Terdapat tanggapan bahawa seseorang pemain hebat tidak semestinya menjadi seorang jurulatih yang bagus. Jika bagus sebagai pemain sekali pun, mereka bukanlah pemain bintang ketika bergelar pemain.
Jika kita lihat di pentas antarabangsa, ada kebenaran dengan tanggapan tersebut apabila kita melihat kelibat Jurgen Klopp, Pep Guardiola dan juga pengendali Real Madrid – Carlo Ancelotti.
Guardiola dan Ancelotti adalah pemain yang baik di zaman mereka, dengan pengendali Manchester City itu seroang pemain pemain tengah bertahan yang kental manakala Ancelotti juga seorang pemain tengah yang berkualiti.
Namun, kedua-dua Guardiola dan Ancelotti bukanlah pemain bintang dengan pasukan kelab serta negara mereka – begitu juga dengan Klopp ketika beliau bergelar pemain.
Bagaimana pun, perjalanan karier ketiga-tiga pengendali ini sebagai jurulatih jauh lebih cemerlang dengan pelbagai kejuaraan sudah mereka kecepai dan pada hari ini, dianggap antara pengurus bola sepak terbaik dunia.
Di Malaysia juga tidak banyak bezanya, hari ini semakin ramai jurulatih muda mempamerkan bakat mereka di pentas tertinggi dan ia sebenarnya adalah perkembangan yang sangat positif.
Dalam saingan Liga Super, penolong ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil yang berusia 40 tahun adalah antara jurulatih termuda dan berpotensi tinggi untuk melangkah jauh sebagai jurulatih profesional.
Meskipun tidak lagi menjadi ketua jurulatih, Nidzam tidak mahu terburu-buru kembali menjadi pengendali pasukan buat masa ini selepas menjadi ketua jurulatih FELDA United pada 2019 hingga 2020.
“Dalam bidang kejurulatihan ini, kita tidak pernah berhenti belajar untuk menjadi lebih baik. Kerana itu, tiada masalah buat saya sekarang kembali sebagai penolong ketua jurulatih untuk terus memantapkan ilmu dalam bidang kejurulatihan.
“Di FELDA, saya pernah menjadi penolong kepada B. Satianathan sebelum menjadi ketua jurulatih dan banyak yang saya belajar dengan beliau ketika itu.
“Kini di Selangor, saya belajar pula dengan Michael Feitchtenbeiner dan apa yang saya belajar daripada dua jurulartih ini akan menjadi bekalan berguna buat saya di masa depan,” kata Nidzam.
🔴🟡 WELCOME HOME 🔴🟡
NIDZAM JAMIL KEMBALI!
Selangor FC teruja dengan kepulangan bekas pemain kelab, Nidzam Jamil, yang akan kembali ke kelab sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Utama bagi musim 2022 akan datang.
Baca artikel penuh di: https://t.co/fosPF32mFI pic.twitter.com/4nLqHA0iT7
— Selangor FC (@selangorfc) November 22, 2021
Sebagai pemain, Nidzam adalah seorang pertahanan kental namun kecederaan lutut membataskan potensi awal yang dimilikinya sebagai seorang pemain.
Nidzam kemudian mula menjinakkan diri dengan bidang kejurulatihan seawal usia 29 tahun bersama KL SPA pada 2009 dengan ketika itu beliau hanya memiliki lesen kejurulatihan C AFC.
Bekas pertahanan Selangor ini kekal dengan SPA hingga mendapat lesen kejurulatihan A pada 2014. Selepas itu beliau ke Air Asia pada 2015 hingga 2016 sebagai ketua jurulatih dan kemudian ke FELDA pada 2017.
Selepas mengambil alih tugas Satianathan di FELDA pada 2019, Nidzam berdepan dengan beberapa kesulitan dan kesukaran ekoran masalah dalaman yang mula dialami The Fighters ketika itu.
“Memang cukup sukar ketika itu, dengan masalah kewangan yang dihadapi pihak pengurusan. Jadi saya terpaksa behadapan dengan pelbagai isu seperti cara menangani emosi pemain, serta menggunakan kaedah terbaik meningkatkan moral pemain pada waktu sukar.
“Tetapi dua tahun sebagai pengendali FELDA dalam situasi yang sukar memang mematangkan saya sebagai seorang jurulatih,” kata Nidzam yang merupakan jurulatih termuda Liga Super pada 2019 dan 2020.
Meskipun meraih peluang sebagai ketua jurulatih dalam usia yang muda, Nidzam tidak meganggap dirinya sebagai jurulatih muda terbaik negara ketika ini.
Bagi beliau, status selaku jurulatih muda terbaik lebih sesuai diajukan kepada rakan seperjuangannya iaitu pengendali Terengganu, Nafuzi Zain yang kini berada di musim ketiga selaku pengendali skuad Penyu.
“Bagi saya, apa yang dilalui Nafuzi selama tiga musim selaku jurulatih Terengganu bukan mudah, banyak tekanan yang perlu dihadapinya tetapi setiap tahun ia menambah kematangannya sebagai jurulatih.
“Tekanan utama sudah pasti menjelmakan aksi yang menggembirakan peminat setia Terengganu dan pada masa sama meraih kemenangan dalam aksi-aksi penting,” kata Nidzam yang bakal melengkapkan lesen kejurulatihan profesional AFC pada tahun ini.
Tatkala Nidzam tampak selesa menfokuskan tugas kejurulatihan di peringkkat senior, bekas rakan sepasukan Nidzam di Selangor, Noor Zaidi Rohmat pula lebih selesa dengan kejurulatihan di peringkat bawah umur serta akar umbi.
Zaidi yang kini merupakan penolong ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, mempunyai rekod cemerlang di peringkat akar umbi dan seperti Nidzam, karier kejurulatihannya turut bermula awal iaitu ketika berusia 27 tahun apabila mengendalikan MPSJ di Liga Selangor pada 2009.
“Memang saya lebih fokus kepada saingan peringkat akar umbi dan jika boleh saya mahu membantu meningkatkan tahap bola sepak negara di peringkat bawah umur.
“Apa yang buat saya minat melatih di peringkat akar umbi adalah kerana, sebelum ini kita kerap menyaksikan Malaysia mempuyai skuad peringkat bawah umur yang berpotensi tetapi tetap gagal meraih kejuaraan dan mara ke pusingan akhir Piala Asia atau Piala Dunia Remaja.
“Jadi sebagai jurulatih saya tekad kita mengatasi kekurangan itu dan bentuk barisan remaja negara yang ampuh,” kata Zaidi yang membantu skuad remaja negara kendalian Hassan Sazali Waras muncul juara Piala AFF B-19 di Jakarta baru-baru ini.
Zaidi pernah membawa skuad belia B-19 Selangor muncul juara Piala Belia 2015 dan naib juara pada 2016 dan pada tahun sama, beliau turut menjadi penolong ketua jurulatih skuad utama Selangor yang muncul naib juara Piala Malaysia.
Selain Nidzam, Nafuzi dan juga Zaidi, terdapat juga beberapa jurulatih muda lain dalam saigan Liga Premier seperti Sulaiman Hussin yang kini merupakan penolong jurulatih bersama Kuching City dan Wan Rohaimi Wan Ismail yang kini mengendalikan PDRM.
Bilangan jurulatih muda yang mempunyai kelayakan kejurulatihan professional AFC dijangka bertambah setiap tahun dan sudah pasti kita berharap mereka ini akan terus diberi kepercayaan mengendalikan pasulkan-pasukan utama Liga-M dan juga pasukan di peringkat akar umbi.
Kejayaan ramai jurulatih muda yang terbabit dengan pasukan-pasukan utama Liga-M hari ini seharusnya menjadi pembakar semangat buat sesetengah pemain senior yang kini menghampiri usia bersara.
Apa pun, ia terserah kepada pemain itu sendiri sama ada berminat menjadi jurulatih atau tidak kerana terdapat juga ramai pemain yang tidak gemar melatih pemain sebaik saja bersara.