Quantcast

BERITA

Buriram Puas Hati Dengan Profesionalisme Diogo Dan Cara JDT Berurusan

Tiga hari yang lalu, juara Liga Super Malaysia (MSL) lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan ketibaan penyerang import baharu mereka, Diogo Luis Santo.

Penyertaan pemain import itu ke JDT dianggap sebagai perpindahan yang berprofil tinggi kerana Santo sebelum ini merupakan bekas pemain kelab ternama Thailand iaitu Buriram United.

Diogo menjaringkan menjaringkan 119 gol daripada 139 penampilan untuk Buritam sambil turut mencatatkan 33 bantuan gol untuk juara tujuh kali Liga 1 Thailand itu.

(Photo by Marcio Machado/Power Sport Images/Getty Images)

Tidak terkejut

Melalui satu kenyataan oleh Presiden Buriram, Newin Chidchob, beliau menyifatkan pemergian Diogo dari kelab tersebut sebagai bukan satu perkara yang mengejutkan.

Ini kerana Diogo telah menyatakan hasrat untuk berhijrah kepada Newin sejak sebelum musim 2018 bermula lagi – dengan syarat sekiranya beliau memperolehi tawaran yang lebih baik untuk berbuat demikian.

“Kami harus berterima kasih kepada beliau kerana memaklumkan kami lebih awal mengenai niat beliau itu untuk memberi ruang kepada kelab melakukan persediaan mencari pengganti sepanjang satu tahun yang lalu. Ini menjelaskan sikap profesional yang dimiliki oleh Diogo,” ujar Newin dalam perkongsian di laman Facebook rasmi Buriram United.

Sepanjang musim 2018, Newin mengakui beliau dan Diogo sudah sedar bahawa ini adalah musim terakhir untuk pemain tersebut menyarung jersi Buriram.

(Photo by Thananuwat Srirasant/Getty Images)

Sikap profesional Diogo

Niat Diogo untuk berhijrah demi mendapatkan peluang beraksi lebih baik di tempat lain turut tidak menjejaskan prestasi beliau bersama Buriram sepanjang musim lalu.

“Diogo terus memberikan dedikasi sepenuhnya kepada pasukan, sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai pemain Buriram United.

“Pada masa yang sama, kami sebagai majikan dan kelab terus menghulurkan apa yang diperlukan oleh Diogo seperti sepatutnya sebagai sebuah keluarga besar,” tambah Newin lagi.

{Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Bundesliga/DFL via Getty Images)

Diogo dilamar JDT

Selepas tamat kempen Liga Thailand pada musim lalu, Newin mengesahkan Diogo memberitahu beliau bahawa beliau telah menerima tawaran daripada sebuah kelab di Malaysia.

Tanpa berselindung, Diogo turut menyatakan niat beliau untuk menerima tawaran tersebut.

Menurut laporan daripada Goal, Diogo adalah pemain termahal yang pernah dibayar oleh pasukan dari Malaysia untuk beraksi di negara ini. Diogo dikatakan mempunyai nilai sekitar RM6.5 juta.

Walaupun jumlah perjanjian untuk mendapatkan Diogo tidak didedahkan kepada umum oleh Buriram mahu pun JDT, Goal melaporkan juara Piala AFC 2015 itu terpaksa membayar sekitar RM4 juta untuk khidmat bekas penyerang Olympiakos tersebut – setelah berjaya melakukan rundingan untuk pengurangan sebanyak RM2 juta dari nilai sebenar pemain itu.

Akhirnya segala proses untuk mendapatkan pemain itu oleh JDT berjalan lancar dan pemain tersebut diumumkan sebagai anggota tebaru Harimau Selatan pada 3 Januari lalu.

Foto: JST, Facebook

Peluang Buriram terus melangkah ke hadapan

Bagi Newin dan Buriram, Diogo akan terus dianggap sebagai legenda di kelab bola sepak itu.

“Hubungan di antara Buriram United dan Diogo adalah mudah dan profesional. Dari hari pertama sehingga kini, kedua-dua pihak saling menghormati antara satu sama lain, juga kontrak yang mengikat kedua-dua pihak sebelum ini.

“Diogo adalah antara pemain terbaik kelab ini pernah miliki, dan ia adalah satu penghormatan untuk bekerja bersama beliau.

“Kehadiran beliau bukan sahaja memberikan kesan kepada kelab, tetapi kepada Liga Thailand dan bola sepak Thailand secara keseluruhan,” ujar Newin lagi mengenai impak pemain tersebut.

(Photo by LILLIAN SUWANRUMPHA / AFP) (Photo credit should read LILLIAN SUWANRUMPHA/AFP/Getty Images)

Perpindahan Diogo dari Buriram tidak bererti kelab tersebut tidak perlu bekerja lebih keras lagi. Malah Newin mahukan semua pihak di kelab tersebut terus bekerja keras selari dengan perubahan yang berlaku.

“Dengan setiap perubahan yang datang, kita harus memastikan kelab ini terus menjadi lebih kuat dari sebelumnnya. Kita pernah melakukannya sebelum ini, situasi ini juga tidak mempunyai perbezaan,” tambah Newin.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!