Liga Super: Tandukkan Padu Bergson Rosakkan Malam Cemerlang Khatul Anuar Di Gawang Penang

Bergson JDT Penang Liga Super 2022

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak pembukaan Liga Super dengan nota kemenangan sejak 2013 apabila menewaskan Penang FC dengan keputusan tipis, 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Penang turun dengan membariskan lima pertahanan dengan Khairul Akmal Rokisham, Latiff Suhaimi dan Rafael Vitor membentuk barisan bek bertiga sambil dibantu oleh Ariff Ar-Rasyid dan Rafiuddin Roddin.

Ia sedikit sebanyak telah membantu Penang ketika bertahan berdepan jentera serangan berbahaya JDT yang memiliki barisan pemain terbaik seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri, Moussa Sidibe dan Arif Aiman.

Minit ke-14, Hilal El-Helwe yang menggantikan Casagrande sebagai penyerang utama membuat satu percubaan berbahaya jarak jauh apabila melihat penjaga gawang tuan rumah, Farizal Marlias sedikit jauh dari gawang.

Gerakan menarik antara Natxo Insa, Fernando Forestieri dan Carli de Murga hampir memberi gol pembukaan buat JDT di minit ke-18. Gerakan dalam kotak penalti Penang itu gagal disudahkan dengan baik oleh Carli de Murga apabila bola yang cuba diangkat mengatasi penjaga gol pelawat, Khatul Anuar melewati palang.

Dapat dilihat JDT mula meningkatkan tekanan di kawasan defensive third lawan, namun Penang masih tenang menyerap setiap asakan. Begitupun, Harimau Kumbang masih gagal menggerakkan serangan berkesan ke kubu lawan melainkan percubaan jarak jauh Hilal El-Helwe. Mereka gagal mengambil alih penguasaan aksi.

Minit ke-26 dan ke-30, Khatul Anuar berjaya menyelamatkan gawang Penang yang berterusan ditekan JDT. Beliau terlebih dahulu menepis percubaan deras Fernando Forestieri, sebelum terlebih dahulu menangkap hantaran lintang Arif Aiman ke dalam kotak penaltinya. Fokusnya tidak terganggu dek layangan kad kuning.

Khatul Anuar sekali lagi berjaya menepis percubaan Bergson di minit ke-37 untuk menafikan peluang JDT.

Benteng JDT yang dibarisi oleh Shahrul Saad, Carli de Murga dan Shane Lowry dilihat langsung tidak diuji pelawat. Apa yang berlaku sepanjang babak pertama adalah Harimau Selatan berjaya menangkis beberapa cubaan asakan Harimau Kumbang lebih awal iaitu di middle third. Natxo Insa memainkan peranan penting.

Berbeza dengan musim lalu, ketiadaan Amer Azahar dan Al-Hafiz Harun tampak gagal diisi dengan baik oleh Faizat Ghazli dan Adib Raop. Kedua-dua pemain sayap menyerang Penang itu dilihat tidak memberi impak.

Kegagalan Moussa Sidibe memberi impak di babak pertama memaksa Benjamin Mora membuat pertukaran awal dengan memasukkan Nazmi Faiz untuk membentuk gandingan seperti ketika perlawanan Sumbangsih. Kelincahan Nazmi Faiz dan gandingan berkesannya bersama Fernando Forestieri juga Bergson ditagih.

Beberapa percubaan berturut-turut oleh JDT berjaya dinafikan lagi oleh Khatul Anuar bermula pada minit ke-55 menerusi Nazmi Faiz dan tandukkan serta rembatan Shane Lowry. Khatul Anuar menjadi tembok kebal Penang.

Minit ke-57, Azim Rahim telah mensia-siakan peluang kedua pelawat apabila gagal menyudahkan dengan baik peluang terbuka di depan gawang tuan rumah. Dan itu merupakan kelibat terakhirnya sebelum diganti oleh Jafri Firdaus Chew. Pengendali Penang, Tomas Trucha juga dilihat ‘menyuntik’ masuk playmaker, Danial Ashraf.

Sedar skuad kendaliannya kurang sentuhan kreatif, sentuhan Danial Ashraf ditagihnya dalam 30 minit terakhir.

Minit ke-65, rembatan jarak jauh Nazmi Faiz telah berjaya ditepis Khatul Anuar sebelum menepis percubaan kedua oleh Fernando Forestieri. Jelas JDT yang terdesak memburu gol tampak mula melipat gandakan asakan.

Akhirnya, gol yang dinanti-nanti oleh JDT menjelma di minit ke-70 menerusi tandukkan padu Bergson yang menerima hantaran lambung Arif Aiman untuk merobohkan benteng kebal lawan – gol pertama Bergson.

Tiga pertukaran segera dilakukan Harimau Kumbang selepas dibocori tuan rumah dengan memasukkan Hafizul Hakim di gawang dan dua pemain tengah, Faiz Mazlan serta Shafiq Al-Hafiz untuk cuba mengubah keputusan.

Di penghujung perlawanan, Harimau Selatan hampir meledak gol kedua menerusi rembatan deras pemain gantian, Safawi Rasid, namun percubaan itu sekadar singgah di palang gol yang dikawal Hafizul Hakim.

Gol ke-6 Bergson dalam tujuh aksi terakhir di laman sendiri memberikan tiga mata berharga buat JDT untuk membuka saingan Liga Super 2022 dengan langkah kanan. Penang gagal dengan misi satu mata mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN