Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) telah mengeluarkan kenyataan mengenai niat mereka untuk menyertai Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) setelah mengetahui ada khabar angin, Indonesia bakal menyertai Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).
Sebelum itu, India pernah menyatakan mereka bersedia untuk menyertai AFF sejak beberapa tahun lalu, namun disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu dilihat menghalang mereka untuk meneruskannya.
Indonesia Diterpa Isu Pindah ke EAFF, India Siap Gabung AFF https://t.co/f6pkMn2axV
— CNN Indonesia (@CNNIndonesia) July 30, 2022
Menurut Setiausaha Agung AIFF iaitu Kushal Das, tujuan mereka ingin menyertai AFF kerana menganggap saingan tersebut mampu menaikkan lagi mutu bola sepak India dan mendapat pendedahan lebih baik.
Dikhabarkan juga pihak AIFF sudah pun memulakan perbincangan awal bersama AFF mengenai perkara tersebut dengan India bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya jika diterima masuk.
“Maklum balas yang diberi oleh AFF sebelum ini sangat positif, tetapi ketika itu kami masih lagi tidak dapat meneruskannya dengan lebih lanjut kerana wabak Covid-19.
Jika pihak AFF mahu melanjutkan lagi perkara ini, maka kami pun akan mengambil serius untuk terus menyertai saingan tersebut,” jelas Kushal Das menerusi CNN Indonesia.
“Sekiranya AFF menerima India dalam saingan akan datang, banyak perkara lebih baharu bakal dilihat oleh para penyokong.
“Kekuatan India juga tidak jauh bezanya bersama negara-negara Asia Tenggara lain dan ini pastinya mampu memberi daya tarikan baharu untuk ditonton pemerhati bola sepak,” tambah beliau lagi.
Perkara India ingin menyertai AFF ini telah menimbulkan banyak spekulasi di media sosial dalam kalangan penyokong bola sepak, apabila Indonesia dikhabarkan mahu menyertai EAFF.
Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan sebelum itu pernah menjelaskan situasi mereka yang masih lagi memantau untuk menyertai EAFF atau kekal bersama AFF.
Ketum PSSI Masih Mikir-mikir Keluar dari AFF untuk Pindah ke EAFF, Segera Dirapatkan dengan Exco
https://t.co/kZgEhuAo9f lewat @tribunmedan— Tribun Medan (@tribunmedan) August 1, 2022
“Tahap serius kami untuk menyertai EAFF? Perkara ini boleh menjadi betul atau tidak. Bergantung kepada keadaan semasa dan kami masih lagi memantau,” jelas Iriawan.
Dalam masa sama, Iriawan menepis dakwaan Indonesia sebetulnya mahu keluar dari AFF untuk bersama EAFF. Menurut beliau, hal tersebut masih lagi terlalu awal untuk ditentukan kerana perlu mengkaji pelbagai lagi perkara lain.
“Kami perlu mengkaji dan menilai terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ini melibatkan ASEAN. Secara politiknya, kami masih lagi perlu bersama-sama. Apapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong, media, dan pemerhati bola sepak,” terang beliau.