Walaupun bakal menginjak ke usia 37 tahun pada Januari depan, penyerang ikonik skuad negara, Safee Sali menjadikan Zlatan Ibrahimovic sebagai contoh tauladan.
Ini kerana, penyerang berusia 39 tahun itu dilihat masih mampu beraksi selaku pemain utama, malah meledak gol. Kata Safee Sali kepada Berita Harian, “Saya melihat Zlatan Ibrahimovic berada di situ dan [masih mampu] menjaringkan gol.”
Zlatan Ibrahimovic yang bermain bersama AC Milan itu masih belum berhenti menghasilkan gol dengan mencetak 10 gol dalam enam penampilan dan tetap menjadi pilihan untuk bermain. Jika tidak kerana COVID-19, pasti ianya lebih banyak.
✓ 1990s
✓ 2000s
✓ 2010s
✓ 2020sZlatan Ibrahimović has now scored a professional goal in four different decades. 🍷 pic.twitter.com/gFadphko43
— Squawka (@Squawka) January 11, 2020
Safee Sali dilihat merujuk kepada Zlatan Ibrahimovic kerana persoalan ramai tentang, adakah beliau masih belum mahu bersara daripada bola sepak pada usianya itu. Beliau juga sudah semakin kurang menjadi pilihan untuk bermain apabila hanya merekodkan 158 minit permainan dalam enam penampilannya bersama PJ City FC, musim ini.
Katanya lagi mengenai usia tidak menghalangnya untuk terus beraksi selepas ini, “Kita memang ada contoh di liga kita sendiri, Shukor [Adan] akan berumur 42 tahun dan dia masih bermain di liga tertinggi Malaysia, jadi kenapa pemain lain tidak boleh.”
Safee Sali baru sahaja diumumkan sebagai pemain baharu Kuala Lumpur United FC bersama-sama bekas pemain sayap Kedah, Hadin Azman pada Khamis lalu.
Selamat datang Safee Sali !! #makekualalumpurgreatagain pic.twitter.com/tJMJ5wxL4A
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) December 24, 2020
Beliau menyifatkan yang dirinya masih mampu memberikan saingan kepada pemain-pemain muda dan import bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama. Malah, beliau turut berkata yang dirinya terasa seperti baru berusia 17 tahun pada ketika ini.
“Saya sentiasa positif, selagi saya belum mengucapkan perkataan bersara, saya ingin menabur bakti, pengalaman dan segalanya untuk pasukan yang saya sertai.
“Menyertai pasukan yang saya pernah sertai sebelum ini [Kuala Lumpur], saya cukup teruja dan walaupun saya akan berumur 37 tahun pada tahun depan, tapi saya merasakan macam berusia 17 tahun,” ujarnya yang satu masa dahulu pernah menggegar rantau ASEAN dalam penampilan bersama skuad Harimau Malaya.
Untuk rekod, Safee Sali pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Kejohanan Piala AFF 2010 – tahun Malaysia meraih kejuaraan itu buat julung kalinya.
KREDIT FEATURED IMAGE: ZULHEMLI AZAM ZAINAL/ASTRO ARENA
Baca lagi artikel lain mengenai Safee Sali dan Kuala Lumpur United FC:
Genap 7 Tahun Lalu Pada Hari Ini, Safee Sali Rasmi Gegar Indonesia Bersama Pelita Jaya
3 Perubahan Pertama Yang Stanley Bernard Rancang Bersama KL United
Zhafri Yahya Mahu Beri Sumbangan Lebih Bermakna Bersama Kuala Lumpur