Berikutan keluhan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tentang pendekatan taktikal Penang FC, malam tadi, Tomas Trucha ada sebab-sebabnya yang tersendiri mengapa memilih pendekatan sebegitu.
Bukanlah tidak mahu memberi cabaran langsung kepada JDT, namun beliau sedar akan kemampuan para pemainnya berdepan pasukan gergasi seperti JDT dan itulah pilihan terbaik yang berada di ‘koceknya’.
Dalam aksi Liga Super 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, JDT berjaya meneruskan rentak kemenangan mereka 10 tahun berturut-turut sejak 2013 dalam perlawanan pertama liga apabila telah membenam cabaran Penang dengan kemenangan tipis 1-0 hasil gol tandukkan penyerang sensasi mereka, Bergson da Silva.
Ia bukan malam yang mudah buat juara Sumbangsih 2022 itu apabila lawan turun dengan formasi 5-4-1 dan pendekatan ‘ultra defensive’ yang menyaksikan tuan rumah bergelut untuk meledak jaringan. Selepas lebih sejam mencuba, akhirnya Bergson berjaya juga memecah kebuntuan hasil hantaran lambung Arif Aiman.
Selain pendekatan bertahan, ketangkasan penjaga gol Harimau Kumbang, Khatul Anuar juga menyukarkan JDT. Deretan percubaan daripada pemain-pemain bintang Harimau Selatan telah berjaya dinafikannya sejak awal.
“Saya tahu ‘coach’ JDT mengeluh tentang cara permainan kami, tetapi kami perlu bermain dengan apa yang kami ada. Saya mahu bermain seperti pertembungan musim lalu tetapi kami ada ramai pemain baharu yang perlu kami berikan keputusan baik untuk memberi motivasi kepada mereka.
“Saya bersimpati dengannya [Benjamin Mora]. Saya tahu dia ada mengeluh tentangnya. Namun, di akhir perlawanan, mereka dapat tiga mata dan kami pula hanya pulang dengan tangan kosong.”
Tomas Trucha di sidang media selepas perlawanan
Selain ditunjangi majoriti pemain baharu, skuad Pulau Mutiara juga terpaksa menanggung kepahitan tanpa dua pemain import yang digantung akibat insiden ketika pra-musim iaitu Endrick dos Santos dan Casagrande.
Mereka juga kehilangan seorang lagi bek import, Christian Rontini yang mengalami kecederaan di pra-musim.
“Saya boleh buat perbandingan di sini. Jika JDT hilang Bergson dan [Fernando] Forestieri. Pemain sebegini yang kami hilang. Jika JDT bermain tanpa mereka, pasti berbeza. Tetapi, saya menekankan kepada pemain agar mereka bermain untuk yang tiada. Berjuang untuk pasukan. Tetapi, tetap berbeza.
“Itulah sebabnya saya katakan, kami bermain dengan standard yang kami ada ketika ini. Saya percaya apabila Endrick dan Casagrande ada, ia akan menjadi musim yang lebih menarik buat pasukan kami.”
Tomas Trucha