Pemain baharu Wolverhampton Wanderers, Diego Costa mengakui yang beliau sebenarnya ‘kecut perut’ sewaktu melakukan penggambaran video pengenalannya sebagai pemain kelab baharu itu.
Dalam video berdurasi 46 saat itu, Costa dilihat berjalan dengan membawa tiga ekor serigala simbolik kepada kelab tersebut yang sinonim dengan binatang tersebut.
Costa juga dilihat membawanya dengan rantai besi yang membawa maksud serigala tersebut adalah binatang yang liar dan mampu melukakan si mangsanya jika tidak dikawal rapi.
Ia turut menjadi wakil kepada personaliti Costa sendiri yang dianggap sebagai bengis dan ‘budak jahat’ di dalam padang.
It's official. ✍️ pic.twitter.com/FXcgReSlsr
— Wolves (@Wolves) September 12, 2022
Bengis tapi takut
Sungguh pun mempunyai karektor bengis sebagai pemain, namun Costa mengakui yang sebenarnya takut apabila mengendalikan serigala-serigala terbabit.
Menurut ESPN, Costa mengatakan yang pengalaman diperolehnya dalam penggambaran video itu adalah menarik tetapi menggerunkannya.
“Ianya adalah satu pengalaman yang menarik tetapi tidaklah begitu selesa [buat saya].
“Saya ada lima ekor anjing [di rumah] tetapi bukannya serigala!,” kata Costa.
Costa jelas terkejut apabila melihat serigala yang sebenar digunakan dalam penggambaran videonya dan bukannya anjing.
“Semua itu adalah serigala, bukannya anjing,” ujar Costa.
Costa kembali ke saingan Premier League dengan menyertai projek jangka pendek bersama-sama Wolves.
Bekas pemain Chelsea itu mengikat kontrak sehingga penghujung musim ini untuk memberikan lebih pilihan kepada Bruno Lage di bahagian serangan.
Kontrak yang diterima Costa adalah hampir sama dengan yang diterima oleh penjaga gol baharu Newcastle United iaitu Loris Karius.
Cumanya, Karius cuma mengikat kontrak sehingga pertengahan musim tetapi bekas penjaga gol Liverpool itu masih ada pilihan untuk menyambungnya sehingga tamat kempen 2022/2023.
Kehadiran Costa pastinya memberikan gerun kepada pasukan lawan terutamanya kualiti yang ada pada penyerang itu yang jelas terbukti berkualiti di Premier League.
Costa dijangka akan melakukan penampilan pertamanya bersama-sama Wolves pada Sabtu ini apabila mereka melayan kunjungan Manchester City.