Selamba ayam-kan pemain yang lebih berpengalaman beraksi di Liga Super Malaysia dan skaud kebangsaan, siapakah gerangannya pemain bertubuh kecil menyarung jersi No.10 pasukan Kibabalu Jaguar ini?
Itulah antara persoalan ramai netizen dan peminat bola sepak tempatan terhadap video aksi salah seorang pemain Kinabalu Jaguar dalam satu perlawanan persahabatan menentang Sabah FC baru-baru ini.
Video tersebut memaparkan aksi seorang pemain yang berjaya memporak perandakan barisan pertahanan Sabah FC termasuk pemain kebangsaan, Rizal Ghazali yang baru menyertai pasukan dari Borneo itu untuk saingan musim 2022.
Walaupun dibentes keras oleh pemain lawan, pemain berjersi kuning No. 10 itu tetap berusaha untuk bangkit dan terus mengawal bola., menyebabkan sikap dan attitude pemain itu dipuji ramai.
Sehingga artikel ini ditulis, video yang dikongsi di laman Facebook rasmi Kinabalu Jaguar FC telah memperolehi lebih 3,000 tanda suka, 393 komen, 414 perkongsian dan tidak kurang 190,000 tontonan!
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Bakat dari Sandakan
Bagi yang ingin mengenali pemain ini, nama sebenarnya adalah Mohd Jayman Bin Mohd Jaymi.
Berasal dari Sandakan, Sabah, Jayman merupakan salah seorang pemain baharu yang diikat Kinabalu Jaguar untuk menghadapi saingan Liga M3 pada musim ini, dan menandatangani kontrak bersama kelab tersebut pada Disember lalu.
Walaupun baru menyertai Kinabalu Jaguar, pemain berusia 26 tahun ini sebenarnya bukan watak asing di dalam landskap bola sepak Sabah kerana pernah beraksi untuk skuad B-21 Sabah FC pada musim 2017.
Mempunyai kekuatan kaki kiri dan kepantasan luar biasa, Jayman merupakan seorang bek sayap di dalam pasukan Kinbalu Jaguar.
Dalam perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Likas tempoh hari, Jayman berjaya membantu Kinabalu Jaguar mengikat lawan mereka itu dengan jaringa 1-1.
Pengalaman berharga
Sempat dihubungi oleh wakil Semuanya BOLA, Jayman menganggap perlawanan persahabatan menentang Sabah FC yang turut dibarisi deretan pemain kebangsaan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Rizal Ghazali, dan Rawilson Batuil sebagai satu pengalaman berharga buat pemain seperti dirinya.
Amat berminat dengan skil individu yang dimiliki bintang Argentina dan Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi, Jayman turut sempat berkongsi impian yang beliau mahu capai bersama Kinabalu Jaguar di saingan Liga M3 apda musim ini.
“Harapan saya adalah supaya mampu terus memajukan diri di dalam karier ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau ringkas.
“Saya juga berharap mampu muncul juara Liga M3 bersama Kinabalu Jaguar FC pada musim ini.”
Liga M3 pentas bakat amatur peraga kemampuan
Dalam saingan Liga M3 musim ini, sebanyak 20 pasukan amatur bakal merebut gelaran juara yang dijadual bermula pada 11 Februari ini dengan membahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.
Kinabalu Jaguar FC akan bersaing di dalam Kumpulan A bersama sembilan pasukan lain iaitu Sains FC, Malaysia University, FC Langkawi, Imigresen FC, Manjung City FC, Ultimate FC, Tun Razak City FC, Langkawi City FC dan Armed Forces FC.
Semua aksi peringkat kumpulan akan diadakan secara dua pusingan. Empat pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke suku akhir sebelum memasuki ke fasa separuh akhir dan seterusnya final bagi mencari juara Liga M3 musim ini.
Tiada pemain import dibenarkan untuk pertandingan Liga M3 pada musim ini, sekali gus memberikan lebih banyak ruang kepada pemain tempatan memperagakan bakat bersama pasukan masing-masing.