TERKINI: Dollah Salleh & Zainal Abidin Hassan Dikurniakan Gelaran Dato’

Dollah Salleh

Dua bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan telah dikurniakan gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.

Penganugerahan ini diberikan atas faktor pengorbanan dan juga jasa Dollah dan juga Zainal kepada bola sepak negara sewaktu bergelar pemain dan juga jurulatih ketika ini.

Pengendali sementara Pahang dan juga jurulatih Penang itu dikurniakan darjah tersebut bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganugerahan itu dilakukan di Istana Abu Bakar, Pekan pada pagi tadi.

Selain Dollah dan Zainal, dua lagi bekas pemain kebangsaan turut dianugerahkan darjah kebesaran yang sama yang turut membawa gelaran Dato’.

Individu yang sinonim dengan bola sepak Pulau Pinang, Ahmad Yusoff serta Yunus Alif turut diberikan darjah kebesaran yang sama.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataannya menerusi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada keempat-empat bekas pemain kebangsaan itu atas darjah yang diterima mereka.

“Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama ahli-ahli jawatankuasa eksekutif dan seluruh warga kerja FAM mengucapkan sekalung tahniah kepada empat bekas pemain bola sepak kebangsaan – Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusoff dan Yunus Alif atas penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’,” kata FAM di Facebook.

Leave a Reply