Pahang yang kelihatan serius untuk mencapai kejayaan menjadi antara faktor menarik minat pemain tengah, Lee Tuck memilih juara Liga Super 2004 itu sebagai destinasi terbaharu dalam kariernya selepas kontraknya bersama Terengganu FC (TFC) tidak disambung bagi menghadapi saingan 2021.
Menurut sumber MyMetro, pemain yang pernah merasai pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 itu juga tanpa berselindung mengakui beliau sudah lama mengimpikan untuk menyarung jersi pasukan Pahang.
Sehubungan dengan itu, keputusan yang diambil oleh pemain berusia 32 tahun tersebut tidak keterlaluan untuk dikatakan bagai mimpi menjadi kenyataan buatnya.
“Selepas TFC tidak berminat untuk menyambung kontrak saya musim depan walaupun saya masih berminat menyarung jersi pasukan itu, saya mendapat beberapa tawaran daripada pasukan Liga M dan kelab di luar negara.”
“Tapi saya rasa Pahang adalah pilihan terbaik saya. Dalam minda saya skuad itu adalah pasukan yang patut saya sertai kerana antara sebabnya kelab itu profesional dan serius untuk mencapai kejayaan.”
“Selain itu saya teringin untuk mewakili Pahang ketika saya mula beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan pada 2017 selain pernah menentang pasukan itu dalam saingan Piala FA membuatkan saya memasang impian suatu hari nanti ingin menyarung jersi pasukan itu.
“Saya rasa mampu bermain di Pahang dan pastinya akan gembira kerana tempatnya yang menarik untuk saya tinggal dan ia bonus buat keluarga saya, malah penyokong mereka juga terbaik dan ia sudah pastinya menjadikan saya tidak sabar untuk menyarung jersi pasukan itu
“Saya memandang ke depan untuk permulaan liga 2021 dan berharap dapat memberi impak yang positif kepada pasukan itu sebagaimana ketika mewakili TFC selama tiga musim,”
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Lee Tuck bersama-sama bekas pemain import KL Rovers, Sergio Ezequiel Aguero disahkan akan bersama Pahang. Ia susulan langkah pengurusan skuad Tok Gajah itu yang tidak melanjutkan kontrak empat pemain import musim lalu, Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos, Khalil Khamis dan Adam Reed.
Kehadiran Lee Tuck dan Aguero itu juga bermakna Pahang hanya memerlukan pemain import bagi mengisi kuota Asia dan Asia Tenggara berikutan satu lagi slot masih diisi oleh pertahanan kental, Herold Goulon yang kekal buat musim ketiganya.
Kredit featured image: Terengganu Football Club
Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:
La Liga: Nasib Berbeza Dua Kelab Madrid, Atletico Gembira Real Menderita
Mengapa Stefano Lilipaly Hangat Dikaitkan Perpindahan Ke Kedah?
Bukan Ronaldo Atau Messi, Solskjaer Pilih Maradona Sebagai ‘GOAT’