumpulan bersama 6 naib juara kumpulan terbaik telah melengkapkan senarai 16 pasukan yang layak ke Piala Asia B-17 2023 selepas berakhir kesemua perlawanan kelayakan.
Tahniah Harimau Malaya B-16! 🇲🇾#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/hDf9ys4ic4
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 9, 2022
“Saya beritahu kepada semua pemain untuk mengambil iktibar atas kekalahan ini dan menjadikan ia sebagai proses pembelajaran untuk masa hadapan.
“Perjalanan mereka masih lagi panjang untuk bergelar sebagai pemain profesional, dan inilah tanggungjawab saya sebagai seorang jurulatih,” tegas beliau lagi.
Selain itu, salah seorang tonggak Indonesia iaitu Sulthan Zaky juga jelas mahu kembali bangkit daripada kekecewaan dan mengakui ini semua merupakan proses pembelajaran buat dirinya bersama rakan sepasukan.
“Kami harus kembali bangkit dan bersedia dari segi fizikal dan mental selain mengatasi segala kelemahan-kelemahan pada perlawanan lalu,” ujar beliau.
Reaksi yang diberikan oleh jurulatih Malaysia iaitu Osmera Omaro pula adalah berlainan, apabila beliau tidak menyangka pasukan kendaliannya mampu mencatat kemenangan besar untuk mengatasi tuan rumah.
“Kami sebenarnya memang sudah menantikan pertemuan ini kerana pada pendapat saya Indonesia merupakan salah satu pasukan yang sangat kuat.
“Namun tak jangka pula situasi sebegini akan berlaku, mungkin Indonesia kurang bernasib baik sahaja pada perlawanan semalam.
“Walaupun begitu, pujian tetap harus diberikan kepada para pemain yang sentiasa mengikut arahan saya pada perlawanan tersebut.
Tahniah Malaysia! 🇲🇾
Skuad Harimau Malaya B-16 mengesahkan tempat di Piala Asia B-17 2023 susulan kejayaan menewaskan Indonesia 5-1 di Stadium Pakansari, Bogor sebentar tadi! #FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/qC0O7ngvTB
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 9, 2022
“Apa boleh dikatakan saya, ini merupakan aksi terbaik pernah dipamerkan oleh mereka sepanjang saingan ini,” jelas Osmera Omaro.