Pemain tengah berpengaruh Manchester United, Paul Pogba mengakui sudah menjadi perkara yang jelas bahawa semua pemain bola sepak mengimpikan untuk menyertai Real Madrid.
Menurut Pogba, beliau sendiri turut memasang impian bagi menjadi salah seorang daripada pemain kelab gergasi bola sepak Sepanyol itu tetapi kini menegaskan fokusnya hanya kepada Manchester United.
Sejak beberapa tahun ini, nama Pogba seringkali dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu, namun Ole Gunnar Solskjaer berjaya untuk memujuk pemain berusia 27 tahun itu supaya terus kekal di Old Trafford.
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane juga sebelum ini dilaporkan memang berminat untuk membawa Pogba menyertai skuad bimbingannya itu
”Kita semua telah mendengar apa yang saya katakan. Apa yang harus dikatakan? Ya, semua pemain bola sepak memang suka untuk bermain dengan Real Madrid. Ia mungkin akan menjadi satu mimpi.”
”Ia juga merupakan impian buat saya, mengapa tidak untuk satu hari nanti?” ujar Pogba menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Tetapi saya bermain untuk Manchester United dan saya menyayangi kelab saya ini. Saya tampil untuk Manchester United, saya menikmatinya dan saya mahu melakukan segalanya untuk meletakkan kelab ini di tempat yang sepatutnya berada.”
”Saya akan memberikan yang paling maksimum, seperti apa yang diberikan oleh rakan sepasukan saya,” tambah Pogba lagi.
Musim baharu menyaksikan Pogba telah membuat empat penampilan termasuk satu perlawanan Piala Carabao ketika menewaskan Brighton di mana beliau turut berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut.
Kredit featured image: James Williamson – AMA/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Paul Pogba: