Kritikan yang dilemparkan Ronald Koeman terhadap Lionel Messi sebaik sahaja tamat aksi bertemu Getafe dalam kempen La Liga tempoh hari pantas diberikan respon positif oleh ketua pasukan Barcelona itu apabila beliau mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Messi memainkan peranan penting dalam membantu Barcelona mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas wakil Hungary, Ferencvaros di Nou Camp hasil satu jaringan menerusi sepakan penalti dan satu bantuan gol berjaya dicipta bintang berusia 33 tahun tersebut.
Berikutan dengan aksi baik ditampilkan, Koeman tanpa berselindung mengakui Messi bakal kembali menikmati prestasi terbaiknya seperti sebelum ini.
”Mungkin, pada ketika ini, Messi menunjukkan persembahan lebih baik,” ujar Koeman menurut laporan Goal.
”Tetapi dia gembira, dia telah bekerja keras dan mahu menjadi kapten buat pasukan ini.”
”Saya tidak mempunyai sebarang teguran [terhadap prestasinya]. Dia juga mengalami nasib buruk. Percubaannya terkena palang dan pada perlawanan lain ia [percubaan itu] akan menjadi jaringan.”
”Saya tidak mempunyai keraguan terhadap persembahannya dan kami akan melihat prestasinya kembali ke tahap terbaik pada perlawanan akan datang, saya pasti.”
”Jika dia beraksi seperti malam ini [pagi tadi], saya tidak ada sebarang masalah dengannya. Dia bekerja keras, dia menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, saya juga biasa menjaringkan gol hasil sepakan penalti.”
”Sekiranya dia tidak menjaringkan gol tetapi memberikan dua atau tiga bantuan jaringan, kami tidak boleh meminta lebih daripadanya.”
”Kami mempunyai pemain di jentera serangan yang baik dan itu adalah perkara terbaik bagi seorang jurulatih. Saya merasakan kami telah menunjukkan bahawa kami mempunyai pemain yang hebat di bahagian hadapan,” tambah Koeman lagi.
Kredit featured image: David Ramos/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Koeman dan Messi:
Philippe Coutinho Tak Perlu Risau, Beliau Berada Dalam Perancangan Koeman
Statistik Menunjukkan Lionel Messi Sedang Mengubah Gaya Permainannya