Kurang Menyengat Di Saingan ACL Punca Diogo Dilepaskan JDT Ke Thailand Semula?

Diogo Luis Santo JDT ACL

Jika anda pernah mengikuti temuramah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim, tujuan kemasukkan Diogo Luis Santo ke Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah atas tiket pengalamannya di pentas ACL. TMJ mahukan penyerang yang tahu selok belok dan mampu melonjak mereka di kejohanan peringkat Asia.

Ini kerana, pada musim 2019,  JDT akan beraksi di pentas AFC Champions League (ACL) buat kali pertama selepas empat tahun mencuba untuk melepasi pusingan kelayakan dan playoff. Diogo sudah merasai ‘sepak terajang’ saingan tersebut ketika bersama kelab Thai League, Buriram United untuk tiga musim sebelum itu.

Kata TMJ dalam temuramah yang telah disiarkan JDT TV, “Di jentera hadapan, kami memerlukan seorang yang ‘individualistic’ dan kita ada Gonzalo Cabrera dan Diogo. [Pemilihan] Diogo adalah kerana dia sudah tahu bagaimana bola sepak Asia dan dia telah beraksi dengan baik ketika bersama Buriram [United].”

“Kami tahu dia ada pengalaman yang baik dalam Asia dan kita tahu bukan mudah untuk bermain di Liga Thailand. Kualiti [liga] pun lebih tinggi daripada kita,” jelas TMJ.

Sebelum diterbangkan ke JDT, Diogo telah meledak 101 gol dalam 105 penampilan bersama Buriram United dalam tempoh empat musim. Ia satu pencapaian dan rekod yang sangat menakjubkan dan tentunya TMJ sangat berminat untuk membawanya membantu jentera serangan Harimau Selatan terutamanya di ACL.

“Kita punya pertandingan di Malaysia, pemain [import] tiada masa yang banyak untuk menyesuaikan diri. Contoh, Martin Lucero. Masa datang ke mari, dia tidak jaringkan gol dalam lapan ke sembilan perlawanan awal. Kemudian barulah dia mula menjaringkan gol. Jadi, penyokong ‘kena’ [terpaksa] bersabar dan faham,” ujar TMJ lagi.

Bersama JDT, beliau lebih menyerlah di saingan tempatan. Beliau telah menyumbang 24 gol dalam 29 penampilan, namun impaknya di ACL mungkin kurang dirasai. Musim lalu, beliau meledak dua gol dalam saingan peringkat kumpulan, sementara untuk musim ini, tiada jaringan dilhasilkan dalam dua perlawanan setakat ini.

Mungkin atas faktor itulah, baki saingan ACL 2020 yang akan kembali bersambung pada pertengahan November, TMJ mengetengahkan pemain yang baharu dibawa masuk daripada Kedah, Fernando Rodriguez. Ini mungkin satu ujian awal buat dirinya untuk mengemudi jentera serangan JDT di kejohanan peringkat Asia.

TMJ turut berkongsi mengenai bagaimana perubahan cara merekrut pemain baharu iaitu mereka mengkaji sedalam-dalamnya sama ada pemain itu mampu sesuaikan diri dengan cepat bersama JDT berbanding sebelum ini, mereka akan turun padang untuk melihat aksi pemain yang mereka mahu sebelum menawarkan kontrak.

Adakah dengan kembalinya Diogo ke Thai League untuk bersama BG Pathum United bermaksud beliau gagal membantu JDT di ACL? Baru-baru ini dalam sidang media, TMJ telah mengumumkan yang Diogo akan digantikan oleh seorang penyerang baharu yang dibawa daripada kelab Mazatlan FC yang bermain di Liga MX di Mexico.

Penyerang tersebut adalah Camilo da Silva yang berusia 32 tahun. Beliau pernah sekali berada di Asia ketika beraksi seketika bersama kelab K-League, Gyeongnam FC. Namun, belum terbukti beliau mampu membantu JDT di saingan ACL, jadi Fernando Rodriguez memiliki peluang untuk memikat TMJ untuk musim hadapan juga.

Dalam sidang media itu juga, TMJ ada mengatakan yang fokus untuk ACL adalah pada musim hadapan. Baki saingan musim ini, Harimau Selatan akan seimbangkan saingan di Piala Malaysia dan ACL. Diogo telah banyak membantu JDT terutamanya dalam saingan tempatan, jadi khidmat terakhirnya akan ditagih di Piala Malaysia.

Mungkin kurang menyengat adalah salah satu faktor beliau kembali ke Thailand, namun dari segi umur, mungkin JDT mahu beralih kepada penyerang lain. Selain itu, Camilo da Silva adalah pemain yang sudah dua musim dipantau oleh TMJ dan tentunya beliau ‘projek’ baharu juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu.

KREDIT FEATURED IMAGE: NIZAM RAHMAN

Baca lagi artikel mengenai Diogo, JDT dan ACL:

Buriram Puas Hati Dengan Profesionalisme Diogo Dan Cara JDT Berurusan

Sebuah Kelab Thai League 1 Cuba Pancing Diogo Daripada JDT?

ACL 2020: JDT Cemerlang Tundukkan Suwon Di Laman Sendiri

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN