Ketika England melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia 1990, negara Croatia belum lagi wujud di dalam peta dunia. Euro 1996 yang dianjurkan oleh England pula adalah kejohanan antarabangsa pertama yang mereka sertai.
Perlawanan bola sepak antarabangsa pertama melibatkan Croatia pula ialah selepas Piala Dunia di Itali pada 1990. Ianya ialah perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat. Mencatat kemenangan 2-1 keputusan tersebut belum lagi boleh diiktiraf oleh FIFA pada ketika itu.
Mewujudkan sebuah pasukan bola sepak memang mudah. Sekurang-kurangnya ia tidak sesukar mewujudkan sebuah negara yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Kisah 1992 dan Piala Dunia 1998
Croatia mencapai kemerdekaan pada 1991 selepas terlibat di dalam perang Balkan.
Tidak perlu diulas panjang kisah perang tersebut di dalam artikel ini. Anda boleh melakukan carian sendiri mengenai hal ini di laman sesawang.
Perlawanan antarabangsa pertama yang diiktiraf oleh FIFA membabitkan Croatia ialah perlawanan menentang Australia pada 8 Julai 1992. Itu adalah tarikh lahir rasmi bola sepak negara bekas pecahan Yugoslavia ini di pentas antarabangsa.
Sukar untuk menjelaskan bagaimana di dalam tempoh beberapa tahun, Croatia mampu membangunkan bola sepak mereka. Selepas beberapa perlawanan persahabatan, perlawanan kompetitif pertama buat Croatia tiba pada 1994 dalam pusingan kelayakkan Euro 1996.
Menjuarai kumpulan di pusingan kelayakan termasuk berada di atas Itali, Croatia hadir di England untuk beraksi di kejohanan tersebut.
Jelas mereka bukan sekadar hadir sebagai pelengkap di England. Melepasi saingan peringkat kumpulan, Croatia disingkirkan Jerman (juara kejohanan edisi 1996) di saingan suku akhir hanya selepas lima tahun kewujudan negara mereka.
Kumpulan pemain pada ketika itu seperti Slaven Bilic, Zvonimir Boban dan Davor Suker, pantas dijulang sebagai generasi emas sebelum kumpulan pemain yang hampir sama melakukan satu lagi pencapaian yang menakjubkan dua tahun kemudian di Perancis.
Dengan jersi ikonik bercorak dam merah dan putih, Croatia bermula garang menewaskan Jamaica dan Jepun sebelum tewas kepada Argentina yang dikemudi oleh Gabriel Batistuta ketika tempat ke pusingan seterusnya sudah dipastikan.
Selepas itu, semuanya semakin menjadi buat Croatia. Sepakan penalti Suker memastikan mereka melepasi halangan Romania, sebelum dendam terhadap Jerman dibalas dengan kemenangan 3-0 di peringkat suku akhir.
Menanti mereka di separuh akhir 20 tahun yang lalu ialah Perancis. Les Bleus yang diterajui oleh Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Laurent Blanc, Lilian Thuram, Thiery Henry dan ramai lagi nama besar generasi emas coq gaulois.
Croatia tewas 2-1 di Stade de France. Namun perlawanan tersebut dianggap sebagai perlawanan Piala Dunia yang penuh klasik, dengan kedua-dua pasukan memiliki generasi pemain yang berada di kemuncak karier dan prestasi.
Kebangkitan meteorik bola sepak Croatia sejak dari dulu lagi membuktikan bahawa tidak ada perkara yang mustahil, walaupun tidak memiliki pool pemain yang besar.
Bagaimana mereka melakukannya? Apakah program bola sepak yang diamalkan oleh Croatia?
Bagaimana negara yang memiliki populasi penduduk sekitar 4 juta ini mampu menghasilkan ramai pemain berkelas dunia?
Gambaran bola sepak Croatia
Ini adalah bahagian paling sukar untuk dijelaskan. Tidak ada kajian sahih yang menyatakan genetik mempunyai kaitan secara langsung dalam melahirkan pemain bola sepak yang berbakat.
Tetapi Croatia pasti memiliki jurulatih-jurulatih berkualiti di peringkat pembangunan akar umbi berdasarkan deretan pemain yang mereka hasilkan dalam tempoh 20 tahun ini. Kenyataan ini adalah andaian.
Realitinya, Croatia tidak mempunyai pelan pembangunan bola sepak yang jelas dan bersistematik untuk membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi. Jauh sekali bola sepak dijadikan sebagai agenda di peringkat nasional di bekas negara bekas jajahan Soviet itu.
Dari segi fasiliti juga mereka boleh dikatakan ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan apa yang kita miliki di dalam negara. Sejak 30 puluh tahun yang lalu, tidak banyak stadium dibina atau dinaiktaraf seperti sepatutnya untuk bola sepak.
Begitu juga dengan padang latihan. Keadaan kebanyakan padang utama juga teruk, dan ia sentiasa menjadi masalah bagi kelab-kelab bola sepak di Croatia saban musim. Kesimpulannya, mereka hanya memiliki kemudahan yang sangat asas untuk meneruskan perjalanan liga mereka.
Pencetus dan tulang belakang bola sepak Croatia
Untuk bertahun lamanya, bola sepak di Croatia dibangunkan oleh sebuah kelab bola sepak di negara tersebut, iaitu Dinamo Zagreb.
Mempunyai kekuatan kewangan yang dijana dari kota Zagreb itu sendiri, akademi bola sepak milik Dinamo Zagreb berupaya untuk mengumpulkan pemain-pemain terbaik dari seluruh pelusuk Croatia sehingga merentasi negara Balkan yang lain.
Mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Persatuan Bola Sepak Croatia (HNS), pemain remaja Dinamo hampir pasti akan dipanggil beraksi untuk Croatia. Malah pernah terjadi dalam satu perlawanan antarabangsa B-17, semua sebelas pemain utama yang diturunkan adalah produk akademi Dinamo Zagreb.
Dinamo Zagreb mungkin adalah pencetus kepada kebangkitan bola sepak di Croatia. Menyedari kepentingan pembangunan bola sepak, monopoli Dinamo di dalam skuad kebangsaan kemudiannya dipecahkan oleh seteru utama domestik, Hajduk Split yang turut memperkasakan akademi bola sepak mereka.
Dinamo juga memiliki kelab bola sepak Lokomotiva, yang merupakan feeder club kepada kelab Zagreb itu.
Berbeza dengan kebanyakan feeder club di pelbagai negara yang mempunyai pelbagai peraturan dari segi penglibatan, Lokomotiva dibenarkan untuk bertanding di divisyen utama Liga Croatia dan di dalam semua pertandingan domestik yang lain.
Misi utama Lokomotiva ialah untuk menghasilkan seberapa ramai pemain untuk diimport keluar, bukan sahaja untuk kegunaan Dinamo Zagreb semata-mata, tetapi juga ke liga-liga utama eropah yang lain.
Tujuan akhirnya pula ialah untuk memperkasakan skuad kebangsaan Croatia. Lokomotiva adalah destinasi pertama pemain-pemain yang dihasilkan dari akademi Dinamo Zagreb untuk bertanding secara kompetitif sebelum keluar untuk melangkah lebih jauh lagi dalam karier profesional masing-masing.
Akademi bola sepak Dinamo Zagreb
Pada 2011, Dinamo Zagreb pernah dianugerahkan sebagai salah sebuah dari 6 Akademi Pembangunan Bakat Muda terbaik di Eropah oleh UEFA. Barcelona, Inter Milan, Sporting Lisbon, Ajax dan Arsenal adalah lima pemenang lain pada ketika itu.
Untuk memenangi anugerah UEFA tersebut, sesebuah akademi bola sepak akan dinilai melalui 4 perkara:
- Memenuhi maksud akademi dari persepsi antarabangsa
- Organisasi
- Laluan ke pasukan utama
- Methodologi
Akademi milik Dinamo tidak pernah putus menghasilkan bakat baru bola sepak untuk Croatia. Di Piala Dunia 2018, 14 daripada 23 pemain skuad Croatia adalah produk Dinamo Zagreb.
Zagreb ialah bandar terbesar di Croatia dengan keluasan dua kali ganda Melaka. Manakala kawasan urban Zagreb hanya sedikit kecil dari bandaraya Johor Bahru.
Namun ini tidak pernag menghalang Dinamo dari menjadi pengeluar utama pemain bola sepak profesional kepada 31 liga bola sepak utama di seluruh dunia.
Jadi bagaimana Dinamo Zagreb menghasilkan ramai pemain berkelas dunia seperti Luka Modric, Vedran Ćorluka, Zvonomir Boban, Robert Prosinečki, Dejan Lovren, Niko Kranjčar , Mateo Kovačić dan Alen Halilović?
Objektif Dinamo Zagreb
Dinamo Zagreb ialah sebuah selling club. Ini bermakna mereka menghasilkan pemain untuk dieksport keluar.
Salah satu objektif mereka ialah dengan mengaut keuntungan dengan menjual pmain dan prospek muda kepada salah sebuah kelab di kalangan lima liga utama di Eropah.
Di akademi milik mereka, terdapat 5 objektif utama digariskan:
- Dinamo tegas dalam melahirkan generasi pemain yang mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ini kerana mereka sedar akan budaya (gaya hidup tidak sihat) yang menjadi ancaman kanak-kanak pada hari ini. Melalui satu kajian oleh kerajaan Croatia baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak di negara berkenaan mempunyai purata berat badan berlebihan sebanyak 1.5 kg.
- Sikap terpuji juga adalah salah satu sifat yang dituntut oleh Dinamo di kalangan pelatih mereka. Untuk itu, pembangunan kanak-kanak secara holistik turut diberikan penekanan.
- Merealisasikan impian kanak-kanak yang gemar dengan aktiviti sukan khususnya di dalam bola sepak. Objektif ini banyak berkait dengan objektif pertama di atas. Jurulatih akan memantau laporan setiap pelatih sebulan sekali.
- Pendidikan sehingga ke tahap tertinggi turut diberikan penekanan oleh Dinami untuk pelatih mereka. Laporan akademik turut dititik berat oleh jurulatih.
- Menyediakan pelatih dan pemain untuk siap beraksi untuk pasukan utama. Untuk objektif ini direalisasikan, empat objektif terdahulu hendaklah dilalui dengan jayanya oleh setiap pelatih.
Strategi, logik, dan kuasa?
Walaupun apa yang dilakukan oleh Dinamo Zagreb kelihatan seperti cetak biru yang jelas, masih sukar untuk mengenali DNA bola sepak yang mereka ingin diterapkan. Adakalanya ia kelihata seperti sekadar adunan kesungguhan dan kekentalan yang dimiliki pemainnya – sama seperti bagaimana ketika negaranya mengalami zaman perang.
Di dalam tempoh 13 tahun, 17 jurulatih datang dan pergi. Perkara sama juga berlaku di dalam skuad kebangsaan Croatia. Tiga jurulatih sebelum Zlatko Dalic, – Igor Stimac, Niko Kovac dan Ante Cacic dipecat sebelum perlawanan penting di pusingan kelayakan ke Rusia.
Malah Dalic sendiri dilantik hanya 48 jam sebelum perlawanan terakhir perlawanan kelayakan yang membawa mereka ke play-off sebelum ke Rusia. Dalic kekal mengendalikan skuad Rusia sehingga ke hari ini.
Selama ini pembangunan bola sepak Croatia di peringkat nasional berada di tahap minimum. Mereka pernah melantik Romeo Jozak sebagai Pengarah Teknikal untuk merangka strategi menyeluruh pembangunan bola sepak yang lebih tersusun.
Sedikit sebanyak ia adalah peranan sepertimana yang dilakukan oleh Michael Sablon bersama Belgium, iaitu untuk merangka bola sepak Croatia dalam tempoh jangka masa panjang. Namun Jozak juga dipecat beberapa minggu sebelum tampil untuk mempersembahkan hasil kajian dan idea beliau.
Produk bola sepak Croatia
Strategi Croatia adakala sukar difahami. Adakalanya melangkaui logik. Namun kekuasaan mereka di atas padang jelas sekali. Iaitu untuk membawa nama Croatia menyinar di pentas tertinggi bola sepak dunia.
Di kalangan 23 pemain skuad Croatia ke Piala Dunia di Rusia tiga tahun lalu, sekurang-kurangnya 6 daripada mereka pernah beraksi bersama Lokomotiva. Antara bekas pemain Lokomotiva yang berada bersama skuad Croatia di Rusia ialah Andrej Kramarić.
Modric, Mandzukic and Kovacic adalah pemain yang asalnya dari Dinamo Zagreb sendiri. Manakala Subasic dan Srna adalah dari Split.
Skuad Piala Dunia 2018 memperlihatkan 6 pemain berpengkalan di Itali, 4 di Sepanyol, 3 di Jerman, 2 di Croatia dan 1 pemain masing-masing di England, Perancis, Rusia, Ukraine dan Turki. Ini memberikan kepelbagaian pengalaman dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelbagai situasi dalam perspektif bola sepak.
Di Euro 2020, Dominik Livakovic (penjaga gol), Mislav Orsic, Luka Ivanusec (pemain tengah), dan Bruno Petkovic adalah antara bintang baru kelahiran Dinamo Zagreb. Semakin ramai juga pemain-pemain Croatia beraksi bersama pasukan-pasukan utama di seluruh eropah pada hari ini.
Rumusan
Pergilah ke Zagreb, Split, Zadar, atau ke daerah terkecil di Komiza sekalipun, tidak ada rakyat Croatia yang mempersoalkan segala logik dan perjalanan bola sepak di negara mereka.
Asalkan sahaja kelab seperti Dinamo Zagreb, Hajduk Split, ataupun Lokomotiva terus menghasilkan pemain demi kepentingan skuad kebangsaan, maka semuanya kekal logik di Croatia. Sekurang-kurangnya mereka sedar Croatia akan kembali bangkit walapun selepas tewas kepada Sepanyol di pusingan 16 pasukan terbaik di Euro 2020 pada malam tadi,
Satu perkara yang pasti Croatia cukup serius dalam agenda mereka memartabatkan bola sepak negara tersebut setanding dengan kuasa besar eropah yang lain harus diteruskan. Mereka mahu bersaing secara kompetitif, walaupun dari segi sumber Croatia hanyalah sebuah negara yang kecil.
Croatia membuktikan bola sepak sesebuah negara boleh pergi jauh sekiranya semua pihak memiliki agenda yang sama.
Baca artikel menarik lain mengenai Euro 2020:
Euro 2020: Sepanyol Bangkit, “Amuk” Di Masa Tambahan Untuk Sembelih Croatia
Aymeric Laporte Kongsi Kisah Abaikan Perancis Untuk Jadi Pemain Naturalisasi Sepanyol