Pada tahun ini perayaan Tahun Baru Cina disambut secara sederhana tetapi meriah di seluruh negara. Apa tidaknya. Ini adalah kali pertama Tahun Baru Cina disambut selepas keadaan pandemik sejak dua tahun yang kini memasuki fasa endemik.
Untuk perayaan tahun 2022, kerajaan sudah membenarkan aktiviti perayaan diraikan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tiada lagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga menyebabkan aktiviti balik kampung untuk berkumpul dengan sanak saudara tergendala.
Malah pada tahun ini, kerajaan turut membenarkan aktiviti ‘open house’ dengan SOP turut dibenarkan di seluruh negara. Tidak ketinggalan, persembahan tarian Singa dan Naga memeriahkan suasana setelah mendapat kebenaran untuk kembali beraksi.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Kenali Tahun Harimau
Tahun Baharu Cina menandakan permulaan tahun baharu menurut kalendar lunar tradisi Cina. Individu yang lahir pada Tahun Harimau dikatakan memiliki keberanian, kompetitif, berkeyakinan dan sifat tidak boleh dijangka.
Bukan sahaja di Malaysia, perayaan Tahun Baru Cina pada setiap tahun juga disambut oleh kira-kira dua bilion penduduk di seluruh dunia.
Tahun Harimau membawa pengertian agresif, berani, dan bersemangat dalam perjuangan bagi masyarakat Cina.
Tahun Harimau pernah disambut pada 1938, 1950, 1962, 1974, 1986, 1998, 2010 dan 2022, iaitu selang 12 tahun. Dan menurut zodiak cina, tahun harimau juga membawa unsur yang berlainan.
1962 misalnya melambang Harimau Air, 1974 pula mewakili Harimau Kayu. 1986 adalah Harimau Api, 1998 mewakili Harimau Tanah, 2010 adalah Harimau Logam, dan 2022 pula mewakili Harimau Air.
Jika diperhatikan tahun-tahun yang disenaraikan ini, ada di antaranya membawa makna yang signifikan kepada bola sepak Malaysia, khususnya Harimau Malaya. Ayuh kita lihat kembali sejarah bola sepak negara pada tahun-tahun tertentu yang jatuh pada tahun Harimau.
1962 (Harimau Air)
Skuad Harimau Malaya 1962 dikenang kerana sejarah pencapaian mereka meraih pingat gangsa di Sukan Asia.
Sukan Asia 1962 menyaksikan Jakarta menjadi tuan rumah buat kejohanan edisi ke-4, dengan 13 acara sukan dipertandingkan pada ketika itu.
16 buah negara mengambil bahagian dengan hanya 8 negara bertanding untuk acara sukan bola sepak.
Malaysia yang berstatus Tanah Melayu pada masa itu berada di dalam kumpulan B, bersaing bersama Vietnam Selatan, Filipina dan tuan rumah Indonesia. Dua pasukan teratas akan layak ke peringkat separuh akhir.
Perlawanan pembukaan Malaysia mencipta kemenangan besar 15-1 ke atas Filipin. Masih kekal sebagai rekod kemenangan terbesar Harimau Malaya.
Dua hari berikutnya, Malaysia menundukkan pasukan tuan rumah, Indonesia dengan jaringan 3-2 di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.
Bagaimanapun, skuad kebangsaan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua kumpulan B apabila tewas kepada Vietnam Selatan dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Semasa separuh akhir, pasukan negara turut dibarisi oleh dua pasangan adik beradik: Richard dan Robert Choe serta Abdullah Nordin dan Kamaruddin Ahmad.
Skuad ini tidak bernasib baik ditewaskan oleh seteru Asia, Korea Selatan dengan jaringan 2-1. Bagaimanapun skuad negara bangkit untuk perlawanan merebut pingat gangsa bertemu Vietnam Selatan.
Raja Bola Malaya Abdul Ghani Minhat muncul wira apabila menjaringkan kesemua 4 gol dalam perlawanan tersebut menewaskan Vietnam Selatan 4-1 tersebut.
Skuad kebangsaan menjaringkan sejumlah 22 gol dan bolos 3 gol sepanjang kejohanan untuk meraih pingat pertama negara dalam sukan bola sepak di Sukan Asia. India muncul juara acara bola sepak lelaki pada Sukan Asia edisi 1962.
Pasukan kebangsaan 1962 dikenang dengan kehebatan lagenda bola sepak tanah air yang mendapat jolokan “Raja Bola Malaya” iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
1974 (Harimau Kayu)
Tehran merupakan tuan rumah Sukan Asia 1974. Terdorong dengan pencapaian layak ke Olimpik dua tahun sebelum itu, Malaysia hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam Sukan Asia edisi ke-7 ini.
Mengekalkan pemain-pemain dari skuad 1972 seperti Soh Chin Aun, Namat Abdullah dan M. Chandran, Malaysia turut diperkuatkan dengan bintang sensasi baru ketika itu, Mokhtar Dahari.
Posisi penjaga gol diisi oleh R. Arumugam yang menggantikan Chow Chee Keong yang tidak mendapat pelepasan oleh kelab beliau di Hong Kong.
Malaysia memulakan cabaran Kumpulan C Sukan Asia 1974 dengan kekalahan 8-3 kepada Israel.
Skuad kebangsaan kemudiannya bangkit mengikat Jepun 1-1 sebelum memadamkan cabaran Filipina dengan kemenangan 11-0.
Malaysia menamatkan cabaran kumpulan C di tangga kedua, layak dengan perbezaan jaringan meninggalkan Jepun yang terpaksa mengigit jari di tempat ketiga kumpulan.
Sukan Asia 1974 menyaksikan peringkat separuh akhir diadakan di dalam peringkat kumpulan. Malaysia ditempatkan di dalam kumpulan maut bersama-sama tuan rumah Iran, Iraq dan Korea Selatan.
Tewas 0-1 kepada Iran sebelum seri tanpa jaringan bertemu Iraq, Malaysia bangkit menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk melayakkan diri ke perlawanan penentuan pingat gangsa.
Isa Bakar menjadi wira negara dengan jaringan pada minit ke-48 dan 81. Malaysia menumpaskan Korea Utara 2-1 untuk membawa pulang pingat gangsa, mengulangi pencapaian 12 tahun lalu di Jakarta.
2010 (Harimau Logam)
Tidak keterlaluan jika kami katakan skuad kebangsaan seolah-olah hilang daripada landskap bola sepak antarabangsa sebelum tahun 2010.
Tahun 2010 adalah tahun yang mampu memberi sekilas senyuman kepada peminat bola sepak tanah air.
Kejohanan Piala AFF Suzuki menyaksikan Indonesia dan Vietnam menjadi tuan rumah bersama.
Malaysia tidak pernah muncul juara kejohanan AFF Suzuki sebelum ini walaupun muncul sebagai finalis pada edisi pertama kejohanan di Singapura.
Sebagaimana kejohanan antarabangsa yang disertai oleh pasukan negara sejak dasawarsa 90-an sehingga 2000-an.
Rata-rata rakyat Malaysia tidak memberikan sebarang harapan kepada cabaran skuad negara dalam edisi ke-8 Kejohanan AFF Suzuki ini.
Malaysia memulakan cabaran dengan dibelasah oleh tuan rumah, Indonesia dengan jaringan 5-1.
Skuad di bawah bimbingan K. Rajagopal kemudiannya bangkit mengikat pilihan kejohanan, Thailand 0-0 sebelum melayakkan diri ke separuh akhir dengan kemenangan 5-1 ke atas Laos.
Di separuh akhir, Malaysia menyingkirkan Vietnam dengan agregat 2-0 sebelum sekali lagi membuat perhitungan dengan Indonesia di aksi final.
Di hadapan 85,000 penyokong di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, skuad negara menewaskan Indonesia dengan jaringan 3-0 dalam satu aksi yang sangat menarik.
Final yang diadakan secara timbal balik di Gelora Bung Karno, Jakarta menjanjikan saingan panas dan pentas yang berbeza buat anak buah K.Rajagopal.
Skuad Malaysia terpaksa diangkut dengan kenderaan jenis Barracuda untuk tiba di Stadium Gelora Bung Karno. Malaysia tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut tetapi muncul juara dengan agregat 4-2.
Penyerang negara, Safee Sali muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 5 gol.
Penutup
Di atas adalah antara tahun-tahun yang cemerlang buat skuad kebangsaan pada Tahun Harimau. Ia mungkin kebetulan sahaja. Ini kerana pada 1998 (Harimau Tanah), ia boleh dianggap sebagai tahun yang kurang baik kepada bola sepak negara.
Selain tersingkir dari pertandingan Piala Tiger (kini Piala AFF) di peringkat kumpulan, Malaysia juga tidak menghantar pasukan untuk bertanding di Sukan Asia Bangkok.
Tahun 1986 (Harimau Api) pula dianggap sebagai tahun di mana skuad kebangsaan menggigit jari gagal ke Piala Dunia di Mexico. Anda boleh membaca kisah seterusnya melalui pautan yang kami kongsikan di atas.