EPL 2020/21: Jaringan Ross Barkley Pastikan Cazoo Dominasi Liga

Ross Barkley

Jaringan tunggal pemain pinjaman, Ross Barkley pada masa kecederaan memastikan Aston Villa meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas menundukkan Leicester City 1-0 di King Power Stadium.

Ia juga bermakna EPL pada ketika ini diterajui oleh dua pasukan yang ditaja oleh Cazoo (Everton dan Aston Villa).

Kemenangan bermakna itu menyaksikan Villa menjadi satu-satunya pasukan dalam empat divisyen sistem bola sepak Inggeris yang masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus pada musim ini.

Rekod cemerlang itu juga merupakan pencapaian pertama kali dilakarkan Aston Villa selepas kali terakhir menang pada empat perlawanan awal liga pada kempen 1930/31 di mana pada musim tersebut, Villa menamatkan saingan di tempat kedua dalam kancah liga tertinggi di England [ketika itu masih belum bergelar EPL].

Aston Villa yang masih bernafsu untuk melakar kemenangan selepas membelasah Liverpool pada perlawanan dua minggu lalu berdepan sedikit masalah terutamanya pada babak pertama apabila pasukan tuan rumah lebih banyak mencipta peluang memburu jaringan.

Usaha skuad bimbingan Brendan Rodgers itu bagaimanapun tidak berjaya direalisasikan susulan ketangkasan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez yang tenang mengawal gawangnya daripada dibolosi lawan.

Aksi 45 minit pertama juga memperlihatkan kesukaran buat Aston Villa apabila mereka langsung tidak mampu untuk menjelmakan sebarang percubaan tepat ke kubu Leicester City.

Memasuki babak kedua, keadaan sedikit berubah dengan pasukan pelawat yang dibimbing Dean Smith itu tampil dengan lebih baik dengan Jack Grealish serta Ross Barkley menjadi nadi kepada jentera tengah Villa.

Setelah 90 minit tanpa sebarang jaringan dapat dihasilkan, Barkley mencuri tumpuan apabila rembatan jarak jauh diledakkannya selepas menerima hantaran daripada John McGinn tidak mampu dihalang penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel bagi memecah kebuntuan sekali gus menghadiahkan kemenangan keempat buat Aston Villa.

Kemenangan itu juga menyaksikan Aston Villa mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan liga apabila mereka mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri pada empat perlawanan terakhir musim lalu yang menjadikan momentum tersebut diteruskan [enam kemenangan dan dua keputusan seri].

Kali terakhir kelab tersebut menikmati pencapaian rekod tanpa kalah paling panjang adalah sebanyak 10 perlawanan bermula tiga perlawanan terakhir saingan 2010/11 sehingga aksi ketujuh kempen 2011/12.

Aston Villa kini berada di tangga kedua liga dengan 12 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Everton yang berkelebihan satu mata berbanding Villa.

Kredit featured image: Jon Super – Pool/Getty Images

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN