Bang Seung-Hwan, Contoh Pertahanan Yang Sentiasa Dirindui Kedah

Pada era kejurulatihan Tan Cheng Hoe dalam kem Kedah Darul Aman (KDA), boleh dikatakan ianya sangat gemilang dan penuh dengan episod positif buat kalangan penyokong Hijaukuning.

Dengan kejutan yang ditampilkan Cheng Hoe dari segi corak permainan serta falsafah baharu ketika itu, pengendali tersebut juga berjaya membawa masuk beberapa pemain import yang dianggap sangat berkualiti.

Kredit: Kedah FA

Antara nama pemain import sangat menyerlah ketika itu ialah Bang Seung-hwan yang berasal dari Korea Selatan dan berkebolehan beraksi di pelbagai posisi.

Bang cepat memberi impak

Bang mula menyertai KDA pada awal musim 2015, dan ketika itu posisi asalnya bukan diletakkan sebagai pertahanan sebaliknya beraksi di bahagian tengah.

Pertahanan import KDA ketika itu merupakan Lawrence Omondi Olum yang merupakan pemain kebangsaan Kenya sebelum khidmat beliau ditamatkan lebih awal kerana prestasi kurang memberansangkan.

Selain itu, khidmat penyerang muda dari Liberia iaitu Keith Murtu Nah turut ditamatkan sebelum KDA menandatangani dua pemain tengah pada pertengahan musim, Sandro da Silva Mendonca serta Liridon Krasniqi.

Kredit foto: Kedah FA

Perginya Lawrence Olum membuka lembaran baharu buat pemain dari Korea Selatan itu untuk menyerlah bersama KDA selaku ‘kereta kebal’ pasukan.

Gandingan beliau ketika itu bersama Khairul Helmi Johari nyata berjaya memberi impak terbaik buat KDA menerusi persefahaman mereka yang sangat baik sepanjang musim.

Koleksi kejayaan Bang bersama Kedah

Sepanjang bersama KDA pada musim 2015 dan 2016, Bang telah mengecapi beberapa kejayaan yang membanggakan buat dirinya selaku pemain bola sepak profesional.

Beliau telah membantu KDA menjuarai saingan Liga Premier pada musim 2015, naib juara Piala Malaysia 2015, tempat ketiga saingan Liga Super 2016, serta menjuarai Piala Malaysia 2016.

Bang muncul sebagai antara pemain yang mencipta revolusi kejayaan baharu buat KDA sepanjang bersama Cheng Hoe ketika itu dan meninggalkan impak dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Kelebihan Bang selaku pertahanan

Bang merupakan pemain boleh beraksi sebagai ‘ball playing defender’, iaitu seorang yang tenang dan mampu mencipta gerakan di bahagian pertahanan.

Kelebihan beliau juga terletak pada pertarungan di udara apabila Bang memiliki lonjakan yang sangat baik serta menepati ketinggian selaku seorang pertahanan.

Selain itu, Bang mempunyai kemahiran berdepan penyerang lawan secara individu dan bijak menutup ruang dengan cepat selain membentuk persefahaman baik bersama Khairul Helmi Johari ketika itu.

Nilai tambah yang diberikan Bang ialah beliau juga boleh beraksi sebagai pemain serangan dan boleh menjaringkan gol ketika situasi bola mati untuk memberi lebih banyak peluang buat KDA mendapatkan jaringan.

Kesimpulan

Bang merupakan antara contoh pembelian import yang terbaik buat KDA pada suatu ketika menerusi impak yang ditinggalkan beliau bersama pemain pertahanan tempatan lain.

Untuk ketika ini pula, KDA menjadi antara pasukan yang paling banyak bolos setelah mereka betul-betul mengharapkan pemain tempatan sahaja di kawasan pertahanan.

Contoh pembelian import seperti Jang Suk-won pada asalnya dilihat bagus setelah beliau mempamerkan aksi menarik beberapa musim lalu bersama Melaka United, namun tonggak dari Korea Selatan itu mengalami kecederaan sehingga menamatkan kontrak lebih awal.

Seterusnya masalah terus menimpa KDA apabila Marc Vales gagal memberikan aksi yang boleh diharapkan oleh penyokong selain kerap mengalami kecederaan untuk dibawa turun dalam permainan.

Musim ini boleh dikatakan sesuatu yang amat mengerikan KDA terutama sekali di bahagian pertahanan mereka yang begitu lemah sekali dan sering bolos dalam mana-mana perlawanan.

Mungkin KDA sebenarnya memerlukan lagi pemain yang berjiwa besar dan berkualiti tinggi seperti Bang Seung-hwan pada musim hadapan.

Sehingga kini, masih belum ada mana-mana pemain import kuota Asia yang boleh meninggalkan impak seperti beliau.

Contoh paling rapat mungkin bekas pertahanan KDA dari Singapura beberapa musim lalu iaitu Shakir Hamzah yang dilihat sangat berkualiti di posisi tersebut.

Semoga musim depan, KDA dapat mencari calon import yang mempunyai jiwa dan berbakat besar seperti Bang untuk menguatkan pasukan.

Leave a Reply