Endrick Dos Santos selaku jeneral import utama Penang mengakui aksi beliau sepanjang bersama Penang adalah yang terbaik sejak penyertaan pemain ini ke dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) pada tahun 2018 lalu.
Menurut Endrick, beliau berjaya merasai gelaran juara sebanyak dua kali sejak 2018 iaitu ketika pertama kali mewakili Felcra FC dan kali kedua bersama Penang untuk merangkul gelaran juara Liga Premier pada musim 2018 dan 2020.
Jelas beliau, kehadiran pertama kali ke Malaysia merupakan satu langkah terbaik yang dibuat oleh Endrick untuk mencipta nama yang bagus selaku pemain bola sepak profesional seiring dengan kejayaan yang dicipta bersama Felcra, Selangor, dan kini sebagai pemain yang mewakili Penang.
“Betul, bagi saya yang terbaik adalah di Penang sebab saya dah berada di sini untuk tahun ketiga.
“Tetapi, saya juga melakukan tugas yang baik di Selangor sebelum ini, jadi dua tahun saya pernah beraksi dalam pasukan Liga Perdana dan dua-dua (Felcra FC dan Penang FC) layak ke Liga Super selepas itu.
“Dan seterusnya di Liga Super tahun lepas, siapa sangka kita berjaya untuk berada di tangga tiga terbaik, jadi saya rasa saya sudah melakukan tugas yang baik di Malaysia dan nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong terutamanya di Penang, Selangor dan Felcra”, katanya dalam petikan Harian Metro.
Pada masa yang sama, pemain yng berusia 25 tahun itu juga berharap untuk memperoleh peluang lebih besar buat dirinya untuk mencatat nama selaku penjaring gol agar dapat membantu Casagrande di posisi serangan biar pun penyerang utama dari Brazil itu bakal mendapat pasangan baharu di serangan yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Jelas Endrick, keinginan untuk menjaringkan gol sentiasa ada dalam diri beliau pada setiap perlawanan seperti yang dilakukan sebelum ini setiap musim dengan pemain tengah dari Brazil tersebut telah mengumpul 18 gol keseluruhan sejak 2018.
“Saya menjaringkan lebih banyak gol (8 gol) pada musim 2020 berbanding tahun lalu di mana hanya empat gol sahaja dilakukan.
“Tetapi sebenarnya tugas saya adalah untuk memberi peluang kepada penyerang seperti Casagrande untuk dia melakukan jaringan dan tahun lepas saya tidak banyak peluang sebab kami ubah sedikit corak bermain.
“Jadi, agak sukar untuk saya lebih dekat dengan Casagrande ketika perlawanan dan harap musim ini dapat bersama dengan lebih kerap untuk saya bantu dia dan penyerang lain,” katanya.