Sudah beberapa aksi pra musim dilalui Sri Pahang, namun kelibat dua pemain import masih belum kelihatan walaupun sejak awal bersama pasukan iaitu Johan Martial dan Mahmoud Za’tara dan ini menghadirkan resah.
Apa yang diresahkan sangat? Sebagai penyokong, tentunya mereka risau pasukan mereka telah ditipu apabila membawa pemain import yang tidak berbaloi untuk digajikan. Musim lalu, Sri Pahang ada dua set import apabila merekrut tujuh pemain import dalam dua jendela perpindahan. Namun, segalanya merugikan.
Manakan tidak, mereka hanya berada di ‘sempadan’ penyingkiran apabila menamatkan musim di kedudukan ke-10 Liga Super, dipisahkan hanya dua mata daripada Perak FC – pasukan yang tersingkir ke Liga Premier.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS21
Kedah Darul Aman FC kembali ke tangga kedua liga. #LigaSuper2021 pic.twitter.com/50Ce1FXRyY
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 8, 2021
Malah, mereka ada dua lagi pemain import yang dipinjamkan keluar iaitu Lee Tuck di Terengganu FC dan Sergio Aguero di Perak. Untuk musim ini, kedua-dua pemain ini dikatakan calon naturalisasi buat skuad Tok Gajah.
Mungkin sedikit melegakan, Manuel Hidalgo satu-satunya pemain paling menyerlah pada musim lalu, selain bek tengah Herold Goulon yang sudah beberapa musim menjadi tulang belakang pasukan tersebut sejak 2019.
Persoalan buat Sri Pahang saat ini, apa sebenarnya sudah jadi kepada Johan Martial dan Mahmoud Za’tara?
Selain dua pemain itu, mereka membawa masuk penjaga gol, Mamadou Samassa dan penyerang Laos, Billy Ketkeophomphone dan mengekalkan Hidalgo. Yang turun beraksi setakat ini hanya Billy Katkeo dan Hidalgo.
Menulusuri rata-rata komentar penyokong di posting-posting di laman Facebook penyokong dan sebagainya, majoritinya tampak bimbang dan resah dengan perkembangan ini. Pra musim bakal berakhir tidak lama lagi dan kelibat Johan Martial serta Mahmoud Za’tara masih belum kelihatan untuk menampilkan aksi masing-masing.
“Nama pun Martial. Adiknya pun asyik cedera. Inikan abang dia,” titip pemilik akaun Facebook, Azizul Hassim di ruangan komen posting tentang ‘kehilangan’ misteri dua pemain import Sri Pahang.
“Tu dia Johan Martial dengan Mahmoud Za’tara. Dua-dua sudah ‘injured’ hamstring, mungkin faktor permukaan padang latihan yang mengakibatkan mereka cedera,” titip Panthera Tigris Jacksoni dengan memuat naik gambar kedua-dua pemain tersebut sedang menikmati makanan di sebuah kedai makan.
Sri Pahang baru sahaja menamatkan saingan pra musim di Kuala Terengganu dalam aksi persahabatan empat penjuru melibatkan Terengganu FC, TFC II dan Penang FC. Dapat dilihat, mereka kerap menampilkan pemain muda dalam tiga aksi tersebut. Malah, Mamadou Samassa yang sudah turun berlatih, langsung tidak diuji.
Barangkali, pengendali, Christophe Gamel masih menguji barisan pemain muda Tok Gajah dan kebetulan pula ketiadaan dua pemain itu yang mengalami kecederaan, beliau mungkin memilih untuk ‘merehatkan’ sebilangan besar pemain utama bagi memberi ruang buat pemain muda mempamerkan kemampuan masing-masing.
Berdasarkan reputasi, pemain-pemain import kali ini adalah yang terbaik sejak sekian lama. Harus diingat, walaupun berada di kedudukan tercorot dalam saingan pra musim itu, rata-rata pemain adalah pemain muda dengan ‘disulam’ oleh pemain-pemain berpengalaman antaranya Lee Tuck, Hidalgo dan Nor Azam Azih.
Diharapkan kecederaan dua import baharu Sri Pahang akan segera pulih menjelang sepak mula Liga Malaysia.