Camilo da Silva, Daniel Amier Bakal Perkuatkan JDT Musim Hadapan

Camilo da Silva

Juara tujuh musim berturut-turut Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus serius dalam memperkuatkan pasukan bagi menghadapi musim 2021 apabila bakal mengikat pemain import kelahiran Brazil, Camilo da Silva Sanvezzo.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kehadiran Camilo adalah bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang akan kembali ke Thailand untuk beraksi bersama Bangkok Glass (BG) Pathum United dalam saingan Thai League 1.

Camilo pada ketika ini sedang beraksi untuk pasukan liga utama Mexico [Liga MX], Mazatlan FC dan telah menjaringkan empat gol dalam lapan penampilannya pada musim ini.

Selain Mazatlan, Camilo turut pernah menyarung jersi dua kelab dalam saingan Liga MX iaitu FC Tijuana dan Queretaro FC. Ketika bersama Queretaro FC, beliau bergelar pemenang kasut emas Liga MX 2014/15 bersama Mauro Boselli selepas masing-masing meledakkan 12 gol.

Sebelum berkelana ke Mexico, Camilo terlebih dahulu mencuri tumpuan di Amerika Syarikat menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Vancouver Whitecaps FC selama tiga musim bermula 2010.

Musim terakhirnya dalam saingan MLS nyata menjadi antara pencapaian terbaik buat Camilo da Silva apabila beliau berjaya menjaringkan 22 gol sekali gus menobatkannya selaku penjaring terbanyak kempen MLS 2013.

Bercakap kepada wartawan, Tunku Ismail mengakui bahawa sudah lama berminat untuk membawa Camilo bagi memantapkan jentera serangan skuad Harimau Selatan itu.

”Saya telah melihat pemain tersebut begitu lama, dua tahun lepas saya tidak boleh mendapatkan beliau kerana beliau agak mahal, melebihi daripada bajet kami. Dia akan dapat ke mari untuk menggantikan Diogo.”

”Kami dah lama nak membawa beliau ke sini kerana cara permainnya sesuai dengan JDT tetapi oleh kerana bajet saya kurang, saya kena tunggu lagi satu atau dua tahun, saya bersabar dan Alhamdulillah oleh kerana tunggukan kontraknya selesai, saya dapat tandatangani pemain tersebut.”

Selain Camilo, JDT turut akan merekrut pemain tengah meningkat naik, Muhammad Daniel Amier Norhisham yang beraksi bersama Felda United pada musim ini.

”Pada 1 Disember, Daniel Amier secara rasminya akan menjadi pemain JDT, itu adalah merupakan satu perancangan yang sangat lama dan berkemungkinan lagi seorang pemain tempatan, saya sedang melihat bagaimana situasi tersebut,” tambah DYAM Tunku Ismail lagi.

Kredit featured image: Cesar Gomez/Jam Media/Getty Images

Leave a Reply