Pelbagai reaksi diterima daripada para penyokong sebaik sahaja Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan logo Kedah Darul Aman (KDA) FC, petang tadi.
Ini kerana, logo yang diumumkan sebagai pemenang nampaknya bukanlah salah satu daripada tiga logo finalis yang diumumkan sebelum ini. Pada 16 November lalu, KFA mengumumkan senarai 20 logo yang menjadi pilihan Ahli Jawatankuasa Penjenamaan Logo, sebelum mereka menyenarai pendeknya kepada tiga logo sahaja.
Turut dinyatakan dalam kenyataan yang telah dimuat naik di laman rasmi media sosial KFA, “Proses penilaian [oleh panel] akan melibatkan beberapa unsur bersesuaian dengan imej kelab bolasepak KDA FC yang akan diputuskan dalam masa terdekat.”
Apa yang berlaku disebalik pemilihan logo baharu KDA FC? Pihak KFA setakat ini belum menjelaskan mengapa logo tersebut akhirnya menjadi pilihan mereka.
Logo yang direka oleh Ku Basri Ku Halim tersebut merupakan salah satu daripada 20 pilihan logo sebelum ianya dikurangkan kepada hanya tiga logo sahaja. Logo tersebut tidak termasuk dalam tiga logo finalis dan ini yang menjadi persoalan para penyokong.
Apakah nasib kepada tiga logo finalis tersebut? Mengapa logo yang sudah tersingkir daripada senarai tiga finalis akhirnya boleh membuat ‘comeback’ untuk menang?
Selain itu, ada di kalangan penyokong yang mengatakan terdapat unsur kroni dalam pemilihan pemenang selain logo tersebut langsung tidak sesuai untuk diangkat sebagai logo rasmi. Dapat dilihat, banyak reaksi negatif berbanding yang positif.
Menurut komentar seorang penyokong yang dikenali sebagai Fuad Lyn, terdapat perbincangan antara wakil kelab dan juga penyokong selepas kontroversi logo awal KDA FC yang diumum oleh Presiden KFA sebelum itu. Cadangan untuk meletakkan unsur legasi bola sepak Kedah telah ditolak oleh wakil kelab ketika itu.
Selepas itu, menurut Fuad Lyn lagi, “CEO kelab memberikan jaminan logo legasi akan terus dipelihara . Beliau juga menzahirkan bahawa Tuan Presiden KFA sendiri berminat dengan logo legasi dan mengagumi sejarah legasi itu sendiri. Tetapi, [dinyatakan bahawa] atas beberapa sebab teknikal, ianya masih belum dapat dilaksanakan.”
Beliau juga bukanlah mahu menegakkan benang yang basah tetapi sekadar berkongsi apa yang berlaku sebelum pengumuman yang telah dibuat oleh Presiden KFA, petang tadi. Tambahnya, “Solidariti untuk semua yang menjadi mangsa pada keadaan akibat dari kurangnya etika profesionalisme [mereka] dalam mengendalikan isu ini.”
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA
Baca lagi artikel mengenai Kedah Darul Aman FC:
Pertandingan Cipta Logo: Kedah FA Sifatkan Banyak ‘Joy Participant’
Penyokong Kedah Jangan Seronok Dulu, Pemain & Jurulatih ‘Belum Tentu’ Kekal