Sri Pahang Hilang 2 Tonggak Utama Pada Perlawanan Malam Ini?

Menjelang perlawanan malam ini dalam saingan Liga Super yang membabitkan Melaka United dan Sri Pahang, pastinya persiapan rapi sudah pun dibuat kedua pasukan tersebut untuk misi menggenggam tiga mata.

Namun dikhabarkan Sri Pahang mungkin berdepan sedikit masalah dari segi persiapan mereka untuk perlawanan ini dalam penyediaan pemain terbaik bagi menghadapi lawan.

Dikhabarkan skuad kendalian Dato’ Dollah Salleh kini mempunyai masalah kecederaan dalam kalangan pemain yang memungkinkan beliau terpaksa membuat sedikit rombakan.

Dua pemain tersebut ialah pasangan pertahanan kental mereka iaitu Nick Swirad dan Muslim Ahmad yang mempamerkan aksi cemerlang pada beberapa perlawanan sebelum ini.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kecederaan yang dialami Muslim yang juga kapten pasukan dalam keadaan 50-50 manakala Swirad agak serius.

“Dua pemain pertahanan ini juga tidak menjalani latihan bersama pemain lain semalam, disebabkan masih lagi belum pulih.

“Bagaimanapun, Muslim dan Swirad akan tetap dibawa ke Melaka dan diharapkan segala perancangan tidak terjejas sekiranya mereka tidak bermain,” katanya menerusi Berita Harian.

Menurut info, kedua pemain tersebut telah mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan lalu sewaktu menentang Petaling Jaya City (PJ City).

Pada perlawanan tersebut, Sri Pahang cemerlang menewaskan PJ City dengan keputusan 3-0 untuk melonjakkan pasukan mereka di kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super.

Untuk rekod semasa, Sri Pahang kini cemerlang meneruskan momentum kemenangan mereka sebanyak tiga kali berturut-turut, dan aksi menentang Melaka United tentunya mahu diteruskan dengan keputusan positif.

Untuk itu, jurulatih berpengalaman tersebut menuntut para pemain supaya supaya mengekalkan komitmen mereka untuk terus berdisiplin sepanjang aksi 90 minit malam ini.

Walaupun sedar lawan mereka malam ini berada di kedudukan sembilan carta liga berbanding Sri Pahang yang melonjak pada tempat kelima, Dollah tetap mengharapkan kemenangan buat mereka malam ini.

“Tiga kemenangan berturut-turut yang diperoleh diharap meningkatkan motivasi kepada semua pemain untuk terus melonjakkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Bukan sahaja kekentalan bahagian pertahanan, malah kerjasama di bahagian tengah dan serangan akan membantu memberi tekanan kepada lawan.

“Saya juga mahu Abdul Malik Mat Ariff dan Steven Rodriguez meneruskan sentuhan jaringan mereka,” katanya.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN