Aidil Sharin Jelaskan Kefasihan & Disiplin Antara Faktor Jang Suk-won ‘Atasi’ Renan Alves

Jang Suk-won Renan Alves Kedah 2021 2022 Aidil Sharin

Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak membuka mulut mengenai perubahan pemain di benteng apabila membawa masuk Jang Suk-won dan melepaskan tonggak dari Brazil, Renan Alves untuk musim depan.

Pelbagai faktor telah dipertimbangkan memandangkan Renan Alves telah bersama pasukan sejak sekian lama dan merupakan tonggak utama import di benteng Kedah. Sudah tiga musim pemain itu memerah keringatnya.

Dan beliau merupakan pemain yang masuk bersama Aidil Sharin untuk saingan musim 2019. Namun, mengapa kali ini, Aidil Sharin terpaksa melepaskannya? Bukankah pemain itu sudah semakin serasi bersama pasukan?

Jika diimbau, sebenarnya banyak kritikan terhadapnya sepanjang bersama Kedah. Beliau kerap ‘tiada’ saat pasukan perlukan kudratnya sama ada cedera atau digantung perlawanan. Malah, beliau juga adakalanya menyusahkan pasukan terutamanya apabila menerima layangan kad merah dalam perlawanan penting.

Sememangnya beliau kerap terlepas aksi penting melibatkan Kedah. Beliau juga pernah terlepas dua aksi Hijau Kuning di pentas final disebabkan layangan kad merah iaitu di saingan Piala FA dan Piala Malaysia 2019.

Malah, pada awal musim 2021, ketika dilanjutkan kontraknya untuk semusim lagi, beliau pernah berjanji untuk memperbaiki dirinya. Meluahkan di laman Facebooknya, Renan Alves yang sedar ‘kekurangan’ dirinya sambil dipetik berkata, “Saya akan bekerja lebih keras dan buat yang terbaik untuk memperbaiki diri setiap masa.”

Adakah ini punca beliau dilepaskan Kedah walaupun masih berminat kekal bersama skuad Hijau Kuning?

Menurut Aidil Sharin yang bercakap kepada The Star, untuk musim ini, Kedah telah membawa masuk pemain yang sesuai dengan sistem pasukan yang bakal diterapkan nanti. Ujarnya, “[Sistem permainan kita] memerlukan kerja berpasukan dan gerak kerja yang tinggi untuk disesuaikan dengan rentak bola sepak moden era kini.”

“Jang [Suk-won] sangat berpengalaman dengan bola sepak di sini disebabkan Melaka United. Renan [Alves] juga melalui musim yang baik sepanjang tiga tahun di sini, tetapi masih tidak fasih berbahasa Inggeris, jadi itu satu masalah,” ungkap pengendali asal Singapura itu yang memasuki musim keempatnya bersama Kedah.

Tambahnya tentang perkara tersebut lagi, “Kami perlukan pemain yang mampu berkomunikasi dengan baik, tambahan pula kami akan beraksi di AFC Cup. Jang [Suk-won] menawarkan itu kepada pasukan dan kita tahu pemain dari Korea Selatan sangat berdisiplin.” Jelas, ia pertimbangan yang baik telah dilakukan Aidil Sharin.

Jang Suk-won telah berada di Malaysia sejak musim 2019, menyertai Melaka United selepas melalui ‘trial’ di Kedah, dua musim sebelumnya. Ya, beliau pernah berada ‘sementara’ dalam kem skuad Hijau Kuning ketika persediaan musim 2017, saat pasukan dikendalikan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Tiada jodoh selepas Kedah memilih Zac Anderson, beliau telah kembali ke Malaysia pada musim 2019 untuk bersama Melaka United. Sepanjang tiga musim, beliau telah beraksi lebih 40 perlawanan dalam saingan Liga Super dan hanya dilayangkan 12 kad kuning dan tidak pernah dibuang padang, berbeza dengan Renan Alves.

Dengan penampilan hampir sama, Renan Alves merekodkan 10 kad kuning, satu kad kuning kedua dan dua kad merah dalam liga, tak termasuk kejohanan lain dan benar kata Aidil Sharin, Jang Suk-won lebih berdisiplin.

Dengan kefasihan untuk berbahasa Inggeris, mungkin lebih mudah Aidil Sharin berkomunikasi dengannya, malah rakan sepasukan juga dilihat akan mudah untuk berinteraksi. Jang Suk-won akan menyudahkan misi tertangguhnya untuk beraksi bersama Kedah yang cuba direalisasikan kira-kira lima tahun yang lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN