Kalah Besar Berdepan Kuwait, Ini 5 Sebab Penyokong Malaysia Tak Perlu Gelabah

Guilherme de Paula Malaysia Kuwait 2021

Malaysia tewas besar 1-4 kepada pasukan di ranking ke-148 dunia, Kuwait dalam aksi pemanas badan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dapat dilihat reaksi pelbagai daripada para penyokong Harimau Malaya kepada keputusan tersebut. Mungkin harapan besar yang diletak para penyokong untuk melihat Malaysia lebih garang dalam perlawanan ini, tidak menjadi kenyataan.

Namun, seharusnya, tiada reaksi negatif diberikan terhadap keputusan perlawanan tersebut. Berikut adalah 5 sebab penyokong tidak perlu terlalu panik atau gelabah.

Hanya perlawanan latihan

Rasanya semua sudah tahu, perlawanan berdepan Kuwait tersebut hanya berstatus perlawanan latihan sahaja. Ia tidak melibatkan ranking serta rekod skuad negara tidak pun sesekali tercalar dengan keputusan yang telah dicatatkan semalam.

Kedua-dua pengendali telah bersetuju untuk menjadikan aksi Kuwait dan Malaysia sebagai aksi latihan sahaja. Ini membolehkan kedua-dua pasukan menguji dan membuat pertukaran sebanyak mungkin sepanjang perlawanan berlangsung.

Dapat dilihat Malaysia membuat 12 pertukaran setakat 77 minit permainan, sementara Kuwait ketika itu hanya membuat lima pertukaran pemain sahaja. Harus diingatkan, sepanjang tahun ini, Kuwait telah melalui empat perlawanan persahabatan.

Aksi pertama selepas 18 bulan

Sedangkan untuk Malaysia, itu merupakan aksi pertama mereka selepas 18 bulan. Sejak negara dilanda pandemik COVID-19 tahun lalu, ini adalah aksi pertama skuad negara selepas kali terakhir beraksi pada November 2019 – menang ke atas Indonesia.

Jadi, banyak perkara yang mahu dilihat oleh pengendali, Tan Cheng Hoe selepas lebih setahun tidak bersama anak-anak buahnya. Terdapat juga beberapa pemain baharu yang dibawanya untuk diuji untuk melihat bagaimana kombinasi antara mereka.

Berdepan dengan pasukan yang telah empat kali beraksi tahun itu sudah tentu memberikan satu cabaran buat skuad yang kembali dibentuk selepas 18 bulan.

Perubahan ‘major’ dalam kesebelasan utama

Malaysia menurunkan skuad dengan beberapa perubahan dapat disaksikan. Bek kanan yang selalunya diisi oleh Matt Davies, diambil alih oleh Rizal Ghazali yang tidak pernah terlibat langsung dalam pusingan kelayakan Piala Dunia kali ini.

Irfan Zakaria turut dicuba dalam aksi pemanas badan ini selepas hanya berada di bangku simpanan sepanjang pusingan kelayakan, sementara Akhyar Rashid yang selalunya menjadi watak pemain gantian telah dicuba dalam kesebelasan utama.

Penyerang naturalisasi baharu Harimau Malaya, Guilherme de Paula juga tampil dalam kesebelasan utama dan diberikan sejam untuk berada di atas padang sebelum beliau digantikan oleh penyerang ‘otai’, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-65.

De Paula ledak gol pertamanya

Walaupun ini merupakan penampilan pertamanya bersama skuad negara, de Paula tidak mengambil masa terlalu lama untuk memperkenalkan dirinya. Pada minit ke-28, hasil hantaran Corbin Ong, de Paula mudah untuk menghasilkan gol pertamanya.

Begitupun, penampilan dan gol pertamanya itu tidak diambil kira kerana ini hanyalah perlawanan latihan antara kedua-dua pasukan. Tetapi, tentu sedikit melegakan, Cheng Hoe sudah ada perancangan bagaimana untuk menggunakannya nanti.

Sejak menyertai Perak FC pada musim 2020, de Paula sudah kurang meledak gol sebagaimana aksinya ketika bersama Kuala Lumpur (kini KL City FC). Ramai mempersoalkan mengapa beliau dipilih tetapi, Cheng Hoe lebih arif tentangnya.

Cheng hoe sudah maklum untuk uji taktikal

Sebelum berangkat ke Abu Dhabi, Cheng Hoe sudah jelaskan objektifnya dalam dua aksi pemanas badan ketika berdepan Kuwait dan Bahrain. Sebagaimana yang kita tahu, selepas 18 bulan, pengendali itu baru dapat kembali bersama mereka.

Memetik kenyataannya dalam sidang media sebelum ini, Cheng Hoe berkata, “Kami masih mencari kesebelasan terbaik dan saya mahu mencuba beberapa kombinasi baharu berdepan Kuwait supaya dapat idea untuk aksi pertama berdepan UAE nanti.”

Jadi, para penyokong perlu memberikan kepercayaan kepada barisan kejurulatihan dan barisan pemain Harimau Malaya. Hentikan kecaman yang tiada asasnya dan teruskan ‘menghantar’ aura-aura positif kepada skuad negara menjelang aksi sebenar.

Malaysia bakal berdepan Bahrain dalam aksi kedua pemanas badan pada 28 Mei dan tentunya ia akan menjadi lebih serius kerana ia merupakan aksi persahabatan rasmi.

Baca lagi artikel lain mengenai skuad kebangsaan:

Malaysia Terkulai Di Tangan Kuwait Dalam Perlawanan Latihan Pertama

Selepas 5 Tahun, Ini Peluang Junior Eldstal Raih Kaps Ke-10 Bersama Harimau Malaya

Dilantik Buat Kali Ke-2, Van Marwijk Dakwa Tahu Untuk ‘Counter’ Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN