Ivanovic: Lampard Akan Berjaya, Dia Mampu Bergelar Pengurus England

Ivanovic Lampard

Pertahanan West Bromwich Albion (WBA), Branislav Ivanovic percaya bahawa bekas rakan sepasukannya ketika bersama Chelsea, Frank Lampard mempunyai kredibiliti untuk menggalas tanggungjawab selaku pengurus skuad kebangsaan England.

Memasuki musim ketiga sebaik sahaja terjun ke bidang pengurusan, Lampard dilihat menjelmakan sesuatu yang positif ketika membimbing Derby County dan Chelsea.

Bersama Derby County yang juga merupakan musim pertamanya sebagai pengurus, Lampard berjaya membawa kelab tersebut beraksi di perlawanan akhir play-off ke Liga Perdana Inggeris tetapi impiannya musnah setelah tunduk di tangan Aston Villa.

Keputusan Maurizio Sarri yang meninggalkan Chelsea sebelum menghadapi saingan 2019/20 telah membuka jalan seluas-luasnya buat pengendali berusia 42 tahun itu untuk kembali semula ke Stamford Bridge dengan tanggungjawab lebih besar.

Hukuman larangan pembelian pemain dikenakan terhadap Chelsea menyaksikan Lampard perlu memberikan peluang kepada pemain sedia ada dan memberikan peluang kepada pemain muda seperti Mason Mount, Reece James, Callum Hudson-Odoi, Fikayo Tomori dan Billy Gilmour.

Tambahan pula pada ketika itu beliau tidak dapat menggunakan khidmat bintang utama, Eden Hazard yang memilih untuk menyertai Real Madrid sebaik sahaja membantu Chelsea menjulang trofi Liga Europa 2018/19.

Tanpa sebarang pembelian dapat dilakukan, Chelsea masih mampu untuk menamatkan saingan EPL di tempat keempat [berjaya ke Liga Juara-Juara Eropah 2020/21], layak ke perlawanan akhir Piala FA serta melepasi peringkat kumpulan kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Sehubungan dengan kualiti hebat yang ada pada Lampard dalam membimbing pasukan, Ivanovic melihat bekas rakan sepasukannya itu mampu untuk membimbing skuad kebangsaan England.

”Apabila Frank memilih untuk menjadi pengurus, semua orang mengetahui bahawa dia boleh menjadi seorang yang berjaya,” ujar Ivanovic menurut laporan Goal.

”Dia merupakan orang yang sesuai di dalam tempat yang betul, tidak hanya untuk Chelsea. Saya berharap dia akan kekal di Chelsea seumur hidupnya, tetapi sudah pasti dia mampu untuk memberikan sesuatu buat negaranya dan bergelar pengurus skuad kebangsaan England.”

”Dia arif tentang bola sepak dan mempunyai idea-idea yang hebat. Saya menyaksikan wawancaranya dan anda boleh melihat betapa dia memahami permainan ini, perkara yang anda perlu lakukan dan bagaimana dia meletakkan kepercayaan terhadap pasukannya.”

”Ia merupakan tugas yang besar untuk memahami bola sepak dan membuatkan pasukan anda beraksi dan bekerja seperti yang anda mahukan. Dia mempunyai sekumpulan orang yang hebat di sekeliling untuk membantunya. Dia akan berjaya.”

”Dia sememangnya layak untuk menjadi pengurus Chelsea, bukan hanya disebabkan namanya. Sudah tentu saya berharap dia melakukan yang terbaik dan bagi saya dia sentiasa mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan dalam bidang pengurusan,” tambah Ivanovic lagi.

Kredit featured image: Clive Brunskill/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Ivanovic dan Lampard:

Frank Lampard: Status Sebagai Legenda Kelab Tak Buatkan Saya Kebal Dari Kecaman

Ledak Empat Gol, Peluang Buat Olivier Giroud ‘Curi Hati’ Lampard

Video: Lihat Gol Voli Roket Ivanovic Hasil Daripada ‘Tiki Taka Di Udara’

Leave a Reply