Penang FC (PFC) secara rasminya telah mengumumkan pengendali baharu skuad tersebut untuk saingan Liga Super musim hadapan, iaitu Tomas Trucha.
Pengendali sebelum ini, Manzoor Azwira turut diumum kekal dalam pasukan apabila bakal menjadi pembantu Trucha dalam musim pertamanya di Malaysia. Sudah tentu kemampuan Manzoor Azwira dalam membawa pasukan yang dikenali sebagai Pulau Pinang sebelum ini meraih promosi itu, masih mahu ditagih oleh pengurusan pasukan.
Siapakah Trucha? Mampukah beliau mengekalkan rentak baik yang pernah ditonjolkan Harimau Kumbang ketika dibawah kendalian Manzoor Azwira?
Belum Tewas Sejak Mei 2019, Pulau Pinang Juara Liga Premier 2020 https://t.co/3ZWJfh6qxf pic.twitter.com/XtxrYdgOtu
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 3, 2020
Baru sahaja dilantik pengendali AFC Leopards
Pada 2 November lalu, Tomas Trucha telah dilantik sebagai pengendali sebuah kelab di Kenyan Premier League, AFC Leopards. Ia seakan-akan memusnahkan terus khabar angin mengenainya yang dikatakan bakal menggantikan Manzoor Azwira.
Manzoor Azwira tidak dibenarkan untuk mengendalikan pasukan apabila tiada Lesen Pro A dan rayuan Pulau Pinang telah ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Ini yang menimbulkan ura-ura mengenai kehadiran pengendali berusia 49 tahun itu.
Sebelum menyertai AFC Leopards, beliau merupakan pengendali sebuah kelab di Botswana Premier League, Township Rollers FC untuk tempoh 16 bulan dan meraih gelaran naib juara liga pada musim 2019/20. Dalam 20 perlawanan sebelum liga dibatalkan akibat COVID-19, Trucha membawa mereka menang 12 daripadanya.
Tomas Trucha: AFC Leopards unveil new coach ahead of 2020-21 season https://t.co/BV3Fh2b9dN
— Footy World (@FootyWorldAU) November 2, 2020
Tinggalkan AFC Leopards lepas sebulan
Cukup sebulan bersama pasukan dan hanya mengendalikan AFC Leopards untuk satu aksi liga, Trucha mengambil keputusan drastik untuk meletakkan jawatannya. Bukan atas sebab prestasi pasukan, namun ianya lebih kepada isu keselamatan dirinya. Untuk rekod, pasukannya menang 2-1 dalam aksi pertama liga ke atas Tusker FC.
Menurut laporan Goal, pengendali itu bersama ejennya dikatakan telah menerima ugutan daripada individu tidak dikenali yang dikatakan merupakan penyokong AFC Leopards. Kata pengerusi pasukan, Dan Shikanda, “Terlalu banyak ugutan diterima oleh jurulatih dan ejennya, malah individu yang memulakan ugutan ini juga adalah ejen.”
Sekiranya anda masih ingat, Kelantan pernah dikaitkan dengan Trucha sebelum permulaan musim 2018, apabila Presiden ketika itu, Bibi Ramjani Ilias Khan dipetik berkata beliau adalah individu yang tepat untuk jawatan Pengarah Teknikal pasukan.
Tomas Trucha Bakal Pengarah Teknikal The Red Warriors ? – https://t.co/KoJncDptf5 pic.twitter.com/pdCUfQ8Yt5
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 3, 2017
Ada Lesen EUFA Pro
Sebagaimana Lesen Pro A yang diwajibkan kepada pengendali pasukan Liga Super 2021, lesen kejurulatihan yang dimiliki oleh Trucha juga bukan biasa-biasa. Beliau merupakan pemegang Lesen EUFA Pro – kelayakan tertinggi kejurulatihan di Eropah.
Sehinggakan Dan Shikanda turut membandingkan kelayakan tersebut kepada beberapa pengendali ternama Eropah. Katanya, “Ini merupakan pengendali yang terbaik dan memiliki kelayakan seperti [Jose] Mourinho, [Pep] Guardiola dan [Jurgen] Klopp.” Ironinya, wajahnya juga seakan-akan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Selain itu, melihat highlight aksi perlawanan kendaliannya ketika bersama Township Rollers FC, beliau gemar menggunakan formasi 4-3-3 dengan gaya permainan yang hampir sama dengan Pulau Pinang. Adakah PFC melantik individu yang tepat?
KREDIT FEATURED IMAGE: PAVEL MAZAC (SPORT)
Baca lagi artikel mengenai Penang FC dan Tomas Trucha:
Pulau Pinang Buru Khidmat Jurulatih Import Untuk Saingan Liga Super 2021
RASMI: Pulau Pinang Pinjam Pemain Kacukan Indonesia-Jepun, Ryuji Utomo